Selera & Santai 03 Oct, 2023

Orang Asli suku Bateq jadi tarikan di Lembah Tanum! Sedia bawa para pelancong terokai gua-gua unik!

Share this


ROSLAN A/L DIN yang berusia 20 tahun ini tampil dengan gaya rambutnya yang ranggi.


ORANG Asli suku Bateq dan juga keunikan gua-gua yang terdapat di sekitar Lembah Tanum merupakan antara produk penting tarikan pelancong ke kawasan Kuala Lipis, Pahang.

Ini kerana, suku Orang Asli ini nampak berbeza tidak seperti kaum-kaum yang lain terutama rambut mereka yang hitam kerinting halus, warna kulit gelap dan bibir yang agak tebal persis orang berasal dari benua Afrika.

Selain itu juga, dipercayai di lembah tersebut mempunyai puluhan gua batu kapur yang kebanyakannya masih lagi belum diteroka terutama sebagai segmen dalam ekopelancongan.

Justeru, komuniti suku kaum Bateq di sana sejak kebelakangan ini sentiasa bekerjasama rapat dengan Tourism Pahang dan juga Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) bagi mempromosikan lagi sektor tersebut.


HARUN A/L KABU


Tok Batin Kampung Kepong yang terletak di Chegar Perah, Lembah Tanum, Harun a/l Kabu, 46, berkata, tarikan-tarikan yang ada itu turut diharap mampu membawa limpahan ekonomi buat anak-anak buahnya kelak.

"Ramai pelancong tempatan dan juga dari luar negara yang datang ke sini biasanya mereka mahu beriadah dengan berkayak di sungai, meredah hutan dan menjelajah ke dalam gua-gua.

"Secara tidak langsung apabila mereka melalui ke kawasan perkampungan ini ia boleh menjana ekonomi kami. 

"Kami boleh menjual pelbagai barangan kraf tangan yang dibuat daripada buluh dan juga hasil-hasil hutan seperti pokok-pokok herba untuk produk kesihatan.

"Malah, anak-anak muda kami yang tiada kerja tetap juga boleh jadi pemandu pelancong di kawasan di sekitar sini," katanya semasa ditemui KitaReporters di Kampung Kepong, baru-baru ini.




Kampong Kepong didiami kira-kira 8 keluarga dengan keseluruhan penduduknya tidak sampai 30 orang yang mana mereka ini mendiami pondok yang diperbuat daripada buluh dan sering berpindah-randah untuk bercucuk tanam atau mencari hasil-hasil hutan.

Dalam kunjungan Lawatan Bersama Media - Ekspedisi Ke Lembah Tanum itu, beliau sempat memperkenal beberapa produk hasil tangan suku kaumnya yang dibuat daripada hasil hutan yang dikomersialkan sebagai produk kraf tangan pelancongan.

Lembah Tanum yang kini sedang dipromosikan sebagai salah satu produk pelancongan dalam Tourism Pahang antaranya meliputi kawasan Sungai Temau, Chegar Perah, Kubang Rusa dan Sungai Yu.

Tambah Harun lagi, anak-anak buahnya amat dekat dengan kawasan-kawasan sekitarnya termasuklah gua-gua di situ yang telahpun diketengahkan sebagai produk-produk pelancongan.




"Di Kampung Kubang Rusa tidak jauh dari sini sahaja ada lebih 5 gua yang telah menjadi produk pelancongan. 

"Antaranya Gua Hidden Garden, Gua Air Mata Dayang, Gua Seribu Cerita, Gua Jinjang Pelamin dan Gua Hantu Menari.

"Selain itu, Gua Temalong tidak jauh dari kampung kami ini juga antara gua yang sering dikunjungi para pelancong dan ia semakin dikenali ramai," ujarnya.

Setiap gua di Lembah Tanum mempunyai keunikannya yang tersendiri seperti Gua Tahi Bintang yang terbentuk daripada formasi tahi bintang pada dinding-dindingnya sejak jutaan tahun lalu.

Begitu juga dengan Gua Sisik Naga yang memperlihat formasi warna-warna yang unik serta pelbagai bentuk seakan-akan sisik naga yang pastinya mampu menggamit hati para pelancong termasuk pencinta seni fotografi.

Sebarang maklumat lanjut sila layari laman sesawang Tourism Pahang atau hubungi syarikat pelancongan seperti Tuah Travel yang amat sinonim dalam pengendalian acara di kawasan tersebut. - KitaReporters


ANTARA hasil kraf tangan suku kaum Bateq yang dijual dalam Kampong Kepong di Chegar Perah. 

29
30
0
17
0
You will be interested