Selera & Santai 01 Jan, 2026

Video| Langit penuh percikan bunga api, cahaya warna warni! Ambang Tahun Baharu 2026 disambut meriah!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

RUANG udara Putrajaya bermandikan cahaya warna-warni apabila ribuan pengunjung membanjiri Anjung Floria, Presint 4 bagi menyaksikan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 juga sempena Festival LENTERA: Sisiran Tasik Putrajaya 2025, sekali gus menjadi acara kemuncak festival pencahayaan ikonik anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj).




Detik 12 tengah malam disambut dengan sorakan gembira apabila tembakan bunga api menerangi Tasik Putrajaya, mencetuskan suasana penuh magis dan mengujakan. 

Orang ramai yang hadir bersama keluarga, anak-anak serta saudara mara begitu terhibur, apatah lagi dapat meraikan detik ambang tahun baharu di lokasi unik berlatarkan festival pencahayaan terbesar di Putrajaya. 

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim; serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir yang bersama-sama menyaksikan pertunjukan bunga api memukau di Tasik Putrajaya.


Program Ambang Tahun Baharu 2026 turut meriah dengan Festival LENTERA 2025 di Anjung Floria, Putraja dari 26 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026.


Kemeriahan tidak terhenti di situ apabila artis popular, Adira Suhaimi, tampil membuat persembahan istimewa selepas acara bunga api berakhir. 

Lagu hit "Ombak Rindu" mencetuskan momen emosional apabila ribuan pengunjung turut menyanyi bersama sambil menyalakan lampu telefon bimbit, menjadikan suasana semakin syahdu dan meriah.

Pada malam sama, Jabatan Wilayah Persekutuan melancarkan Pesona 3 Wilayah (Pesona 3W), inisiatif penjenamaan pelancongan bersepadu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang menyatukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di bawah satu jenama utama dengan slogan #3Cerita1Jiwa.  

Inisiatif itu menggabungkan tarikan Kuala Lumpur sebagai bandar moden, Putrajaya yang beridentitikan pentadbiran moden dan hijau, serta Labuan dengan keunikan maritim, sejarah dan pulau, sekali gus menawarkan pakej pelancongan menyeluruh serta mengukuhkan identiti Wilayah Persekutuan. 


Kanak-kanak ini seronok bermain salji buatan sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Anjung Floria, Putrajaya.


Ibu bapa seronok mengabadaikan kenangan Tahun Baru 2026 dengan bergambar bersama maskot Tahun Melawat Malaysia 2026, Beruang Matahari.


Mohd Sakeri berkata, Festival LENTERA: Sisiran Tasik Putrajaya 2025 merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan edisi sulung tahun lalu dan terus memperkukuh kedudukan Putrajaya sebagai destinasi utama festival pencahayaan negara.

“Penganjuran tahun ini amat bermakna kerana berlangsung menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 serta ulang tahun ke-30 penubuhan Perbadanan Putrajaya yang akan disambut pada 1 Mac 2026. 

“Bertemakan 'Warisan & Masa Hadapan', Festival LENTERA 2025 menampilkan gabungan elemen budaya tradisional dan imaginasi masa depan melalui dekorasi serta arca bercahaya yang kreatif dan inovatif,” katanya.


 

Suasana di Anjung Floria bak kayangan dengan limpahan lampu berwarna warni sempena Ambang Tahun Baharu 2026.


Sebanyak 26 laman bercahaya dipertonton kepada pengunjung merangkumi Laman Budaya (Warisan) dan Aneka Laman (Masa Hadapan), termasuk penyertaan khas Perbadanan Labuan dan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PBK) yang mempamerkan identiti unik masing-masing.

Selari konsep Sisiran Tasik Putrajaya, pengunjung turut disajikan dengan pertunjukan bot-bot berhias bercahaya membabitkan empat bot bertema berbeza, termasuk penyertaan khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Kehadiran Adira Suhaimi menyanyikan lagu Ombak Rindu menyebabkan suasana sambutan Tahun Baharu 2026 di Anjung Floria lebih meriah. 


Festival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti persembahan kebudayaan, jualan komuniti, persembahan buskers tempatan, aktiviti kanak-kanak serta sudut bergambar interaktif.

Festival LENTERA 2025 berlangsung selama 10 hari bermula 26 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam, dengan sasaran kehadiran 150,000 pengunjung merangkumi masyarakat setempat serta pelancong domestik dan antarabangsa.

Penganjuran sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 yang digabungkan dengan Festival LENTERA dan peluncuran Pesona 3 Wilayah mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh perpaduan, memperkasa industri pelancongan serta mengangkat identiti Wilayah Persekutuan selaras aspirasi Malaysia Madani, sekali gus menjadikan Putrajaya pentas utama acara nasional dan antarabangsa. - KitaReporters


Shamsul Azri Abu Bakar (empat dari kiri), Noridah Abdul rahim (tiga dari kiri) dan Mohd Sakeri Abdul kadir  (lima dari kiri) melancarkan Pesona 3 Wilayah (Pesona 3W), penjenamaan pelancongan bersepadu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

1
0
0
0
0
You will be interested