Selera & Santai 29 Jul, 2021

Tinggalkan bumi, menginap di hotel di angkasa! Pengalaman hidup baharu seperti filem Star Trek!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Hotel angkasa dikenali Orbital Assembly akan dibina pada tahun 2027 di stesen angkasa komersial, Stesen Voyager berbentuk seperti gegelung gergasi. - Kredit foto


Pesawat SpaceShipTwo atau VSS Unity yang membawa jutawan Branson untuk melancong ke angkasa lepas. - Kredit foto Virgin Galatic.


APABILA seseorang itu mempunyai kekayaan yang luar biasa pastinya mereka inginkan sesuatu yang pelik dan aneh.

Jika anda mempunyai sejumlah wang yang banyak, segala keinginan tersebut boleh dicapai umpama menggapai bintang di langit.

Manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka miliki malah individu-individu seperti Sir Richard Branson (Pengasas Virgin Group), Jeff Bezos (Pengasas Amazon) dan Elon Musk (Pengasas Tesla) yang bergelar jutawan dan ahli perniagaan tersohor di dunia, kini sedang berlumba-lumba mengejar cita-cita mencipta kejayaan di bidang pelancongan angkasa atau percutian orbit.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan angkasa lepas


Sir Richard Branson akhirnya tercapai hasratnya untuk merasai pengalaman terapung di dalam pesawat ketika berada di sempadan angkasa lepas pada ketinggian lebih 80 kilometer dari bumi. - Kredit foto: Virgin Galatic.


Namun, Branson telah berjaya mendahului pesaing beliau seperti Bezos dan Musk dengan melakukan penjelajahan atau melancong ke angkasa dengan menaiki pesawat SpaceShipTwo atau VSS Unity miliknya.

Blue Origin (milik Jeff Bezos) kini pula sedang membina sebuah roket New Shepard yang boleh mencapai ketinggian lebih daripada 340,000 kaki (lebih 100 kilometer). Beliau lebih menumpukan pelancongan angkasa pada jarak dekat dan sederhana dalam tempoh yang singkat.

Pada 2023, Musk pula bakal melancarkan misi "DearMoon" di mana seorang jutawan daripada Jepun Yusaku Maezwa bakal melakukan penjelajahan bersama 8 orang lagi ke bulan dengan menggunakan pesawat SpaceX Starship.


Dennis Tito - Kredit foto BBC


Eksplorasi dan penempatan di angkasa bukanlah perkara mustahil, malah sebelum ini (tahun 2001) sudah terbukti seorang jutawan dari Amerika Syarikat (AS), Dennis Tito telah dinobatkan sebagai pelancong pertama di dunia berada selama lapan hari di ruang angkasa; setelah mengunjungi Stesen Angkasa Antarabangsa atau International Space Station (ISS) pada ketinggian 400 kilometer (km) melalui Russian Space Agency.

Walaupun kos penerbangan (perjalanan pergi balik) ke angkasa kini dikatakan mencecah antara AS$200,000 (RM848,500) sehingga AS$300,000 (RM1.27 juta) seorang, namun ia tetap mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelancong angkasa.


Hotel konsep yang bakal dibina Orbital Assembly - Kredit foto: orbitalassembly.com


Prospek industri pelancongan angkasa semakin rancak dan positif sejak akhir-akhir ini, apabila lebih 600 peserta tempahan mewakili 60 buah negara telah diterima termasuk beberapa artis terkenal seperti Justin Bieber, Katy Perry dan Lady Gaga dengan syarikat Virgin Galatic (Galatic).

Setakat 25 April 2021, Galactic telah menerima pendahuluan deposit sebanyak AS$80 juta (RM340 juta).

Manusia kini mula beralih kepada pelancongan angkasa sama ada ingin ke sempadan angkasa lepas, bulan atau planet Marikh.

Buat masa ini, segala-galanya dilihat sukar dan janggal kerana melibatkan perbelanjaan yang besar apatah lagi bagi masyarakat kebanyakan yang tidak berkemampuan terutama dari negara-negara miskin.

