
MIra Filzah bersama Evelyn Lee memperkenal menu sempena Ramadan di Secret Recipe.
“Nasi Kerabu adalah makanan pilihan saya dalam bulan Ramadan kerana ia mengingatkan saya kepada detik-detik berbuka puasa bersama keluarga,” kata duta jenama Secret Recipe, Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman.
Mira, 31, ditemui pada majlis memperkenal menu khas Secret Recipe, sempena bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi di bawah kempen ‘Jom Makan Nasi Kerabu Kegemaran Mira Filzah’ bertempat di cawangan Secret Recipe di 1Utama baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pemasaran Secret Recipe, Evelyn Lee.

Mira menunjukkan cara membuat kerabu campuran udang sebagai hidangan sampingan yang boleh diperoleh. - Foto FAS.
Berkongsi keterujaannya, Mira memaklumkan beliau bukan sahaja gemar memakan nasi kerabu ayam berempah ketika menjalani penggambaran di Kelantan dua tahun lalu malah ’jatuh cinta’ dengan pekasam tradisional negeri Cek Mek Molek itu iaitu ‘budu’.
“Sebelum ini saya tak pernah rasa budu sebab saya ada masalah sinus jadi takut bila makan kerap bersin pula tetapi bila cuba budu di Kelantan terus jatuh cinta, sedap rupanya,” dedah MIra senyum.
Sehubungan itu, menurutnya, beliau mengesyorkan agar tahun ini Secret Recipe menghasilkan pula menu Nasi Kerabu Ayam Berempah di samping menampilkan hidangan pembuka selera seperti Ayam Kunyit dan piilihan campuran kerabu termasuk Kerabu Udang, Kerabu Sotong, dan Kerabu Ayam.

Bagi menu utama, selain Nasi Kerabu Ayam Berempah, yang dihidangkan bersama ayam goreng berempah beraroma menyelerakan, disediakan juga Nasi Kerabu Ikan Saba Kunyit, yang menampilkan ikan saba kunyit goreng dan Nasi Kerabu Ayam Percik turut kembali tahun ini (2025) atas permintaan ramai.
Semua hidangan ini disajikan bersama nasi biru bunga telang Secret Recipe yang terkenal, menambahkan keunikan dan keaslian rasa kepada juadah berbuka puasa.

“Menu-menu baharu ini akan tersedia di semua cawangan Secret Recipe di Semenanjung Malaysia, kecuali AEON Mall Taiping, bermula 1 Mac 2025.” ujar Mira sambil memaklumkan akan berehat seketika daripada sebarang penggambaran pada bulan Ramadan kecuali jika ada promosi yang perlu dilakukan.
Menurut ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir, 3, walau pun sebuk bekerja beliau akan sentiasa memastikan hal berkaitan anak dan suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar sentiasa terjaga.
Diaju dengan soalan untuk menambah keluarga jawab Mira, "Memang ada perancangan untuk menambah anak sehingga 2 atau 3 orang ke tetapi saya 'go with the flow', doa-doakan ya."

Sementara itu, Evelyn Lee melahirkan rasa berbesar hatinya memperkenal menu daripada cita rasa Mira Filzah untuk meraikan tradisi dan kemuafakatan dalam bulan Ramadan.
Katanya, menu eksklusif ini bukan sahaja menampilkan sajian lazat tetapi turut mencipta pengalaman menjamu selera yang istimewa di mana ia ditawarkan dalam bentuk set untuk seisi keluarga berharga seerendah RM56.80 bagi set untuk dua orang merangkumi satu pembuka selera serta dua hidangan utama, atau set untuk tiga orang, berharga RM80.80 yang dilengkapi dengan dua pembuka selera serta tiga hidangan utama.
“Orang ramai dijemput untuk menikmati menu kegemaran saya ini,” sambung Mira mengiyakan penerangan Evelyn. - KitaReporters

