Selera & Santai 11 Jun, 2020

Umbut bayas: Makanan tradisi Melayu! Susah nak dapatkan tau!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: ainalmarhaton63@gmail.com

Share this

SEBUT sahaja umbut kelapa atau umbut kelapa sawit semua orang tahu yang ia sejenis makanan tradisi masyarakat Melayu dahulu hingga sekarang terutama untuk hidangan pada majlis perkahwinan. Tetapi, bagaimana dengan umbut bayas? Bagaimana bentuknya. Boleh dimakan atau sejenis pokok hutan semata-mata? : KitaReporters


Masak lemak umbut bayas. - Gambar hiasan 


Biasanya kita disajikan dengan hidangan masak lemak atau kerabu dari umbut kelapa atau umbut kelapa sawit. Jarang kedengaran masakan umbut bayas dalam menu yang dihidangkan. 

Sedap atau tidak itu soal kedua. Soalan pertama haruslah berbunyi 'macamana rupa pokok bayas ni'.

Pernah dengar tapi tak pernah tengok? Agak-agaknya generasi muda hari ini tahu ke apa itu umbut bayas? 

Ini makanan tradisi Melayu tau. 

Kalau tak tahu kenalah ambil tahu. Ambil peduli. 

Pokok Bayas atau nama botaninya Oncosperma horridum merupakan satu spesies tumbuhan dalam keluarga Arecaceae yang berasal dari Semenanjung Malaysia. 

Banyak terdapat di kawasan berbukit dan hutan tebal. Susah nak temui di kawasan kampung. Seram pulak nak mencarinya. 

Baik upah orang Asli yang lebih 'handal' bab-bab hutan. 

Pokok bayas seakan-akan pokok pinang dan pokok nibung. Mempunyai batang panjang (tinggi) dan keras, berduri serta sukar ditebang jika menggunakan pisau atau parang biasa.

Pokok bayas perlu ditebang terlebih dahulu sebelum diambil umbutnya. Kredit foto: FB Jom Makan


Umbut bayas perlu dipotong terlebih dahulu sebelum dibawa pulang


Bukan mudah untuk 'mengerjakan' pokok bayas ini untuk mendapatkan umbutnya!

Kerja-kerja menebang pokok bayas juga agak sukar dan mengambil masa lama malah terpaksa menggunakan kapak dan beliung yang tajam untuk menetak lapisan luar batangnya sebelum mendapatkan umbutnya.

Lapisan umbut itu kemudiannya dipotong pendek kira-kira satu meter untuk memudahkannya dibawa pulang.

Setiap batang pokok bayas boleh menghasilkan kira-kira 12 meter umbut. 

Umbut bayas dijual dengan harga RM10 sebatang begitu laris dan sentiasa mendapat tempahan.

Umbut yang dikeluarkan dari dalam batang bayas itu akan dicincang halus, dibasuh dan boleh terus dimakan mentah seperti dibuat ulam. 

Ia juga sedap jika dibuat kerabu atau masak lemak. Rasanya manis dan rangup. 

Jangan tersilap dengan umbut kelapa dan umbut kelapa sawit pulak ye..

Pokok bayas seakan-akan pokok pinang dan pokok nibung. - Gambar hiasan


Umbut bayas mengandungi air, serat, protein, lemak, kalsium, kalium, zat besi, zink, vitamin dan alkaloid. 

Untuk menikmati keenakan masakan ini, umbut bayas yang siap ditebang perlu segera dipotong seterusnya dimasak tanpa membiarkan ia terlalu lama kerana bimbang dimasuki angin yang boleh menghilangkan keenakan rasanya.

Umbut bayas juga adalah antara makanan tradisi penduduk Hulu Perak. Rasanya yang berlemak itu sesuai dibuat kerabu yang digaul bersama taugeh, santan, kerisek, pucuk paku dan perut lembu. 

Bagi masyarakat Hulu Tembeling, Jerantut, pula umbut bayas sudah menjadi makanan tradisi mereka sejak sekian lama.

Umbut bayas biasannya diperoleh daripada pokok bayas yang tumbuh meliar di hutan tebal Taman Negara sekali gus memerlukan penduduk meredah jauh ke dalam hutan mendapatkannya. 

Ingat senang ke nak dapatkan bayas nie!

Kebanyakan penduduk di kawasan Hulu Tembeling akan menempah umbut bayas daripada penduduk Orang Asli yang menetap di kawasan Taman Negara kerana mereka mahir menebang pokok bayas.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penularan wabak pandemik COVID-19, umbut bayas mendapat permintaan tinggi dijadikan juadah berbuka puasa. 

Selera kampung betul!

12
6
4
4
1
You will be interested