SIAPA sangka seloroh sang anak yang menyuruh ayahnya berniaga rojak kateh setelah tidak dapat keluar bekerja ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 lalu kini menjadi sumber rezeki utama buat seorang tukang rumah. Kini wujudlah menu Rojak Kateh Madu Dapur Arang!! : KitaReporters
Rojak Kateh Madu Dapur Arang air tangan Syed Afindi Syed Mansor menggunakan resepi keluarga turun temurun.
Syed Afindi Syed Mansor, 38, dari Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu tidak menyangka Rojak Kateh Madu Dapur Arang yang diusahakannya mampu mencecah jualan sehingga 400 bungkus sehari selain turut berjaya dipasarkan sehingga ke Putrajaya serta Seremban.
Mengakui kuasa tular media sosial banyak membantunya, bapa lima anak ini berkata jika sebelum ini paku dan tukul menjadi peneman harian, namun sejak penguatkuasaan PKP, kepulan asap serta kateh lembu jadi teman setianya mencari rezeki.
Rojak kateh dihasilkan Syed Afindi tular dalam media sosial sehingga rumahnya dikunjungi pengunjung pelbagai latar belakang bagi dapatkan makanan tradisional tersebut. - Kredit Foto: FB Syed Afindi
Berkongsi cerita, dia yang lebih dikenali sebagai Pak Usop berkata pada hari-hari terawal PKP dikuatkuasakan dia buntu memikirkan kewangan bagi menampung perbelanjaan harian ekoran tidak dapat keluar bekerja sebagai tukang rumah.
Kateh lembu perlu dibakar terlebih dahulu sebelum proses lain dilakukan bagi hasilkan rojak kateh.
"Saya banyak termenung ketika itu sehinggalah suatu hari anak kedua, Sharifah Hidayah, 11, yang dipanggil Ebby seloroh bergurau menyuruh saya menjual rojak kateh.
"Kebetulan ada lebih kurang lima batang kateh atau urat keting lembu di rumah, itupun sekadar stok saya sekeluarga kerana rojak kateh jadi menu kegemaran kami, resepi turun-temurun.
"Bagaikan 'orang mengantuk diserongkan bantal' saya hanya turuti sahaja apabila Ebby meminta memasak semua kateh yang ada. Kami kemudiannya agihkan kepada jiran-jiran," katanya ketika ditemui Mojo KitaReporters, di rumahnya.
Tambah Pok Usop, dia tergerak hati untuk memuat naik gambar rojak kateh dalam Facebook dan tidak menyangka mendapat sambutan positif serta tempahan daripada kenalan.
Syed Afindi tidak pernah menyangka kateh lembu kini menjadi 'teman hariannya' dalam usaha mencari rezeki.
Ujarnya, tanpa berfikir panjang pada malam itu dia berusaha mencari kateh lembu sehingga ke Kuala Terengganu dan menyediakan rojak kateh dengan hanya dibantu oleh isteri, Syarifah Suhaida Tuan Chik, 37, serta anak-anak.
"Saya jualnya RM5 sebungkus. Hari pertama terjual lebih kurang 20 bungkus dan tidak pernah sangka ia boleh tular ke sampai tahap ini, sehingga jualan mampu cecah 400 bungkus sehari.
"Pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan lokasi termasuk di Putrajaya yang dihantar secara kiriman pos.
"Kini, terdapat sekitar 10 pekerja, secara tidak langsung boleh bantu orang-orang kampung yang terjejas pendapatan ekoran penguatkuasaan PKP akibat COVID-19," ujarnya.
Rojak Kateh Madu Dapur Arang dijual oleh Syed Afindi pada harga RM5 sebungkus dan telah mendapat permintaan sehingga ke luar Terengganu seperti Putrajaya serta Negeri Sembilan.
Cerita Pok Usop lagi, waktu menyediakan rojak kateh tidak tentu dan bagi memenuhi permintaan rojak kateh dia terpaksa mendapatkan bekalan kateh sehingga ke daerah-daerah lain, namun bagi kayu api dia mencarinya di kawasan belukar sekitar kampung.
Mengakui penyediaan rojak kateh sesuatu yang agak rumit selain mengambil masa agak lama, namun Pok Usop tidak menjadikan ia halangan untuk mencari rezeki untuk keluarga dan anak-anak yang berusia 13, 11, 9, 5 dan dua tahun.
Syed Afindi bersama lima anaknya. - Kredit foto: Facebook Syed Afindi
Ketika ditanya mengenai 'nasib' Rojak Kateh Madu Dapur Arang selepas segala PKP berakhir dan dia kembali bergelar tukang rumah, Pok Usop berkata makanan itu akan dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingannya kelak.
Sementara itu, untuk info rojak kateh merupakan sejenis makanan traditional yang terkenal di Terengganu dan Kelantan.
Rojak ini merupakan kateh atau urat keting lembu serta kerbau yang direbus selama beberapa jam bagi menyingkirkan lemak namun ia kateh harus dibakar terlebih dahulu.
Kateh kemudiannya dipotong kepada bahagian-bahagian kecil sebelum dimasak bersama air cuka berlada dan kebiasaannya rojak ini banyak dibuat pada Hari Raya Aidiladha kerana mudah mendapat kaki dari lembu korban. - KitaReporters
Rojak kateh merupakan makanan tradisional khususnya bagi negeri Pantai Timur.