Selera & Santai 27 Jan, 2023

Video| Salam Taiwan 2023! Promosikan Destinasi Sensasi Mesra Muslim! Ayda Jebat dilantik duta promosi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Masih dalam ingatan, kali pertama dan terakhir, penulis menjejakkan kaki ke Taipei, Taiwan adalah ketika menghadiri Festival Filem Asia Pasifik ke-51 bersama delegasi Malaysia pada tahun 2006.

Ketika itu, rasanya Taiwan belum mesra Muslim malah agak sukar mencari restoran yang halal jika tidak diperkenal oleh pelakon Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai ‘Eja’ yang membawa kami ke sebuah restoran halal milik warga Cina Muslim di Taipei. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan negara Taiwan



Selepas itu pada tahun 2018, penulis berpeluang hadir ke majlis  pelancaran kempen ‘Fun Taipei’ anjuran Jabatan Penerangan dan Pelancongan Taipei di mana Selebriti Cef terkenal, Datuk Fazley Yaakob dilantik sebagaii jurucakap bandar raya Taipei dalam usaha menerokai pasaran Muslim.

Sewaktu itu,  Malaysia menduduki tempat keenam dalam kalangan jumlah pelancong tertinggi dunia yang membuat lawatan ke Taiwan malah dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia merupakan penyumbang terbesar atau tertinggi kepada sektor pelancongan Taiwan.

Pendek kata, sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, statistik dari Kementerian Pengangkutan Bahagian Pelancongan Taiwan, bagi tempoh separuh pertama tahun 2019, warga Malaysia yang berkunjung ke Taiwan adalah seramai 265,142 orang.

Malah pada tahun sama juga Taiwan gigih memperluas ‘Dasar ke Selatan Baru’ dengan tumpuan ke arah negara-negara Asia Tenggara sekali gus memperkenal fasiliti dan kemudahan mesra Muslim dari segi pemakanan, penginapan dan ruang awam.



Tahun 2019 juga menyaksikan sudah ada  lebih kurang 57 buah restoran dan hotel memperoleh pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Persatuan Cina Muslim (CMA) Taiwan malah beberapa tempat menarik pelancongan antaranya seperti Taipei 101, Muzium Istana Negara dan beberapa destinasi lain menyediakan kemudahan wuduk dan surau bagi pelawat Muslim.

Terkini, khabarnya hampir 300 restoran dan hotel di Taiwan telah memperoleh pensijilan halal.

Menurut "CrescentRating - Global Muslim Travel Index (GMTI)" bagi tahun 2022 oleh MasterCard, Taiwan berada di tempat ke-2 bagi kategori destinasi pelancongan mesra Muslim terbaik dalam kalangan negara bukan Islam di dunia. 


Bergambar kenangan...



Berdasarkan fakta tersebut, Biro Pelancongan Taiwan telah melancarkan projek promosi baharu "Salam Taiwan 2023” dengan meneruskan konsep berteraskan Taiwan sebagai negara mesra pelancong Muslim dari seluruh dunia, memperkenal logo promosi Salam Taiwan terbaharu serta menambah subslogan "Destinasi Sensasi Mesra Muslim”, yang diharap dapat menyerlahkan dengan lebih jitu lagi akan keistimewaan Taiwan.  

Sehubungan itu, sebuah video promosi "Salam Taiwan 2023" dilancarkan baru-baru ini dengan pelantikan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat sebagai Duta Salam Taiwan.

Berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, pelantikan Ayda Jebat dilantik Biro Pelancongan Taiwan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong Muslim memilih Taiwan sebagai destinasi pelancongan mereka sepanjang tahun 2023.

“Salam Taiwan 2023' akan memberi tumpuan kepada empat tema utama meliputi ‘Vibrant’, ‘Romantik’, ‘Trending’ dan ‘Romantik’ serta akan mempromosikan sumber pelancongan unik Taiwan kepada rakan Muslim secara lebih spesifik dan mendalam. 



Sebuah video promosi berdasarkan konsep "Dengarkan Suara Taiwan" telah diterbitkan, di mana Ayda secara peribadi digambarkan  melawat Ladang Qin Jing, gunung Hehuan, Alishan, bersiar-siaran di Taipei, taman tema, ladang riadah dan puak orang asli serta tarikan istimewa lain. 

Bunyi angin, air, kereta api, nyanyian orang asli, dan penyediaan makanan telah dirakam bagi mempersembahkan pelbagai daya tarikan apabila menikmati pengembaraan ke seluruh Taiwan.

Selain itu, suami Ayda, Nabil Mahir, turut membuat penampilan dalam video promosi tersebut, menyerlahkan detik- detik manis serta romantik percutian mereka berdua.

“Saya sangat gembira kerana telah terpilih sebagai Duta Salam Taiwan. Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk melancong ke Taiwan, kerana Taiwan adalah sebuah negara yang terlalu asing bagi saya. 

"Tapi, kesudahannya, saya telah jatuh cinta sebaik sahaja menjelajah ke sebahagian besar Taiwan,” ujar Ayda Jebat menceritakan pengalamannya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sijil pelantikannya selaku Duta Salam Taiwan  oleh Pengarah Biro Pelancongan Taiwan, Abe Chou (gambar bawah, kiri) serta disaksikan wakil dari Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Phoebe Yeh (tengah),



Bukan seperti judul lagunya ‘Temberang’, sesungguhnya Ayda Jebat tidak temberang bila memperkata mengenai pengalamannya.

“Baik dari segi kemesraan warga Taiwan, keindahan, keseronokan membeli-belah hinggalah ke pelbagai pilihan makanan halal yang lazat dan mudah untuk dinikmati! Saya tidak sabar untuk berkongsi keistimewaan Taiwan yang cantik dan “vibrant” ini kepada peminat semua,” akhirinya.

Sementara itu, Phoebe memberitahu, banyak syarikat penerbangan tersedia menawarkan penerbangan pelancong secara terus ke Taiwan antaranya seperti China Airlines, EVA Airlines dan STARLUX Airlines.

“Pelbagai video promosi telah dirancang untuk dimainkan di kaca TV Malaysia, slot iklan di pawagam tempatan, billboard elektronik dan internet, dengan menyasarkan peningkatan sehingga dua angka bagi peratusan pelancong Muslim dari Malaysia berkunjung ke Taiwan setiap tahun,” jelas Phoebe. - KitaReporters


12
17
0
6
0
You will be interested