Selera & Santai 12 Jun, 2020

Izam EYE bangkit cari rezeki! Nasi Arab Habibi semakin laris

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

“SAYA tidak akan menagih simpati dan perhatian orang ramai berterusan untuk membantu meringankan bebanan hidup bagi menanggung keluarga, selagi mampu berdiri dan mengerakkan tulang empat kerat saya akan berikhtiar mencari rezeki halal," kata vokalis kumpulan EYE, Izam yang ditemui di Taman Perak, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.  : KitaReporters


Katanya, “walaupun keadaan pergerakan diri agak terbatas selepas diserang strok, saya tidak akan berputus asas mencari rezeki  bagi menanggung dua isteri dan tujuh anak selagi masih ada kudrat saya akan melakukan apa sahaja kerja termasuk menerima undangan menyanyi.” 

Meskipun pergerakan agak terbatas selepas diserang strok, Izam nekad akan berusaha mencari rezeki untuk keluarga. 

Izam pada April 2020 lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi menyekat penularan wabak Covid-19, beliau melalui situasi getir apabila hilang punca pendapatan untuk menanggung keluarga.

Izam nama sebenar Mohd Izam Mohd Arshad berkata, dia terpaksa menebal muka dalam keadaan amat terdesak mengedar poster meminta sumbangan daripada orang ramai dan mengucap ribuan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu serta memohon maaf jika ada pihak rasa kurang senang dengan tindakan itu.

Poster yang Izam terpaksa edarkan kepada orang ramai untuk memohon sumbangan selepas melalui situasi getir untuk menyara keluarga apabila PKP dilaksanakan Mac 2020 lalu. 


Bagi melupai detik itu dia menyahut cabaran diri sendiri apabila bersama-sama dua isterinya memulakan perniagaan nasi mandy yang diberi nama Nasi Arab Habibi yang berlauk ayam atau kambing dan boleh dipesan melalui dalam talian sejak seminggu lalu.

Menurutnya, pada hari pertama perniagaan dimulakan beliau menjaya menjual 35 bungkus nasi itu dan pada hari kedua meningkat kepada 45 bungkus yang dihantar terus ke rumah atau ke pejabat mereka yang membuat tempahan.

Izam menunjukkan Nasi Arab Habibi Kambing yang dihasilkan bersama-sama dua isterinya kini mendapat sambutan mengalakkan daripada orang ramai. 



Katanya, setiap hari dia akan membuka tempahan sehingga jam 12 malam dan awal pagi esoknya beliau bersama-sama isteri akan memulakan kerja menyediakan lauk dan memasak nasi itu sehingga jam 11 pagi apabila siap dimasukkan dalam bekas plastik untuk proses penghantaran.

“Setakat ini, saya lebihkan tumpuan mengambil tempahan daripada orang ramai yang menetap atau berkerja di pejabat sekitar Cheras seperti Taman Alam Damai, Desa Baiduri, Bukit Anggerik, Tun Perak, Bandar Tun Razak, Bandar Tun Hussein Onn, Balakong dan sebagainya.

Izam menunjukkan Nasi Arab Habibi Kambing dan Ayam yang dimasak bersama-sama dua isterinya dan boleh ditempah secara talian. 


“Bagaimanapun ada juga tempahan yang diterima luar dari Cheras seperti dari Shah Alam, Gombak dan sebagainya, yang saya terpaksa mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada mereka khusus kos penghantaran yang akan dikenakan.

“Apabila persetujuan dicapai dan bagi mengelak rasa tidak puas hati baharulah saya akan membuat penghantaran kepada mereka seberapa segera,” katanya.

Izam berkata, dia berharap perniagaan itu dapat bertahan dan berhasrat mencari tapak niaga dengan kadar sewa yang murah walaupun terpaksa bersusah payah setiap hari berjalan mengheret kaki sebelah kanan membeli barangan mentah untuk memasak nasi itu.

Izam bersama Nasi Arab Habibi Kambing dan Ayam yang sudah dimasukkan dalam bekas plastik untuk proses penghantaran.


Menurutnya, dia masih mendapatkan rawatan urutan pada bahagian badan yang terkena strok dan sentiasa berdoa supaya kembali sihat semula serta  mampu membuat persembahan untuk mencari sumber pendapatan bagi menanggung keluarga.

Katanya, dia bukanlah terlantar di atas katil atau berkerusi roda sebagaimana anggapan sesetengah pihak, cuma terpaksa duduk atas kerusi roda atau kerusi biasa apabila tidak mampu untuk berdiri lama khusus ketika membuat persembahan.

Izam berhasrat mencari tempat niaga dengan kadar sewa yang murah bagi memudahkannya menjual Nasi Arab Habibi terus kepada orang ramai selain tempahan melalui dalam talian.


“Begitulah juga keadaan ruang tamu rumah saya yang sememangnya tiada perabot seperti kerusi kerana kelengkapan itu akan menyempitkan rumah dan tidak selesa bagi saya yang memiliki ramai anak.

“Saya berharap perkara ini tidak disalahertikan sesetengah pihak dan berasa amat bersyukur memiliki keluarga bahagia terutama kedua-dua isteri saling bekerjasama khusus dalam perniagaan Nasi Arab Habibi ini,” katanya. - KitaReporters

36
2
2
1
0
You will be interested