Keunikan Masjid Razaleigh di Gua Musang, yang berilhamkan Masjidil Haram, Mekah, menjadi daya tarikan pengunjung. - Kredit foto: Majlis Daerah Gua Musang.
SEJAK dibuka secara rasmi pada 1 April, 2022, Masjid Razaleigh di Gua Musang, Kelantan, menjadi tumpuan, bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat atau rakyat Kelantan malah dikunjungi ribuan orang setiap hari dari seluruh pelosok negara terutama pada hujung minggu atau musim cuti.
Selain menjadi tempat persinggahan bagi mereka yang dalam perjalanan ke Pantai Timur khususnya ke Kelantan, terdapat individu atau rombongan yang datang semata-mata mahu melihat dari dekat masjid yang kini menjadi ikon terbaharu Gua Musang dan Negeri Che Siti Wan Kembang itu.
Lagi
Dianggarkan kira-kira 2,000 orang mengunjungi Masjid Razaleigh setiap hari malah 3,000 orang bersolat Jumaat di masjid itu pada minggu pertama dibuka dan jumlah yang sama memenuhi ruang untuk menunaikan solat sunat Aidilftri, baru-baru ini.
Malah, sepanjang Ramadan lalu, ramai perantau yang singgah solat sehinggakan ada yang sanggup bermalam di Gua Musang semata-mata mahu menunaikan solat tarawih di masjid berkenaan.
Selain bersolat, pengunjung mengambil kesempatan merakam gambar di depan serta di dalam dan sekitar masjid itu untuk dijadikan kenangan.
Apa yang menarik perhatian mereka adalah reka bentuk masjid berkenaan yang mirip Masjidil Haram di Mekah. Apatah lagi kini, dengan wujudnya replika Kaabah di tengah-tengah ruang dalam masjid berkenaan, menyebabkan pengunjung begitu teruja serta tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan gambar di depan ‘Kaabah’.
Replika Kaabah berkenaan menjadi nilai tambah kepada Masjid Razaleigh bernilai RM35.1 juta itu terutama ia dibina hasil gabungan bongkah skrin LED berteknologi canggih yang sentiasa memaparkan ayat-ayat suci al-Quran atau kandungan khutbah disampaikan oleh imam masjid itu.
Replika Kaabah di dalam Masjid Razaleigh menarik perhatian pengunjung . - Kredit foto: Astro Awani.
Bagi yang pernah menjejakkan kaki ke Masjidil Haram, kunjungan ke Masjid Razaleigh sedikit sebanyak mengubat kerinduan mereka terhadap rumah Allah itu serta mengembalikan kenangan semasa mengerjakan haji atau umrah.
Penulis sendiri begitu teruja apabila berpeluang singgah ke masjid berkenaan baru-baru ini membuatkan penulis leka menikmati setiap sudut.
Walaupun pada masa kedatangan penulis, pengunjung tidak ramai, mungkin kerana pada hari bekerja namun penulis dapat rasakan aura Masjidil Haram bila berada di dalam masjid berkenaan apatah lagi bila terpandang replika Kaabah yang tersergam di depan mata.
Seorang pengunjung yang penulis temui, Norhayati Rosli dari Kuala Lumpur berkata, beliau mengambil kesempatan singgah ke Masjid Razaleigh dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu kerana ingin melihat serta merasa sendiri suasana di situ.
Norhayati teruja dengan reka bentuk Masjid Razaleigh yang mengambalikan kenangannya beribadat di Masjidil Haram semasa mengerjakan ibadah haji pada 2017. - Kredit foto: Koleksi Norhayati Rosli.
“Selama ini saya hanya mendengar cerita daripada kawan-kawan yang sudah berkunjung ke sini atau melalui pembacaan, juga video yang dimuat naik melalui media sosial. Sudah lama saya memasang impian untuk berkunjung ke sini, akhirnya Allah makbulkan.
“Pertama kali melihat masjid ini dari jauh, saya sudah teruja terutama melihat menara dan kubahnya yang mirip Masjidil Haram. Dan apabila melangkah masuk, saya semakin teruja apabila ternampak ‘Kaabah’ di tengah-tengah ruang dalam itu.
“Ia segera menggamit kenangan saya menunaikan haji pada 2017 dan sedikit sebanyak mengubat kerinduan saya terhadap Tanah Suci terutama Masjidil Haram serta Kaabah yang menjadi kiblat kita,” ujar Norhayati.
Menara dan kubah berinspirasikan Masjidil Haram antara ciri unik Masjid Razaleigh.
Masjid Razaleigh yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mula dibina pada 2016 dengan kos bernilai RM35.1 juta dengan keluasan 99,000 kaki persegi di atas tapak seluas 1.5 hektar.
Ia dilengkapi dengan sembilan menara setinggi 30 meter serta lapan kubah mirip Masjidil Haram, mampu menampung 3,500 jemaah pada satu masa.
Masjid ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti ruang solat utama, ruang solat terbuka, dewan serba guna, rumah imam, ruang kelas, bilik komputer, perpustakaan, tandas dan tempat letak kereta yang mencukupi. - KitaReporters
Penulis merakam kenangan di depan Masjid Razaleigh.