Selera & Santai 13 Jun, 2025

Moist dan lembut! Tak cukup satu, boleh borong! Berkunjung ke Kuching usah lupa kek lapis Sandora!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Kedai kek lapis Sandora yang beroperasi di sebuah rumah teres setingkat di Petra Jaya, Kuching, sentiasa jadi tumpuan pembeli.


SARAWAK sinonim dengan kek lapis. ‘Kek Lapis Sarawak’, produk istimewa negeri itu, terkenal ke merata tempat. Datang ke Sarawak tanpa borong kek lapis seperti tidak lengkap kunjungan ke Bumi Kenyalang itu.

Banyak kedai kek lapis di Sarawak, termasuk di Kuching dan bandar berhampiran seperti Kota Samarahan. Ada kedai kek lapis ini dalam bangunan kedai besar atau dalam pusat beli belah.

Kedai kek lapis Sandora antara yang popular di Sarawak. Namun ia bukan dalam bangunan tersergam atau pusat beli belah. Ia beroperasi di sebuah rumah teres setingkat dalam kawasan perumahan, di No 7084, Lorong Matang Jaya 6B1, Petra Jaya, Kuching.

Kedai dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam. Penulis yang berkunjung ke Kota Samarahan pada akhir Mei 2025 lalu hingga awal Jun 2025 berkesempatan membeli kek lapis di premis tersebut. Kota Samarahan jaraknya 25 kilometer dari Kuching.


Sebahagian daripada pelbagai jenis kek lapis pelbagai rasa yang dihasilkan dan dijual di kedai kek lapis Sandora.


Walau pun terletak dalam kawasan perumahan, kedai kek lapis Sandora begitu popular serta jadi tumpuan pembeli tempatan dan pelancong luar. Kerana itu walau pun ada banyak kedai kek lapis lain, Sandora sentiasa jadi pilihan.

Punca utama Sandora dikenali dan kek lapisnya digemari kerana rasanya enak. Kek dihasilkan adalah buatan sendiri, dengan resipi sendiri.

Keknya basah (moist) dan lembut, tahan lama bergantung di mana disimpan. Tahan seminggu pada tempat terbuka, dua minggu dalam peti sejuk atau hingga setahun jika disimpan dalam ruang sejuk beku (freezer) atau dalam chiller.

Pelbagai kek lapis dalam pelbagai perisa disediakan untuk memenuhi cita rasa pembeli. Antaranya perisa gula apong, durian, coklat, velvet merah coklat, coklat keju, pandan masam manis dan blue berry.

Selain berwarna plain, ada yang berwarna warni seperti hijau, merah dan ungu, bersesuaian dengan perisa kek tersebut. Misalnya velvet, berwarna merah.


Dua pengunjung kedai kek lapis Sandora, Noriza (kanan) dan anaknya, Amira Iryanti, bagai rambang mata memilih daripada pelbagai jenis dan rasa kek lapis dijual di Sandora.


Semua perisa enak. Contoh kek berlainan perisa yang dihiris kecil disediakan untuk pengunjung merasa setiap jenis kek lapis yang dijual di Sandora. Dengan itu mudah untuk membuat pilihan. Bagi pembeli berulang, sudah tahu apa yang diminati!

Memang boleh rambang mata untuk memilih kerana banyak pilihan, enak belaka. Kerana itu tidak hairan ramai pengunjung benar-benar borong untuk diagih kepada keluarga, rakan atau teman sekerja.

Harga jualan pula berpatutan. Setiap kek dijual dalam paket seberat 320 gram, dijual pada harga RM12 setiap satu. Ini lebih murah daripada harga di pasar terbuka yang mencecah RM15 bagi timbangan sama.

Jika membeli 10 paket, hadiah percuma satu paket akan diberi. Boleh pilih jenis kek hadiah. Semakin banyak dibeli, semakin banyak dapat kek percuma.


SIAP....Amira Iryanti memborong berbelas-belas kek lapis di Sandora. Kek dibungkus dengan rapi oleh pemilik kedai untuk memudahkan dibawa oleh pembeli, terutama pelancong dari luar Sarawak.


Tidak perlu risau jika membeli banyak kerana pemilik kedai akan membungkus dengan rapi dalam kotak untuk mudah dibawa dalam penerbangan, samaada dibawa masuk ke dalam kabin kapal terbang atau sebagai bagasi (luggage).

Jika tidak mahu susah membawa, pembeli ada pilihan untuk menghantar kek ke destinasi pilihan dengan menggunakan khidmat pos laju. Hanya pos laju menyediakan khidmat penghantaran ini. Kos pos ditanggung oleh pembeli.

Datanglah melancong ke negeri Sarawak Bumi Kenyalang, negeri indah dengan pelbagai tarikan pelancongan serta makanan yang menyelerakan. Pastinya jangan lupa bawa pulang ‘Kek Lapis Sarawak’. - KitaReporters


Puas hati! Memang enak! Itu reaksi pengunjung kedai kek lapis Sandora dan merasai sendiri keenakan kek lapis dijual. Semua borong kek untuk dibawa pulang! 

15
13
0
13
0
You will be interested