Selera & Santai 01 Sep, 2022

Cantiknya negeri Indera Kayangan! Perlis yang sekarang bukan Perlis yang dahulu! Banyak hidden gems!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


TERPEGUN saya melihat perubahan negeri Perlis sebagai negeri terkecil di Malaysia dalam kunjungan ke negeri tersebut baru-baru ini. Syabas kepada pihak berkuasa atau sesiapa sahaja yang begitu kreatif mencantikkan negeri yang dikenali sebagai Indera Kayangan ini. 

Banyak tempat menarik dibangunkan dalam usaha menambat hati pelancong tempatan dan luar Perlis. Pendek kata jika sekarang tidak ke Perlis, tidak cukup syarat melawat ke utara


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Perlis Indera Kayangan


Sebut sahaja Perlis, kebanyakan orang pasti terbayang negeri yang kurang dikunjungi orang dan lokasi-lokasi yang ingin dikunjungi tidak menarik sama sekali. 

Jika dahulu orang hanya kenal Kuala Perlis sebagai destinasi penting sebelum ke Langkawi. Sekarang saya cadangkan bermalam sehari di Perlis untuk mengunjungi tempat pelancongan yang cantik dan kreatif. 

Walaupun Perlis ini dikatakan sebagai negeri yang terkecil di Malaysia, tetapi banyak lokasi yang perlu diterokai orang luar. Tak kenal maka tak cinta! 


Tulip... Cantik dilihat waktu malam dengan lampu warna warni bergemerlapan.


Seperti viral dalam media sosial, banyak posting mengenai salah satu lokasi yang dikatakan sebagai hidden gems (permata tersembunyi) Perlis iaitu Tasik Timah Tasoh.

Pelbagai jenis tarikan baharu disediakan bagi para pengunjung dan semuanya nampak best sangat! Kalau mahu tahu apakah tarikan tersebut, elok datang sendiri. 

Pelbagai aktiviti ada di Tasik Timah Tasoh. Menunggang basikal, skuter, naik kereta api mengelingi tasik pun ada. Berkayak pun ada. Macam macam benda untuk dilihat sekitar Tasik. Yang gemar bergambar inilah masa untuk posing sakan. 

Ada lagi satu perkara yang membuatkan para pengunjung menjadi lebih teruja iaitu pokok tulip bercahaya. Jika datang pada waktu malam, akan dapat mendapati tasik ini dihidupkan dengan cahaya daripada pokok tulip ini. Semuanya menawan dan cantik-cantik belaka!

Yang seronoknya chalet pun ada. Semua kemudahan dengan harga mampu.



Pasar terapong di JPS Perlis


Pasar Terapong juga daya tarikan istimewa di Perlis. Tak perlu ke Thailand, Perlis pun ada. Pelbagai makanan, jualan ada. Kesemua makanan dijual dalam sampan

Pasar Terapung JPS Perlis terletak di JPS Perlis sebelah Denai Larian Pengkalan Asam. Beroperasi pada Sabtu dan Ahad dari pukul 7 pagi hingga 7 malam. 

Destinasi ini sesuatu yang menarik untuk membawa keluarga bersantai pada hujung minggu. Masuk percuma!


Kampung Wai, Perlis


Saya dan keluarga berjalan ikut arah papan dan menggunakan Waze untuk ke tempat pelancongan baharu. 

Salah sebuah tempat yang kami singgah Kampung Wai. Pemandangan sangat indah dan unik. Gunung dan bukit yang di bawahnya mengalir sungai yang jernih airnya. 

Betapa besarnya Keagungan Allah. 


Kampung Warna Warni dengan rumah dicat dengan pelbagai warna.


Kemudian melalui penduduk kampung yang ditemui kami ke Kampung Wana Warni. Rumah-rumah dalam kampung ini dicat dengan pelbagai warna menambah ceria seluruh kampung

Sehinggakan gerai putu mayam pun dicat dan dihias berwarna warni. Terpegun saya dengan kreativiti penduduk kampung ini. 



Bergambar di  Jambatan Tuanku Syed Putra


Sebelum balik kami singgah melihat Jambatan Tuanku Syed Putra yang juga dihias indah berwarna warni. 

Panjang jambatan ini 1 kilometer dengan ketinggian 30 kaki. Jambatan ini menyambung laluan Kampung Seberang Tokpi dan Kampung Seberang Ramai. 

Ramai pengunjung mengambil kesempatan bergambar kenangan di atas jambatan yang dibawahnya mengalir sungai yang jernih airnya. 

Pemandangan Kampung Nelayan dengan perahu dan sampai ditambat pada jeti boleh dilihat dengan jelas. Cantik.. Seindah kehidupan masyarakat di situ. 


Aktiviti mengayuh sampan dan kayak juga disediakan di Pasar Terapong


Jika dikira banyak lagi rempat menarik di Perlis. Antaranya Gua Kelam yang sangat popular,  Taman Ular, Ladang Anggur, Wang Kelian, Padang Besar dan banyak lagi. 

Mencarinya mudah sahaja. Google sahaja! Gunakan Waze Insya-Allah sampai. 

Makanan pula bukan masalah besar. Merata ada gerai makan. Tepi laut ikan bakar menjadi pilihan. Cendol, ABC, yong tau fu, goreng goreng dan banyak lagi. 

Jika mahu menikmati makanan sedap boleh singgah di Ngulang Kotiam, Restoran yang hiasannya berkonsep barang-barang klasik. 

Untuk solat banyak masjid yang akan ditemui sepanjang jalan termasuk Masjid Terapong Al-Hussain



Jika anda sedang mencari tempat baharu untuk bercuti bersama keluarga, Perlis adalah pilihannya. Negeri paling sesuai buat Keluarga Malaysia bergembira. 

Kecik-kecik cili padi. Namun berjiwa besar. 

Syabas dan tahniah Perlis. Kreatif dan bijak rakyat Perlis mewarnai negeri mereka untuk menambat hati kita sebagai tetamu. - KitaReporters

Riadah bersama keluarga sambil bermain layang-layang d tepi laut

10
11
0
8
0
You will be interested