Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kos percutian di Langkawi perlu dikawal agar pulau legenda itu kekal menjadi destinasi untuk semua lapisan rakyat dan bukan hanya untuk golongan berkemampuan tinggi.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat berhubung kecenderungan rakyat Malaysia memilih untuk bercuti ke luar negara, khususnya ke Thailand, berbanding dalam negara sendiri.
Menurut Anwar, Langkawi memiliki keindahan dan keunikan yang setanding dengan destinasi antarabangsa seperti Phuket dan Bali.
Namun, potensi itu boleh terjejas sekiranya harga penginapan, makanan dan pengangkutan terus meningkat tanpa kawalan.
“Langkawi mempunyai pantai yang indah, pemandangan memukau dan budaya yang kaya dengan sejarah. Tidak ada sebab rakyat sendiri tidak mampu bercuti di sini. Kos percutian mesti lebih murah daripada negara jiran,” katanya.


Perdana Menteri memaklumkan beliau telah mengarahkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mencari langkah segera bagi menurunkan kos pelancongan supaya Langkawi kekal kompetitif sebagai destinasi utama negara.
Katanya, dua pengerusi bersama LADA iaitu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah diminta berbincang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan rakyat tidak terbeban untuk menikmati keindahan pulau legenda itu.
“Kita tidak mahu Langkawi hanya gah pada nama tetapi rakyat sendiri tidak mampu datang bercuti. Jika terlalu mahal, pelancong akan beralih ke luar negara dan ekonomi setempat akan terjejas,” tegasnya.


Anwar berkata kerajaan akan menilai semula strategi pembangunan pelancongan di Langkawi agar manfaatnya sampai terus kepada penduduk tempatan melalui peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Langkawi mesti dimajukan dengan semangat berjiwa rakyat. Penduduknya perlu mendapat manfaat terus daripada kemasukan pelancong. Kita mahu Langkawi bukan hanya indah dipandang tetapi makmur untuk didiami,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemain industri pelancongan supaya memperkayakan pengalaman pelawat dengan memperkenalkan unsur warisan dan legenda tempatan seperti kisah Mahsuri, seni kraf Melayu dan budaya masyarakat setempat.
“Langkawi tidak boleh menjadi sekadar lokasi pantai dan pusat beli-belah. Ia mesti menonjolkan nilai sejarah dan budaya yang membentuk jiwa bangsa,” ujarnya.
Anwar berharap tegurannya menjadi peringatan kepada semua pengusaha hotel, restoran dan agensi pelancongan supaya menilai semula kadar harga dan promosi masing-masing agar selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan prinsip adil, seimbang dan mesra rakyat.
Langkawi bukan sekadar lokasi pelancongan tetapi simbol keindahan, warisan dan semangat bangsa. Kita mahu ia terus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan destinasi pilihan dunia, katanya.

Mohd Hussin Che Rus.
Sementara itu, penduduk Nyior Chabang, Langkawi, Mohd Hussin Che Rus berkata langkah Perdana Menteri itu amat dialu-alukan kerana ramai penduduk tempatan kini bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan penurunan jumlah pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sekarang ramai orang luar kata Langkawi mahal. Kalau harga bilik hotel dan makanan dapat dikawal semula, insya-Allah pelancong tempatan akan kembali ramai dan peniaga kecil pun dapat rasa rezeki,” katanya.
Beliau berharap agensi kerajaan seperti LADA dapat melibatkan komuniti setempat dalam perbincangan bagi memastikan setiap dasar pelancongan yang dilaksana benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat Langkawi sendiri.
“Langkawi ini tanah tumpah rezeki kami. Kalau pelancong datang semua orang hidup, daripada peniaga gerai sampai pengusaha bot. Jadi apa yang PMX sebut tu memang kami sokong sepenuhnya,” ujarnya.

Afaf Zaki.
Pengurus Villa Sawah Langkawi, Afaf Zaki pula berkata langkah menstabilkan harga amat penting bagi mengukuhkan semula industri pelancongan yang sedikit terjejas dengan persepsi kos tinggi.
“Ramai pelanggan tetap yang dulu datang setiap tahun kini beralih ke destinasi negara jiran.
"Tetapi kami yakin mereka akan kembali bercuti di dalam negara apabila kadar harga lebih stabil dan nilai ringgit lebih kukuh,” katanya.
Sebagai menyokong seruan Perdana Menteri, beliau memperkenal promosi khas di Villa Sawah Langkawi bermula 10 November hingga 10 Disember 2025 dengan tawaran "bayar satu malam, percuma satu malam" bagi pakej penginapan tiga hari dua malam.
Vila berkonsepkan penginapan keluarga eksklusif dan patuh syariah itu terletak di kawasan sawah padi dengan pemandangan saujana, dilengkapi kolam renang peribadi, dapur memasak serta ruang rehat keluarga yang sesuai untuk empat hingga 14 orang setiap unit.
“Matlamat kami jelas, walaupun eksklusif, kami mahu menawarkan kadar mampu milik agar semua rakyat Malaysia dapat menikmati percutian terbaik di Langkawi,” katanya.

Afaf menambah, Langkawi yang baru-baru ini diiktiraf sebagai pulau kedua terbaik di Asia dalam senarai Top Island: Readers’ Choice Awards 2025 membuktikan potensinya masih tinggi di peringkat antarabangsa.
“Apabila semua pemain industri meletak harga yang sepadan dengan perkhidmatan, industri pelancongan tempatan akan kekal stabil dan berdaya saing,” ujarnya.
Tempahan di Villa Sawah boleh dibuat melalui WhatsApp menerusi nombor 011-6442 5944 dan promosi ini dianggap sebagai hadiah istimewa buat rakyat Malaysia yang ingin bercuti sambil menyokong ekonomi tempatan. - KitaReporters
