Selera & Santai 27 Oct, 2024

Video| Alahai! Masak cara lain pun kena kutuk! Masak ikan campur sayur! Ramai tersakiti resipi bujang!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Cara memasak setiap orang berbeza. Contohnya masakan gulai kari, walaupun nama masakannya sama tetapi cara memasak setiap orang berbeza. Ada yang suka bubuh kerisik, ada yang tak suka bubuh santan dan pelbagai lagi. Apapun caranya, ia tetap dipangil gulai kari.

Memasak itu tiada yang betul atau salah selagi ia tidak berlebihan atau melanggar asas sesuatu makanan itu. Mungkin kalau anda seorang tukang masak di hotel atau di kedai makan, anda kena ikut garis panduan sesuai dengan selera kebanyakan pelanggan.



Namun, kalau anda memasak untuk tekak sendiri, tidak perlulah terikat dengan kaedah sesuatu masakan itu. Ia bebas kerana anda sendiri yang akan menikmatinya. 

Biarlah orang nak kecam atau kritik, yang penting tekak anda rasa okay dan sedap. Bukan bagi mereka rasa pun.

Namun, adat dalam dunia media sosial, ada sahaja yang tidak kena. Para netizen sentiasa menunggu peluang untuk menghentam walaupun anda bukan seorang pempengaruh, artis atau selebriti popular. 

Jadi, sekiranya anda berkongsi video atau gambar mengenai kaedah memasak dalam media sosial, bersiap sedialah untuk menerima sebarang kecaman dan kutukan.



Dia bukan food content creator popular seperti yang lain-lain. Jauh sekali kalau nak dibandingkan dengan Khairulaming. 

Dia cuma lelaki biasa yang menggunakan media sosial untuk berkongsi video-video masakan bujangnya.

Ada satu video menunjukkan dia sedang masak ikan mendapat perhatian ramai kerana resipi itu dianggap pelik atau di luar kebiasaan. 

Kapsyen pada video tersebut ditulis masak ikan campur sayur. Resipi inilah yang mengundang pelbagai reaksi dan kecaman daripada netizen.



Secara peribadi, penulis tidak merasakan ia satu resipi yang mengarut atau pelik. Malah cara tersebut menjimatkan masa. Namalah bujang, masakannya mestilah mudah atau ringkas. 

Namun sebaliknya buat netizen yang dilihat begitu tersakiti dengan resipi tersebut.

“Lelaki bukan makan je kasihan, masak pun kasihan ya,” tulis salah seorang netizen.



Ada juga netizen mahu termuntah melihat masakan yang dimasak lelaki tersebut. Namun, kenyataan netizen ini mengundang kecaman kerana komennya agak melampau.

“Tengok pun dah nak termuntah,” tulisnya ringkas.



Sungguhpun begitu, dalam ramai netizen yang menghentam, ada juga yang memahami.

“Dalam masakan tiada betul tiada salah. Asalkan halal, bersih dan sedap dimakan. Apapun, terima kasih bagi idea untuk orang bujang macam saya,” ujar netizen yang berfikiran positif.



Mungkin kecaman-kecaman yang diterima berpunca daripada sesetengah video yang dikongsi dalam TikTok lelaki ini, memperlihat keadaan dapur yang agak kotor. Itulah logiknya mengapa netizen seperti trauma dan bertindak agak keras dalam memberi komen.

Jadi, pastikan keadaan dapur bersih sebelum video anda memasak dimuat naik dalam media sosial. Jangan jadikan alasan anda tinggal di rumah bujang, dapur kotor perkara biasa. Salah sama sekali! - KitaReporters


15
13
0
8
0
You will be interested