Selera & Santai 20 Jul, 2024

Video| Lebih 1j pengunjung akan hadir! Royal Floria Putrajaya datang lagi! 22 Ogos - 1 Sept 2024!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


FESTIVAL Bunga dan Taman Diraja Putrajaya atau singkatannya Royal Floria Putrajaya (RFP) datang lagi, penganjuran kali ke-13 sejak kali pertama diadakan pada 2007. Ia adalah acara ikonik anjuran Perbadanan Putrajaya dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan.   

Ketika pertama diadakan, RFP tampil dengan objektif menjadi acara dwitahunan berorientasikan keluarga bagi menghidupkan kalendar aktiviti Putrajaya namun penganjur sama sekali tidak menjangka sambutan yang daripada orang ramai luar biasa.

Royal Floria Putrajaya menerima 300,000 pengunjung pada penganjuran pertama, meningkat kepada 504,000 pada 2019, seterusnya angka itu terus meningkat kepada sejuta pengunjung pada tahun 2011. 


Berikutan sambutan luar dugaan membuatkan penganjur menyedari bahawa pameran berkenaan kini sudah menjadi sebuah acara mega. 

Menjelang 2012, berikutan peningkatan jumlah peserta antarabangsa, Floria Putrajaya diletakkan sepenuhnya di bawah pengurusan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi memastikan perancangan dan pengawalseliaan lebih baik.

Floria Royal Putrajaya tidak diadakan selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19 tapi diadakan semula pada 2022, sekali gus menarik lebih sejuta pengunjung yang rindu untuk melihat ribuan bunga-bungaan seperti tahun-tahun sebelum itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata dengan tema 'Raikan Bersama! "Celebrate Together!", RFP 2024 akan diadakan di Persisiran Tasik, Presint 2, bermula pada 22 Ogos hingga 1 September 2024. 


Dr Zaliha Mustafa (dua dari kanan) merasmikan Pra Pelancaran RFP 2024 di Monumen Alaf Baru, Putrajaya.


Beliau berkata, selama 11 hari penganjuran, RFP 2024 bakal menerima kunjungan orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 10 malam (Isnin - Khamis), manakala waktu operasi bagi hujung minggu pula adalah pada 9 pagi hingga 12 malam (Jumaat - Ahad).

"Bagi penganjuran kali ini, RFP 2024 mengangkat bunga petunia yang terkenal dalam kalangan pencinta tanaman hiasan sebagai bunga tema acara kerana kepelbagaian warna dan keindahan rupa bentuknya.

"Penganjurannya bertepatan dengan matlamat perancangan dan pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berkonsepkan ‘intelligent garden city’ yang menggabungkan elemen moden, pintar dan alam semula jadi," katanya kepada pemberita selepas majlis Prapelancaran RFP 2024 di Monumen Alaf Baru, Putrajaya. 

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk' TPr. Fadlun Mak Ujud. 



Dengan sasaran lebih sejuta pengunjung, RFP 2024 bukan sahaja menyajikan keindahan bunga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di dalam dan luar negara kepada pengunjungnya, malah turut menambah seri keindahan seni bina di Putrajaya.

Bertemakan ‘Raikan Bersama’ atau ‘Celebrate Together’, festival ini menggabungkan elemen moden, pintar dan alam semula jadi serta diwarnai kepelbagaian flora. 

Ia amat bertepatan dengan semangat merayakan Bulan Kebangsaan yang bakal disambut di pusat pentadbiran negara itu pada 31 Ogos 2024 ini. 

"RFP 2024 disusun atur untuk menempatkan lebih 30 lokasi pameran taman dengan penyertaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan," agensi korporat, swasta, persatuan dan pengusaha bunga selain sekolah dan institusi pengajian tinggi, sekali gus menjanjikan satu reka bentuk pameran taman yang lebih menarik di tapak penganjurannya di Presint 2 ini nanti,” kata Dr Zaliha.

Dengan penganjuran kali ke-13, beliau yakin penganjuran Royal Floria Putrajaya 2024 mampu mencapai satu tahap yang lebih tinggi dalam melonjakkan semula ekonomi terutama industri nurseri dan pembungaan di negara ini.

“Pada tahun ini (2024), kita pilih bunga petunia sebagai bunga tema. Sehubungan itu, festival ini akan mempamerkan lebih 700,000 bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna malah ada antara bunga-bungaan yang bakal dipamerkan nanti mungkin kali pertama kita pernah melihat. 


Perbadanan Putrajaya yakin dapat menarik lebih sejuta pengunjung untuk penganjuran RFP 2024.


“Penganjuran bertaraf antarabangsa ini membuktikan komitmen berterusan Jabatan Wilayah Persekutuan melalui agensinya, Perbadanan Putrajaya untuk terus membangun dan memajukan Putrajaya sebagai sebuah bandar raya contoh yang mampan dan sejahtera, ceria dan bertenaga,” ujarnya.

Mengenai kepelbagaian tarikan dan kemudahan yang dimiliki Putrajaya, beliau berkata pusat pentadbiran negara itu mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan yang wajib dilawati. 

Seramai 3.2 pelancong mengunjungi pelbagai lokasinya pada tahun 2023, kenaikan lebih 50 peratus berbanding dua juta yang direkodkan pada 2022.  

“Malah, Floria Royal Putrajaya mencatatkan kehadiran lebih sejuta pengunjung setiap kali penganjurannya, membuktikan ia adalah festival mega yang sentiasa dinanti-nantikan setiap tahun.

“Justeru, dengan kerjasama semua pihak, kita berazam meletakkan Putrajaya dalam kalendar pesta bunga-bungaan pada peringkat dunia setanding dengan penganjuran pesta bunga-bungaan dan taman di negara-negara Eropah, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya lagi.


Bunga-bungaan sentiasa menjadi identiti penganjuran Royal Floria Putrajaya setiap tahun sejak kali pertama diadakan pada 2007.

20
15
0
14
0
You will be interested