Selera & Santai 30 Nov, 2025

Jumlah hadiah wang tunai RM27,400! Pertandingan memancing pantai! Port Dickson Surfcasting 2025!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Pertandingan memancing pantai, Port Dickson Surfcasting 2025 akan berlangsung pada Ahad, 7 Disember 2025 bertempat di Pantai Bagan Pinang, dengan penyertaan disasarkan 500 pemancing dari seluruh negara.



Anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan serta Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Cawangan MPPD itu adalah antara pengisian utama sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).

Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid berkata, pertandingan ini menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM27,400 menanti para pemenang.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM5,000 dan RM1,000.

Pemenang tempat keempat hingga ke-10 akan menerima RM200 setiap seorang, tempat ke-11 hingga ke-30 akan memperoleh RM150, manakala tempat ke-31 hingga ke-100 tetap diberi ganjaran tunai sebanyak RM100.



Yuran penyertaan ditetapkan RM80 bagi setiap joran dua mata kail, dengan 500 helai t-shirt eksklusif disediakan kepada peserta terawal yang mendaftar secara online https://forms.gle/zxGE8RTP8eq9GCn27.

Selain hadiah utama, peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM10,000 termasuk dua unit televisyen bersaiz 45 dan 55 inci, peralatan memancing dan barangan elektrik.

Pantai Bagan Pinang dipilih sebagai lokasi pertandingan bukan sahaja terkenal dengan perairan yang cantik, malah kaya dengan spesies ikan seperti sembilang, duri, gelama, senangin, pari dan belukang.

Lokasi ini turut dilengkapi kemudahan mesra keluarga seperti surau, tandas awam, gerai makanan serta tempat letak kenderaan yang diberi pengecualian caj parkir oleh pihak MPPD sepanjang acara berlangsung.

Menurut Hasnor, penganjuran ini bukan sahaja menyemarakkan aktiviti pelancongan sukan, malah dijangka memberikan limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, inap desa dan penyedia perkhidmatan pelancongan di sekitar Port Dickson.

“Setiap acara sebegini bukan hanya medan pertandingan, malah peluang menjana pendapatan kepada komuniti tempatan dalam usaha membangunkan sosioekonomi setempat,” jelas Hasnor.



Beliau menyeru orang ramai, khususnya kaki pancing, agar membawa bersama ahli keluarga dalam menjadikan acara ini sebagai platform mengeratkan silaturahim sambil beriadah.

Jualan dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut dijalankan sepanjang program bagi memeriahkan lagi suasana.

Penganjuran ini juga dilihat sebagai acara pembuka tirai kepada TMNS 2026 yang menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Negeri Sembilan.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi terus urus setia melalui nombor berikut: Ab Rahman – 019-6363545, Bazaruddin – 018-2815065 dan Herwan – 019-6794097. - KitaReporters

10
21
0
16
0
You will be interested