
Buah durian menghias bulatan mercu tanda Bandar Baharu.
Sejujurnya saya sudah lama tidak ke Bandar Baharu. Berbelas-belas tahun jugalah. Mesti banyak perubahan yang telah berlaku fikir saya. Betul!! Bandar Baharu yang juga disebut BB sekarang bukan yang dulu.
Perubahan yang berlaku sangat membanggakan walaupun belum sepenuhnya bertukar wajah. Kampungnya tersusun rapi dengan dihias pokok-pokok bunga berwarna warni di hadapan rumah. Banyak rumah lama yang telah diubah suai kekal menjadi penyeri
Bandar Baharu. Rumah-rumah taman juga terbina cantik di beberapa kawasan.
Walaupun terpisah oleh Sungai Kerian sebagai sempadan Bandar Baharu dan Perak, ia kekal relevan dengan kelasnya yang tersendiri. Ibarat kata bangun pagi di Bandar Baharu, sarapan pagi di Perak, seberang Sungai KerIan. Banyak. Gerai makanan dan restoran ada. 



Bukit ditarah cantik sehingga menampakkan batu unik tersebut.
Memandu sekitar jalan menghala ke Lubuk Tahar kami terpesona dengan satu pemandangan di sebuah bukit. Keadaannya baru ditarah dan apa yang kami nampak sekelompok batu-batu yang unik bentuknya.
Menakjubkan pemandangan mata. Sangat menarik. Bukit di situ ditarah rapi tanpa merosakkan batu-batu tersebut. Dua jentolak kelihatan terbiar di situ tanpa digunakan.
Suasana sekitar sunyi sepi. Ada jalan ke kawasan itu telah ditutup. Mungkin melarang orang ramai menghampiri kawasan tersebut. Adakah kawasan bukit batu batu unik itu penemuan khazanah bumi yang baru di Kedah? Wallahualam!
Mungkin pihak berkaitan dan kerajaan negeri ada jawabannya. Tiada siapa hendak kami bertanya dan menurut orang kampung di situ, mereka juga tidak tahu akan kewujudan batu batu unik tersebut.
Mungkin ada khabar gembira yang akan diumumkan mengenai batu tersebut dalam masa terdekat. Apapun saya teruja dapat melihatnya.
Saya dan sahabat Aini Abidin dan Jamilah Ibrahim kagum dengan bentuk dan kedudukannya semasa kami melalui kawasan itu. Sempat juga kami merakamkan pemandangan di situ. Satu peluang yang tidak patut dilepaskan.
Jika benar ia satu penemuan baharu Kedah bakal mempunyai destinasi pelancongan unik di negeri Kedah.


Berseri-seri dari jauh.
Selain Itu masjid dan sekolah juga dijaga elok. Dicat warna warni supaya menarik. Malah gerai RM1 juga ada di Bandar Baharu. Beraneka kuih muih hanya dijual dengan harga RM1 sebekas. Rasa macam nak beli semua sebab terlalu murah.
Pendek kata BB sekarang bukan yang dulu. Semoga beberapa tahun akan datang ia akan muncul sebagai destinasi tumpuan pelancong tempatan dan luar.
Sedikit tentang Bandar Baharu. Ia adalah sebuah daerah di Kedah yang terletak di selatan negeri, bersempadan dengan Perak dan Pulau Pinang., sekali gus ia dirujuk sebagai Gerbang Selatan Negeri Kedah.
Bandar Baharu juga merupakan sebuah bahagian pilihan raya negeri (DUN) dan kawasan persekutuan (Parlimen) dengan nama Kulim-Bandar Baharu. Pusat pentadbiran daerah ini adalah di Serdang.
Terdapat 6 mukim di daerah ini iaitu Bagan Samak, Sungai Kecil Ilir, Relau, Serdang, Kuala Selama, dan Sungai Batu. Kegiatan ekonomi utama adalah pertanian dan industri.
Antara tempat menarik yang boleh dikunjungi termasuk Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh Serdang, Farmstay Relau, Bukit Limau Permatang Kerat Telunjuk, Puncak Bukit Angin, Pasar Kemboja, Santai D'Keda Village, Taman Seri Tasik, dan Car Boot Sale Bandar Baharu.
Sejarah mencatatkan Bandar Baharu dahulunya dikenali sebagai Seberang Haji Ali, sempena nama seorang tokoh tempatan. - KitaReporters

Gerai kuih RM1 seberkas masih ada di Bandar Baharu

Sebuah hotel di sebelah Perak merentasi Sungai Kerian.
Tags: