Selera & Santai 20 Sep, 2023

Pernah buat kek untuk Nabil Ahmad! Ilyana hampir give up teruskan bisnes! Terkesan harga barang naik!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Kek bersaiz 20x40 inci yang dihasilkan oleh Ilyana Abdullah.


Rata-rata orang ramai membahaskan harga barang keperluan naik mendadak. Sana-sini melahirkan rasa tidak puas hati. 

Apabila harga barang keperluan atau bahan mentah naik, maka harga-harga makanan turut naik. Paling teruk menerima tempias ialah peniaga yang serba salah untuk naikkan harga makanan yang dijual.

Maka berbakul-bakullah caci maki dilemparkan dalam media sosial malah ada pihak tidak bertanggungjawab menularkannya. Terbaharu isu beras yang naik sehingga peniaga terpaksa menaikkan harga nasi yang dijual. Itu contoh yang relevan buat masa kini. 

Sebenarnya selain beras, harga barang-barang keperluan juga naik. Antara peniaga yang terkesan dengan kenaikan harga barang ini ialah pengusaha kek custom (langganaan), Ilyana Abdullah, 40.

Ibu kepada empat orang anak yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan menetap di Shah Alam, Selangor ini mengakui dia terkesan dengan isu tersebut. 


Selain di rumah, sekali sekala Ilyana akan menjualnya di tepi jalan.


Bercerita mengenai bisnes kek yang diusahakan, menurut Ilyana dia memulakan perniagaan tersebut 10 tahun lepas iaitu pada tahun 2013. 

Namun, kek yang dihasilkan ini berbeza dari kek yang dijual di kedai kek biasa kerana ia merupakan kek costum atau dipanggil novelty cake iaitu kek kebaharuan yang dibuat mengikut design diberikan oleh pelanggan.

“Saya mula menceburi bisnes ini kerana mahu membuat pendapatan sampingan. Saya belajar daripada kakak yang juga pembuat kek. Kebanyakannya saya belajar sendiri melalui YouTube,” ceritanya.

Bisnes kek ini dilakukan di rumah dan tidak mempunyai pekerja. Namun sekiranya dia menerima tempahan besar, dia akan mengambil pekerja sambilan untuk membantunya. 

“Sesekali saya juga menjual di taman perumahan dan sebulan sekali di event bake sale yang dianjurkan bersama kawan-kawan baker yang lain. Di sini harga jauh lebih murah berbanding kek yang dijual di kedai,” katanya. 


Kek berbentuk durian untuk anak bujangnya.


Pernah hampir putus asa

Dalam dunia perniagaan, jatuh bangun adalah kelaziman. Andai jatuh, bangun dan terus bangun. 

Menurut Ilyna, sepanjang menceburi bisnes ini, dia pernah berhadapan dengan krisis dan dugaan. Masih utuh dalam ingatan pada tahun 2021 iaitu ketika COVID-19 melanda seluruh dunia, bisnes terkesan.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah dilanda virus berbahaya, ketika itu jugalah banjir besar melanda Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Lebih malang, hampir semua peralatan membuat kek rosak kerana tenggelam dalam banjir.

Peristiwa itu hampir membuatkan dirinya putus asa kerana pendapatan tidak banyak untuk mengganti peralatan baharu. Namun, berkat kesabaran dan sokongan kawan-kawan, Ilyana bangkit.


Banjir yang melanda pada 2021 memusnahkan hampir semua peralatan membuat kek.


“Walaupun saya terkesan dengan COVID-19 dan banjir yang melanda dulu, saya bersyukur kerana dapat sokongan daripada para pelanggan. Ada yang tidak mahu ambil refund

"Sumbangan daripada kawan-kawan sekolah alumni (SAMURA) dengan menggantikan oven industri baharu dan sebuah chiller melalui dana yang mereka kumpulkan, juga sangat saya hargai.

"Waktu itu juga saya dan rakan-rakan berjaya menghasilkan sebiji kek paling besar pernah kami hasilkan yang bersaiz 30x50 inci untuk menghargai frontliners di MAEPS Serdang.

"Berat kek dalam anggaran 50 kilogram lebih. Kek ni sumbangan daripada ramai dermawan dan saya bersama beberapa orang kawan baker berganding bahu untuk membuatnya,” ujarnya.


Kek berbentuk kenderaan Bomba dan Penyelamat.


Selain itu, harga barang yang semakin naik juga memberi tekanan kepada Ilyana. Bahkan rakan-rakan dalam bisnes yang sama turut terkesan. Nak tak nak, mereka terpaksa menaikkan harga kek. 

“Harga kos bahan mentah naik terlalu tinggi menyebabkan kami pembuat kek tiada pilihan lain selain menaikkan harga kek. Kuasa pembeli juga berkurang menyebabkan jualan kek tidak serancak dulu.

"Nasihat saya, cekalkan hati dan berusaha untuk terus bertahan dalam bidang ini. Keadaan ekonomi negara kita pasti akan pulih satu masa nanti dan semoga perniagaan ini terus berkembang maju insya-Allah,” luahnya.


Kek yang ditempah oleh isteri Nabil Ahmad untuk kejutan hari jadi Nabil.


Terima tempahan artis popular

Menurut Ilyana, pelanggan-pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai golongan. Malah ada juga artis popular mendapatkan perkhidmatannya seperti pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad dan penyanyi, Sufi Rashid.

“Pada tahun 2015, isteri Nabil Ahmad pernah menempah kek untuk kejutan hari jadi Nabil. Oleh kerana ketika itu Nabil sedang rajin bersenam di gimnasium, maka isterinya meminta kepada saya untuk hasilkan kek berbentuk peralatan senaman.

"Selain Nabil, penyanyi Sufi Rashid juga pernah menempah kek berbentuk piano. Malah saya juga menerima tempahan daripada syarikat-syarikat korporat,” ceritanya.

Bermacam-macam pelanggan bermakna bermacam-macam juga perangai pelanggan. Ada sesetengah pelanggan mahukan kek yang gah tetapi bajet tidak mencukupi. 

Tegas Ilyana, dalam hal ini dia akan menasihati dan memujuk pelanggan agar menempah design kek yang bersesuaian dengan bajet. Jika pelanggan tidak menerima, dia akan menolak secara baik. - KitaReporters


Kek berbentuk piano yang ditempah oleh penyanyi Sufi Rashid.

12
10
0
13
0
You will be interested