Selera & Santai 07 Jul, 2025

Tahniah Perak! Catat kedatangan pelancong domestik tertinggi pada 2024! Kejayaan Tahun Melawat Perak!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this


Tahniah Perak! Negeri kelahiran pahlawan Datuk Maharaja Lela itu mencatatkan jumlah ketibaan pelancong domestik tertinggi bagi tahun 2024, iaitu sebanyak 10.2 juta, mengatasi negeri-negeri lain.

Angka ini berdasarkan ‘Laporan Survei Pelancongan Domestik’ 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 19 Jun 2025.

Jumlah kedatangan ini begitu membanggakan kerana ia merekodkan peningkatan 36.1 peratus berbanding tahun 2023. Ini merupakan satu kejayaan negeri Perak menarik pelancong dengan menawarkan pelbagai produk pelancongan, termasuk tarikan sejarah.


Perak yang menawarkan pelbagai tarikan pelancongan muncul negeri menerima jumlah pelancong domestik tertinggi pada tahun 2024.


Memetik Tourism Perak, lima daerah utama di Perak yang jadi tumpuan pelancong ialah Kinta, Larut dan Matang, Manjung, Kuala Kangsar dan Batang Padang.

Dari segi tempat tumpuan pelancong pula ialah Teluk Batik (Lumut), Lumut Waterfront, Pasar Malam Ipoh, Taman Rekreasi Gunung Lang (Ipoh) dan Pulau Pangkor.

Lumut dan Pulau Pangkor sejak sekian lama jadi tarikan pengunjung, ditambahkan pula kedudukan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai. Nikmati pemandangan indah di Lumut sebelum naik bot ke Pulau Pangkor. Hasil makanan laut banyak dijual di Lumut.

Manjakan diri dengan bersantai di Pulau Pangkor, melarikan diri daripada kesibukan atau hiruk pikuk kota. Pergilah berkeliling pulau menghayati keindahan susana yang tenang dan damai sambil membeli buah tangan sebagai kenangan untuk dibawa pulang.


Pulau Pangkor menggamit menunggu ketibaan pelancong ke pulau bebas cukai itu.


Kota Belanda, antara tinggalan sejarah di Pulau Pangkor.


Untuk beriadah dan berekrasi ada taman tema seperti Lost World di Tambun, Ipoh dan Laketown Resort di Bukit Merah. Memang sesuai membawa keluarga bersama untuk berlibur.

Perak mempunyai catatan sejarah, antara yang terkenal ialah kisah pembunuhan Residen British, JWW Birch di Pasir Salak. Boleh melihat kawasan Sungai Perak di mana Birch dibunuh. Kubur Birch juga ada di sana.

Kota Ngah Ibrahim, seorang pembesar Perak, terdapat di daerah Larut & Matang. Di sini terdapat pusara Ngah Ibrahim serta sebuah muzium yang antara lain mempamerkan suasana mahkamah ketika perbicaraan Datuk Maharaja Lela yang akhirnya dihukum mati kerana membunuh Birch.


Kota Ngah Ibrahim di daerah Larut dan Matang, bangunan bersejarah yang turut menempatkan sebuah muzium sejarah, termasuk kisah perbicaraan pembunuhan Birch.


Jangan lupa tarikan popular, Istana Kellie di Batu Gajah. Tersergam indah sebagai lambang cinta seorang lelaki Scotland, William Kelly Smith, untuk isteri, Agnes, tetapi tidak kesampaian. 

Pembinaan istana terbengkalai apabila Kellie meninggal akibat jangkitan paru-paru ketika lawatan ke Lisbon, Portugal pada 1926. Isterinya yang sangat sedih pulang ke Scotland bersama anak tunggal mereka.


Istana Kellie di Batu Gajah, tumpuan pelancong dalam dan luar negara mengimbau lambang kasih seorang suami kepada isteri.


Di Teluk Intan, terdapat mercu tanda Menara Jam Tinggi yang kini sudah berusia 140 tahun. Dibina pada 1885, ia merupakan lokasi mesti dikunjungi pelancong apabila berkunjung ke Teluk Intan khasnya dan Perak amnya.

Menara ini juga dikenali sebagai ‘Menara Condong’ kerana kedudukannya yang sedikit condong seperti Menara Pisa, Itali. Ketinggiannya 85 kaki (28 meter) dan mempunyai 110 anak tangga. Asalnya ia berfungsi sebagai tempat simpanan air bagi penduduk Teluk Intan.


Menara Jam Tinggi atau 'Menara Condong' tarikan utama pelancong ke Teluk Intan.


Kuala Kangsar merupakan lokasi tanaman pokok getah pertama di negara ini oleh HN Ridley. Tanaman ini kemudian menjadi sumber ekonomi utama negara. 

Malaysia pernah menjadi negara pengeluar dan pengeskport terbesar getah asli dunia.


Pokok getah pertama ditanam di Kuala Kangsar. Akhirnya getah jadi bahan eksport utama negara.


HN Ridley bertanggungjawab menanam pokok getah pertama di Malaya.


Di bandar diraja ini juga terdapat Muzium Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, sebuah galeri yang merakamkan sejarah dan peristiwa penting perjalanan hidup baginda dari zaman kanak-kanak sehingga dimasyhur Sultan Perak, juga sebagai Yang Dipertuan Agong kesembilan. 

Istana Iskandariah, tempat bersemayam Sultan Perak dan Masjid Ubudiah terletak di Bukit Chandan, juga di Kuala Kangsar.


Galeri Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar merakamkan susur galur kehidupan baginda dari kecil sehingga dimasyhur Sultan Perak dan Yang Dipertuan Agong kesembilan.


Banyak lagi tarikan pelancongan di Perak, termasuk Masjid Terapung di Bagan Datuk, Bukit Larut, Muzium Arkeologi di Lenggong, Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping dan lain-lain.

Kejayaan Perak muncul sebagai destinasi utama pelancong domestik adalah kesan daripada ‘Kempen Tahun Melawat Perak’ (TMP) 2024. Kempen ini berperanan penting merancakkan sektor pelancongan negeri pada tahun 2024.

Turut jadi pemangkin kejayaan ialah kerjasama erat semua pihak, termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daeraha dan dan tanah, penggiat industri pelancongan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta serta komunti setempat.

Berkunjunglah ke Perak, negeri pelbagai loghat menurut daerah. Rasai kemesraan warga Perak menyambut dan meraikan tetamu, di samping makanan Perak yang menyelerakan. Jadikan Perak desitansi pelancongan pilihan. - KitaReporters


Masjid Terapung Tuminah Hamidi di atas Sungai Perak tumpuan pelancong yang datang ke Bagan Datuk.


Dataran Waterfront Bagan Datuk mengalu-alukan kehadiran pelancong untuk bersantai dan menikmati keindahannya.

 

13
13
0
9
0
You will be interested