Sebagai permulaan, para pelancong boleh mencuba pengalaman baharu bercuti di sempadan angkasa lepas pada ketinggian antara 80 hingga 85 kilometer (dari bumi) dan merasai pengalaman terapung (graviti sifar) serta bergerak bebas di dalam kapsul pesawat; sambil merakam foto atau video termasuk melihat bumi dari angkasa.


Hotel Orion Span antara bakal dibina di The Aurora Space Station bagi menampung kehadiran pelancong-pelancong yang akan menginap di angkasa lepas. - Kredit foto: space.com


Tetapi bagi yang berkemampuan (kewangan) mereka kemudiannya boleh menginap beberapa hotel yang bakal dibina di angkasa menjelang tahun 2027.

Antaranya ialah Orbital Assembly yang akan dibina di stesen angkasa komersial, Stesen Voyager

berbentuk seperti gegelung gergasi dikatakan boleh menampung 280 tetamu dan 112 orang kakitangan.

Kini ia bukan lagi omong kosong atau seperti cerita sains fiksyen dalam filem ‘Star Trek’ tetapi ianya benar-benar akan menjadi realiti pada masa akan datang.

Selepas ini, sesiapa yang bercita-cita hendak merasai pengalaman hidup dalam filem ‘Star Trek’ bolehlah mendaftar untuk ke angkasa lepas seperti kita mendaftar dengan Tabung Haji (TH) sehingga giliran kita layak mengerjakan ibadat haji.

Di samping  itu hotel berkenaan turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan roket, SpaceX Starship (milik Elon Musk) yang akan berulang alik dari bumi seperti kita berulang alik menaiki feri di Kuala Perlis ke Langkawi, Kedah.

Persoalan selanjutnya berapakah kos menginap di hotel seperti itu? Pasti jawapannya mahal iaitu tiga hari dua malam mengelilingi orbit bumi  dianggarkan mencecah USD 5 juta dolar (RM20.6 juta).

Ada berani? Kalau anda tersenarai dalam golongan jutawan apa lagi! 



Pada 11 Julai 2021, Sir Richard Branson berjaya mencapai impiannya setelah 17 tahun (2004) menunggu untuk melancong di angkasa lepas menurut akhbar Daily Mail pada 14 Julai 2021.

Dalam laporannya, Branson bersama lima krew telah berlepas ke angkasa lepas dari Spaceport, New Mexico, AS pada jam 8.30 pagi (waktu tempatan) dengan menggunakan roket Virgin Galatic miliknya.

Perjalanan mengambil masa sejam pada altitude 85 km dan beliau berada selama 10 minit di ruang angkasa sebelum kembali semula ke bumi. 

Selepas ini, akan ada lebih banyak lagi penjelajahan (balik hari) ke ruang angkasa dengan harapan ingin menikmati sesuatu yang lebih ekstreem dan melonjakkan adrenalin.

Adalah dijangka industri pelancongan angkasa akan berkembang pesat suatu hari nanti apabila hotel-hotel angkasa banyak terapung atau bertebaran di ruang angkasa seperti ribuan satelit membanjiri sekeliling orbit bumi.

Tiada yang mustahil memandangkan kuasa teknologi menjadi tunjang kemajuan sains pada masa hadapan. - KitaReporters.



Sumber:

https://www.isaham.my/blog/penjelajahan-melalui-pelancongan-angkasa-bukan-perkara-mustahil

https://www.infomalaysiatrending.com/2021/07/bilionair-pertama-melancong-ke-angkasa.html

https://menangsaham.com/billionaire-pertama-melancong-ke-angkasa-lepas/

https://sinarplus.sinarharian.com.my/dunia/hotel-pertama-di-angkasa-bakal-wujud-menjelang-2027-perlu-sediakan-rm20-6-juta-untuk-tempoh-tiga-hari-dua-malam/

https://youtu.be/BQs2AjIEXeQ

0
1
0
0
0
You will be interested