Selera & Santai 27 Sep, 2025

Video| Rahsia sebenar chicken tenders terbongkar! Selama ini kita makan tenderloin atau isi dada?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đź“§: [email protected]

Share this
Fenomena makanan viral bukanlah perkara baharu di Malaysia. Pantang ada menu baharu yang tular dalam media sosial, pasti ia menjadi rebutan.


Ada sanggup beratur panjang berjam-jam lamanya demi mencuba hidangan tersebut, lengkap dengan kamera untuk memuat naik pengalaman pertama ke dalam media sosial (medsos).

Trend makanan viral ini bukan sahaja mencetuskan suasana meriah, malah membuka peluang rezeki baharu kepada ramai peniaga kecil. 

Namun, apa yang menarik, fenomena ini selalunya bermusim. Hari ini popular, minggu depan boleh lenyap tanpa khabar berita.


Chicken tenders antara makanan yang menjadi viral. - Kredit foto: Blog Resepi Vida


Kategori makanan manis seperti kek, pencuci mulut unik, minuman berwarna-warni, sering mendapat tempat utama di hati rakyat Malaysia. Namun, menu savoury seperti chicken tenders juga tidak kurang hebat sambutannya.

Ketika musim boikot restoran makanan segera antarabangsa masih hangat sehingga ke hari ini (2025), peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga tempatan. 

Mereka membuka meja kecil di pasar malam, tepi jalan atau food truck untuk menjual menu viral seperti chicken tenders.


Bagi mendapatkan bahagian tenders, dada ayam perlu dibelah.


Sambutan ini bukan sahaja kerana faktor harga yang lebih berpatutan, malah ramai pengguna mahu menyokong perniagaan milik anak tempatan. 

Ada juga pembeli yang teruja kerana dapat merasai menu gaya fast food dengan resipi lebih dekat dengan cita rasa tempatan, contohnya rempah ayam yang lebih pedas atau sos pencecah beraneka rasa.

Namun, di sebalik kegilaan ini, timbul satu persoalan besar, adakah chicken tenders yang dibeli benar-benar menggunakan bahagian ayam yang dimaksudkan, atau sekadar isi dada ayam yang digoreng?

Sebenarnya ramai pengguna keliru kerana rupa bentuk potongan ayam itu hampir sama. Mereka menyangka chicken tenders sama dengan dada ayam. 

Hakikatnya seekor ayam hanya mempunyai dua bahagian tenders sahaja. Jadi sukar untuk peniaga menggunakannya untuk menu besar-besaran.



Bahagian sebenar yang dikenali sebagai chicken tenderloin atau “tenders” ini merupakan urat daging lembut yang terletak di bawah dada ayam (breast). 

Bentuknya lebih kecil, memanjang dan lebih lembut berbanding dada ayam biasa. Jika diperhatikan pada ayam mentah, terdapat jalur daging memanjang yang boleh ditarik keluar. Itulah tenderloin yang sebenar.

Ini bermaksud, jika seseorang peniaga menjual berpuluh-puluh atau beratus ketul chicken tenders sehari, besar kemungkinan mereka menggunakan isi dada ayam yang dipotong menyerupai tenderloin.

Fenomena ini turut mendapat perhatian dalam media sosial apabila sebuah akaun TikTok, Ayam Segar Selayang, berkongsi video yang menunjukkan lokasi tepat bahagian tenders ayam. 

Dalam video tersebut, pemotong ayam memperlihat secara langsung perbezaan antara tenderloin dan dada ayam, lengkap dengan penerangan visual.



“Inilah chicken tenders yang sebenar-benarnya original. Jadi persoalannya, selama ini korang makan chicken tenders ke isi dada? Sudah belajar, sila komen,” tulis admin akaun itu.

Video itu menjadi tular dengan ribuan tontonan dankomen. Ramai netizen terkejut kerana selama ini menyangka chicken tenders yang mereka beli di pasar malam atau restoran fast food tempatan benar-benar tenderloin.



“Terima kasih kepada yang bertanya soalan. Dapat juga ilmu. Patutlah chicken tenders ni mahal daripada dada ayam,” kata seorang netizen.

Namun, ada juga yang membidas peniaga yang disifatkan tidak jujur kerana menggunakan isi dada ayam tetapi menjualnya dengan harga tenderloin.  

“Dahlah guna dada ayam, harga macam guna tenders,” tulis seorang lagi pengguna TikTok. 



Beberapa pengguna lain pula melihat isu ini dari sudut positif. 

Mereka berkata, walaupun isi dada ayam digunakan, rasa dan tekstur masih sedap dan lebih murah berbanding restoran makanan segera terkenal.

Bagi mereka yang biasa memasak atau mahir dalam bahagian ayam, perbezaan antara tenderloin dan dada ayam boleh dikenali hanya dengan sekali gigit. 

Tenderloin lebih lembut dan berjus, manakala dada ayam lebih pejal dan mudah kering jika terlebih masak.

Fenomena chicken tenders ini menunjukkan bagaimana pasaran makanan tempatan cepat bertindak balas terhadap trend. 

Namun ia juga mengingatkan pentingnya ketelusan peniaga dalam memasarkan produk. Nama menu yang menarik tidak sepatutnya digunakan untuk mengelirukan pengguna. - KitaReporters


13
10
0
10
0
You will be interested