Selera & Santai 31 Mar, 2023

Deko Deko| Terkilan tak dapat pinggan talkin! Kumpul beli sikit-sikit daripada grup! Harga? Mahalnya!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Set Sakura yang paling penulis gemari, puas hati dapat membelinya daripada ahli grup Peminat Pinggan Mangkuk Lama (PPML)



Sewaktu berada di rumah mertua di kampung, nampak banyak pinggan mangkuk tembikar tersusun di atas rak yang dibina mengunjur terkeluar daripada dinding kayu ruang dapur. Pinggan makan latar putih berhias corak bunga di permukaannya. Banyak sangat, teringin nak memilikinya sedikit tetapi malu nak minta. 

Ini cerita lama berpuluh-puluh tahun dahulu sewaktu kedua-dua mertua masih hidup.

Setiap kali balik, saya hanya pandang himpunan pinggan mangkuk itu sambil dalam hati terfikir kalau dapat simpan sikit buat kenangan best juga. Bukanlah nak banyak, sikit pun jadilah nak simpan. 

Difahamkan, pinggan pinggan itu bukan dibeli, sebaliknya adalah koleksi  pinggan talkin.  Sewaktu mula-mula dengar nama tu, tertanya-tanya juga apakah maksud pinggan talkin tu? 


Pinggan corak bunga kekwa merah dan sudu bunga jenis lain tetapi serasi dipadan kerana warnanya sama.


Saya diberitahu semua pinggan itu adalah pemberian orang kampung kepada ayah mertua, seorang Imam masjid yang kini sudah arwah. Setiap kali ada kematian, ayah mertualah yang dipanggil untuk mengimamkan solat jenazah dan membacakan talkin. Keluarga si mati akan memberi hadiah makanan kering seperti biskut dan makanan yang dimasak seperti pulut kuning dan ada juga memberi barang bukan makanan seperti kain sarung sebagai tanda terima kasih. 

Lumrahnya bahan itu diletak dalam bekas pinggan dan dengan pinggan itu sekali diserahkan sebagai pemberian. Biasanya ia dihantarkan ke rumah selepas majlis. 

Bekas itulah yang disebut (oleh keluarga mertua) pinggan talkin, saiz pinggan makan. Maksudnya seberapa banyak pinggan itu yang ada, sebanyak itulah ayah mertua telah membacakan talkin kepada si mati di kampung itu. Jumlahnya tak terkira, ratusan tu dah tentu.


Pinggan bujur untuk hidangan tambahan, bunga kekwa merah. Saiz besar di belakang harga seratus ringgit lebih sebiji.


Pinggan makan saiz inilah yang dipanggil pinggan talkin oleh keluarga mertua penulis. 


Minat benar dengan pinggan lama bercop `Made in China' itu. Mungkin keluaran sebelum saya lahir lagi, bawah tahun 60-an ke atau sekitar tahun itu. Dalam hati masih terfikir kalau dapat sikit, best juga tapi apa yang berlaku. 

Suatu hari apabila kami balik kampung di Kelantan, rak itu sudah kosong. Dah tak ada pinggan pinggan tu di situ.

"Mana pinggan pinggan yang lama tu mak?" Saya tanya mak yang juga kini arwah.

"Semua dah disedekah kepada masjid," jawab emak mertua. Mendengarkan itu, saya pun tak terkata apa. Saya sangkakan emak sayangkan pinggan-pinggan tu, sebab tulah tak sampai hati nak minta. Kalau tahu dia tak nak, mahu juga saya minta.

Apa pun, perkara dah berlaku. Pinggan pinggan tu dah jadi hak milik masjid. Takkan nak minta balik. 

Pernah juga beritahu suami, bolehkah kalau kita minta balik pinggan tu sikit dan kita gantikan dengan pinggan keluaran baru? Saya pun dah tak ingat jawapan suami, tapi pada masa sama saya tak beranilah nak buat gila minta barang yang dah jadi hak masjid. 

Tak apalah bisik hati. Nanti kalau ada rezeki mungkin boleh dapat daripada mana-mana nanti.


Teko dan mangkuk dibeli berasingan. Teko itu saja berharga sekitar RM150


Kalau nak tahu, pinggan mangkuk lama itu kini sudah menjadi barang bernilai tinggi, ia dikumpul oleh peminat sebagai hiasan bernilai antik. 

Restoran Chef Ismail di Kuala Lumpur misalnya menjadikan pinggan mangkuk lama sebagai hiasan dinding di restorannya. Ia menimbulkan nostalgia suasana di kampung sesuai dengan menu masakan kampung yang dihidangkan.

Kita kalau tidak tengok dengan mata hati, tidak akan dapat menghayati keindahan corak pada pinggan mangkuk lama itu. Kalau dah banyak bertambun, hanya menyemakkan dan dah tak ingin melihatnya lagi, baik sedekah saja pada masjid. Mungkin begitu fikiran ibu mertua.

Dan apabila wujudnya media sosial, ada la peluang bagi kita untuk mencari apa jua barang, baik yang lama atau pun baru. Ada saja orang menjualnya.

Suatu hari terjumpa laman Peminat Pinggan Mangkuk Lama (PPML) dalam Facebook yang mempunyai ahli seramai 15.5K. Hari-hari ikuti posting di laman itu, ahlinya giat mempromosi pinggan mangkuk lama untuk dijual. 

Aktif juga jual beli di laman itu. Geram tengok gambar gambar yang dimuat naik, beranikan diri bertanyakan harga, mak ai mahalnya.


Cawan dan piring corak sakura paling digemari penulis, setiap kali pandang masuk ke hati, sekali gus timbul rasa sayang, kata orang dari mata jatuh ke hati.


Satu pinggan makan macam pinggan talkin yang saya sebut tadi, harganya berbelas-belas ringgit, set cawan enam biji sekitar RM150, satu teko sahaja harga RM150 ke atas! Mengalahkan pinggan mangkuk baru. 

Tapi dek termakan suaan gambar-gambar pinggan mangkuk lama laman tu, akhir saya terjebak juga membeli. Saja saya tak nak kira jumlah berapa duit yang sudah dihabiskan untuk membelinya. Harga tak sama di antara satu penjual dengan yang lain.

Corak bunga kekwa dan sakura merah jambu adalah pilihan saya untuk dihimpun. Ada yang nampak terlebih-lebih mengumpulkan sehingga menimbulkan kepelikan, mengapa mereka sanggup berhabisan membeli, kiranya saya tak banyak pun. 

Pun terkadang terselit rasa kesal kenapalah habiskan duit beli barang lama? Namun apabila meneliti kecomelan set bunga kekwa dan sakura merah yang tersusun dalam almari hati rasa terubat, cantiknya tak puas dipandang. 

Semua koleksi itu tersimpan dalam almari kaca berangka logam emas, keluaran PGA. Terabadilah ia di situ berfungsi sebagai penyeri ruang.

Bagi orang lain mungkin tak rasa menarik dan tak terdorong pun untuk melihatnya, tak apalah bukan untuk tatapan orang, hanya untuk tatapan mata sendiri! 

Bagaimana orang dulu menyusun dan mempamerkan koleksi pinggan mangkuk mereka begitulah juga orang sekarang mempamerkannya dalam almari. Kini lebih kreatif, ada yang menggantungnya pada dinding secara tersendiri mahupun berkumpulan.

Pinggan mangkuk lama kini menjadi sumber pendapatan bagi sesetengah ahli yang menjadi pengumpul dan penjual. - KitaReporters


Cawan dan piring corak kekwa merah.

13
15
0
11
0
You will be interested