Selera & Santai 14 Sep, 2025

Pasar pagi terpanjang di Malaysia! Pasar pagi Sungai Bayor diiktiraf MBOR! Jarak sepanjang 2.32km!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

BANYAK pasar pagi di serata negara, namun tiada yang dapat menandingi pasar pagi Sungai Bayor, Selama, Perak. Dengan jarak sepanjang 2.32 kilometer, pasar setiap Jumaat ini diiktiraf sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia.


Pasar pagi Sungai Bayor, Selama, Perak, diiktiraf pasar pagi terpanjang di Malaysia dengan jarak 2.32 kilometer. Pengiktirafan diberi pada 5 September 2025.


Panjang sungguh... Pemandangan dari udara pasar pagi Sungai Bayor, Selama, Perak.


Pengiktirafan ini diberikan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada 5 September 2025 lalu. 

Secara tidak langsung ia meletakkan Sungai Bayor dalam peta pelancongan Perak khasnya dan Malaysia amnya. Tentu ramai pengunjung dalam dan luar negeri yang teruja melawat pasar tersebut. 

Dengan pengiktirafan itu juga pasar pagi Sungai Bayor, yang beroperasi sejak tahun 60-an, mengambil alih rekod pasar pagi terpanjang yang dipegang oleh pasar pagi Temerloh, Pahang, sebelum ini sepanjang 2.1 kilometer.

Pengiktirafan yang diberi kepada pasar pagi Sungai Bayor merupakan peristiwa bersejarah dan detik manis. Ia ibarat satu impian yang telah menjadi kenyataan. 

Memetik Yang Dipertua Majlis Daerah Selama (MDS), Nor Akmal Yang Gazali, sejak enam tahun lalu (2019), MDS penuh komited berusaha bagi meralisasikan impian mendapat pengiktirafan pasar pagi terpanjang.

Kerana itu pengiktirafan oleh MBOR sangat membanggakan. Ia  merupakan hadiah istimewa dan berharga kepada warga Selama sempena sambutan ulang tahun ke-68 Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2025 dan Hari Malaysia pada 16 September 2025.


Walau pun jarak jauh, pengunjung pasar pagi Sungai Bayor tidak penat berjalan meninjau dan membeli barang pilihan.


Buah-buahan, pakaian semua ada di pasar pagi Sungai Bayor.


Kejayaan diperoleh adalah hasil kerjasama Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Selama serta agensi pada peringkat daerah, negeri dan Persekutuan. 

Nor Akmal percaya pengiktirafan MBOR  mampu menarik lebih ramai pengunjung, terutama dari luar Perak, ke pasar pagi Sungai Bayor. Pada masa sama, ia bakal melonjakkan nama Daerah Selama sebagai daerah yang mesti dilawati menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026. 

Bagi keselesaan pengunjung, kemudahan sedia ada akan ditambah baik, antaranya tempat letak kereta dan tandas awam.

Untuk menambah seri pasar dan sebagai daya tarikan, MDS bercadang menampilkan acara kebudayaan menghiburkan pengunjung. Antara yang dicadang ialah acara busana tradisional, diadakan secara bulanan atau suku tahunan.  


Pilih yang berkenan di hati... Pelbagai jenis buah-buahan atau kuih muih tradisional dan buah-buahan di pasar pagi Sungai Bayor.


Adik ini tersenyum santai menunggu pelanggan datang membeli ikan jualan.


Suasana sibuk dan meriah di pasar pagi Sungai Bayor, tumpuan ramai setiap pagi Jumaat.


Pasar pagi Sungai Bayor bukan sahaja terpanjang di Malaysia, tetapi ia unik kerana menempatkan 500 penjaja dan peniaga kecil dari tiga negeri, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Pasar tersebut menjadi medan pertemuan peniaga antara negeri serta menjadikannya landasan ekonomi rakyat. Ia menjadi wadah tetap bagi para penjaja dan peniaga menjual hasil tani. 

Dengan pengiktirafan MBOR, pasar diyakini bakal terus berkembang.

Sekadar sejarah ringkas, pasar pagi Sungai Bayor yang beroperasi sejak era 60-an, mulanya dikenali sebagai Pekan Jumaat Sungai Bayor, terletak di tepi Sungai Berdarah. 

Tahun lalu (2024), MDS memindahkan pasar ke Jalan Kampung Sungai Berdarah atas faktor keselamatan memandangkan jumlah peniaga dan pengunjung makin bertambah.

Pasar pagi tersebut menyediakan hampir kesemua barang keperluan seperti makanan dan kuih muih, minuman, pakaian, sayur-sayuran, barang kraf, ikan, ayam dan daging, buah-buahan, barang kering seperti bawang, cili dan ubi kentang, ubi kayu ubi keledek dan pelbagai lagi.  


Pengunjung pasar pagi Sungai Bayor meninjau dan memilih buah-buahan untuk dibeli dan dibawa balik.


Datanglah ke pasar pagi Sungai Bayor dan saksikan sendiri kemeriahannya. Sepanjang jalan pasar tersebut pelbagai barang jualan boleh dilihat, pilih dan bawa balik. 

Mampukah berjalan sehingga 2.32 kilometer untuk meninjau semua bahagian pasar? - KitaReporters

11
13
0
8
0
You will be interested