Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Putrajaya pada hari cuti atau waktu malam, anda pasti menyedari suasana di bandar ini tidak menentu.
Adakalanya Putrajaya sibuk dengan pengunjung, tetapi pada lewat malam, jalan raya sunyi sepi seperti 'kota mati'.

Bangunan Perdana Putra, bergemerlapan dengan lampu, menjadikan suasana ceria dan hidup pada waktu malam di Putrajaya.
Malah, perkara itu pernah mendapat perhatian mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Putrajaya lebih ceria terutama boleh menikmati cahaya lampu dan berjalan-jalan di sekitar boulevard, antara kiri kanan bangunan kerajaan yang tersergam indah.
Namun, pandangan Dr Mahathir tidak disambut baik kerana terdapat beberapa pandangan yang mahukan bangunan kerajaan di pusat pentadbiran kerajaan itu dikhaskan kepada premis kerajaan.

Masjid Putra dilimpahi lampu pelbagai warna dan kelihatan indah pada waktu malam.
Naib Presiden Jabatan Perancang Bandar, Perbadanan Putrajaya (PPj), Datin TPr Salmah Salman, berkata gelaran ‘bandar mati’ yang pernah melekat pada Putrajaya itu semakin tidak relevan apabila berlaku transformasi ketara dengan pelbagai aktiviti ekonomi, sosial dan rekreasi kian semakin rancak, terutama selepas waktu pejabat.
Beliau berkata, perubahan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan terperinci yang bermula selepas semakan Pelan Induk Putrajaya pada 2014.
“Kita mahu Putrajaya menjadi bandar vibran. Kita tidak mahu ia mati seperti Canberra. Untuk hidupkan bandar, tanah yang tidak digunakan perlu dibangunkan dan kawasan tumpuan perlu diaktifkan.
"Kawasan dari Dataran Putrajaya hingga Dataran Gemilang kini menjadi tumpuan utama pengunjung dengan kehadiran kiosk, program komuniti dan aktiviti riadah yang semakin bertambah.
"Perubahan paling ketara dapat dilihat di taman-taman awam yang dahulunya sunyi.
“Kalau pada 2004 hanya beberapa orang berada di Taman Saujana Hijau, kini setiap hujung minggu pengunjung terpaksa mencari ruang parkir. Ini menunjukkan taman kita sudah berjaya menarik orang ramai," katanya.
Putrajaya mempunyai 12 taman metropolitan dan 10 daripadanya telah dibangunkan sepenuhnya, masing-masing dengan identiti tersendiri bagi menjadikan setiap kunjungan memberi pengalaman berbeza.

TPr Salmah Salman
PPj kini dalam fasa semakan semula perancangan untuk tempoh 2025 hingga 2050 yang memberi tumpuan kepada pembangunan yang ‘berjiwa’.
Konsep City of Soul diterapkan bagi memastikan penduduk, pekerja dan pengunjung mempunyai rasa keterikatan terhadap bandar raya itu.
“Pembangunan fizikal sahaja tidak cukup. Kita perlu letakkan roh dalam perancangan supaya kawasan itu hidup, relevan dan tidak ketinggalan.
"Infrastruktur monorail yang pernah dirancang tetapi ditangguhkan kini dimanfaatkan semula menerusi konsep repurpose iaitu menjadikan jambatan monorel sebagai laluan basikal dan pejalan kaki antara Presint 8 dan Presint 4.
"Selepas Laporan Ketua Audit Negara 2021 mendedahkan kira-kira 17,000 penjawat awam di Putrajaya belum menerima kuarters, kerajaan memperkenalkan projek Kota Madani yang menyediakan 18,000 unit penempatan baharu.

Tayangan skrin besar disediakan Perbadanan Putrajaya memberi peluang orang ramai berkumpul bersama kawan-kawan dan keluarga di waktu malam.
“Melalui konsep CHASE City (Bandar Raya CHASE) pula, perumahan, sekolah dan kemudahan komuniti dirancang dalam jarak dekat. Penduduk hanya perlu turun lif dan berjalan 100 meter untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.
(Konsep CHASE merujuk kepada konsep Bersih, Sihat, Maju, Selamat, Mesra Alam (Clean, Healthy, Advanced, Safe, Eco‑friendly)
Putrajaya turut mencatat rekod membanggakan apabila menerima kehadiran 5.4 juta pelancong pada 2024, meningkat berbanding tahun 2023. Kehadiran itu bukan sahaja untuk menikmati seni bina dan landskap, tetapi juga pelbagai aktiviti tasik, festival dan program komuniti.
"Bandar raya itu turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan Bandar Raya Paling Mampan pada 2023, 2024 dan 2025.
Selaras perkembangan global, PPj mensasarkan Putrajaya mencapai status bandar pintar sepenuhnya menjelang 2030 melalui penggunaan teknologi, tenaga hijau dan kerjasama masyarakat.
“Kita mahu Putrajaya kekal hidup sama ada siang dan malam malah menjadi destinasi pilihan sehingga 2050,” katanya. - KitaReporters
