Selera & Santai 23 May, 2024

Resort anjur parti liar kena kompaun RM25 ribu! Dah 10 tahun anjur tanpa pengetahuan pihak berkuasa?

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

e

Gambar parti liar yang mencetuskan kemaharan rakyat Tengganu tular dalam media sosial


PEMILIK sebuah resort di Pulau Lang Tengah, Terengganu dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 dan larangan penganjuran program berunsur parti liar seumpamanya diadakan pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan bersama pemilik resort tersebut pada Khamis, 23 Mei 2024.

"Ini berikutan penganjuran sebuah parti liar pada 20 Mei (2024) yang melanggar kesalahan bawah Sub Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat-tempat Hiburan 2002 negeri Terengganu.

"Daripada penjelasan pihak Summer Bay Resort, kita dapati banyak perkara yang mereka langgar termasuk tatasusila, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara mesra Muslim di negeri ini," katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama pengurusan Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6 Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.


Razali Idris


Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif.

Razali menjelaskan bahawa program tersebut diadakan setiap tahun tanpa pengetahuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Terengganu dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Bagaaimanapun, penganjuran terbaharu parti tersebut tular dalam media sosial dan mendapat bantahan penduduk negeri ini.

"Resort tersebut mempunyai lesen yang lengkap dan boleh beroperasi seperti biasa, namun kesalahan ini akan dikenakan tindakan.

"Pihak PBT akan mengenakan kompaun kepada resort tersebut dalam masa terdekat, di samping siasatan lanjut mengenai sebarang kesalahan lain di pulau tersebut," tambahnya. 



Difahamkan, program tersebut telah diadakan selama 10 tahun dan hanya dihentikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa pengetahuan PBT.

Razali turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pelanggaran peraturan oleh mana-mana resort kepada pihak berautoriti.

"Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana menyalurkan info mengenai parti terbabit," katanya. - KitaReporters


 

16
13
1
16
0
You will be interested