Selera & Santai 01 Mar, 2021

Video| Kampar bandar Disneyland! Peminat fotografi, mural dan lukisan rugi kalau tak datang!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Satu tarikan baharu kepada pelancong-pelancong dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Kampar, Perak.- Kredit foto: anajingga.com


Moh kenei Kampor! (loghat Perak) dan jangan lupa kita pekene Nasi Ayam Peladang dengan Kelapa Leleh Kampor dan Nasi Lemak Disney.

Sesiapa yang tidak pernah datang melawat atau singgah ke Kampar, Perak pasti berasa rugi kerana bandar 'lombong bijih timah' ini kini berwajah baharu.

Dahulu mungkin ramai tidak berminat untuk berkunjung ke Kampar kerana tiada tarikan pelancong sama ada dalam atau luar negara.

Siapa sangka hari ini Kampar menjadi seperti bandar 'Disneyland' yang mempamerkan keindahan bangunannya yang beraneka reka bentuk, berwarna-warni dengan pelbagai konsep berdasarkan kartun animasi. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Kampar:

https://kitareporters.com/search?search=kampar


Kampar bandar Disneyland Perak. - Kredit foto: anajingga.com


Pemandangan cantik dan indah yang mewarnai alam semula jadi di sekitar Kampar, Perak. - Kredit foto: www.jomjalan.com.my


Bandar Agacia atau dikenali sebagai The Trails of Kampar merupakan satu lagi mercu tanda kawasan pembangunan bandar unik menerapkan gaya animasi di Malaysia. Konsepnya diilhamkan daripada The Trails of Redmond iaitu sebuah bandar di Washington, Amerika Syarikat. 

Bangunan yang berwarna-warni mirip seperti di dalam filem-filem fantasi Barat memiliki pemandangannya yang menarik dan sangat teruja untuk merakam foto seperti di Riomaggiore (Itali), Stockholm (Sweden), Jodhpur (India), Lima (Peru) dan Buenos Aires (Argentina). 


Lukisan mural yang terdapat di Street Art di bahagian belakang blok bangunan lama Jalan Gopeng Kampar, Perak. - Kredit foto:www.agoda.com/


Seni lukisan dinding atau mural bakal menjadi satu lagi tarikan baharu yang memukau kepada setiap pengunjung dan pelancong yang berkunjung  ke bangunan lama di Street Art di bahagian belakang blok bangunan lama Jalan Gopeng, Kampar.

Pastinya peminat-peminat fotografi dan mural tidak akan melepaskan peluang untuk merakamkan momen-momen yang indah dan menarik di sepanjang jalan tersebut.

Usaha ini dijangka mampu menarik minat para pelancong tempatan atau luar datang ke Kampar. Langkah ini secara langsung dapat mempromosi lokasi tersebut sebagai produk pelancongan Negeri Perak.

Ia dilaksana untuk menceria dan menghidupkan semula lorong-lorong belakang yg selama ini terbiar.

Mural yang berinspirasikan tradisi, sumber alam, alam semula jadi dan industri telah 70% disiapkan oleh pelukis tempatan dan siap sepenuhnya pada Februari  2021.


Peminat-peminat seni tanah air atau pengunjung-pengunjung pasti tidak akan melepaskan peluang merakam foto atau berselfie bersama lukisan mural ketika berkunjung ke Kampar, Perak. - Kredit foto:www.agoda.com/


Pengunjung-pengunjung selain datang berkunjung ke Disneyland Kampar dan Street Art, mereka juga boleh menikmati beberapa kawasan pelancongan menarik sekitar Kampar antaranya Muzium Lombong Bijih Timah Kinta, Sahom Valley, Refarm Leisure Farm, Gunung Relau, Gunung Bujang Melaka, Bronze Sculptures of Confucius and Einstein dan Kampar Merdeka Clock Tower.    

Kampar telah diisytiharkan daerah yang  ke-10 Negeri Perak pada 21 Mei 2009 oleh almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah. Lokasinya  terletak kira-kira 40km dari bandar raya Ipoh dan 16km dari pekan Tapah. 

Sejarah Kampar bermula dengan kedatangan peniaga-peniaga barangan tembikar dan tembakau dari Kampar, Sumatera, Indonesia pada tahun 1880-1900 ke Batang Tonggang atau kini dikenali sebagai Kampar, Perak (sempena dengan nama kluster orang Kampar, Sumatera).

Sehubungan itu, bermulalah aktiviti-aktiviti perniagaan oleh orang-orang Kampar (Sumatera) menetap di Tanah Melayu dengan mendirikan deretan kedai-kedai kecil di bandar itu di samping semakin rancaknya industri bijih timah oleh orang-orang Cina yang dibawa masuk oleh penjajah-penjajah British sebagai tonggak ekonomi Negeri Perak ketika itu.  - Kitareporters



Sumber:

http://www.mdkampar.gov.my/ms/mdkpr/pusat-media/berita/street-art-di-kampar

https://www.jomjalan.com.my/listing/disney-avenue/

https://www.libur.com.my/the-trails-of-kampar-disneyland-perak-untuk-liburan-keluarga/

https://www.anajingga.com/2017/08/tempat-cantik-untuk-bergambar-di-disney.html

(foto)https://www.agoda.com/


5
1
1
0
0
You will be interested