Sham Idris tidak menyangkakan hobi bercucuk tanam di sekeliling rumah kini menjadi salah satu sumber pendapatannya.
BERMULA secara suka-suka untuk memenuhi masa terluang, seorang lelaki di Felda Tenang, Labis tidak menyangka hobi bercucuk tanam di sekeliling rumah beberapa tahun lalu kini menjadi salah satu sumber pendapatannya.
Sham Idris, 52, berkata, dia yang membersihkan tanah terbiar di bekalang rumah pusaka peninggalan kedua-dua orang ibu bapanya kerana bimbang kawasan boleh menjadi habitat haiwan berbisa seperti ular jika dibiarkan ditumbuhi semak samun.
“Ketika itu saya hanya menanam sayur-sayuran dan beberapa rumpun pokok bunga kantan untuk kegunaan sendiri bagi mengurangkan belanja dapur selain mengelakkan kawasan terbabit menjadi semak semula.
“Namun saya kemudian mendapati tanaman bunga kantan mempunyai potensi besar dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat dan mengambil keputusan untuk mengusahakannya secara serius,” katanya yang mempunyai lebih 500 rumpun tanaman bunga kantan di belakang rumahnya di Felda Tenang Labis, Johor.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bercucuk tanam
Sham Idris menunjukkan bunga kantan yang dituai dari kebun yang terletak di belakang rumahnya di Felda Tenang, Labis Johor.
Katanya, dia kini mampu menjual antara 200 hingga 300 kuntum bunga kantan seminggu dengan harga sekitar 70 sen hingga satu ringgit setiap kuntum bergantung harga pasaran kepada beberapa peniaga pasar tani di daerah Segamat.
Menurutnya, dia selalunya akan menuai bunga kantan dua kali seminggu, namun ada kalanya jika permintaan tinggi seperti musim perayaan dia perlu menuai dengan lebih kerap bagi memastikan bekalan tidak terputus.
Sham Idris sedang memotong bunga kantan untuk dijual kepada peniaga pasar tani di daerah Segamat.
“Tanaman bunga kantan tidak sukar untuk diusahakan kerana tanaman ini sukar diserang penyakit serta haiwan perosak kerana aromanya yang tidak disukai oleh makhluk perosak dan satu-satunya masalah yang perlu diberi perhatian adalah serangan kulat dalam tanah.
“Pengusaha tanaman kantan hanya perlu memotong batang tua yang sudah kekuningan atau pokok yang condong dari bahagian pangkalnya bagi tujuan menggalakan pengudaraan ventilasi yang baik selain rumpunnya akan kelihatan lebih kemas,” katanya.
Benih pokok kantan diperolehi dengan cara menggali pokok matang dari rumpun yang sudah mengeluarkan bunga.
Menurutnya, daun kering tidak perlu
dibuang atau dibakar kerana daun kering tersebut boleh digunakan untuk menutup
tanah bagi mengekalkan kelembapan tanah yang diperlukan oleh tanaman kantan.
Katanya, selain membekalkan bunga kantan, dia turut menjual benih pokok kantan kepada mereka yang berminat untuk memulakan usaha menanam pokok kantan dengan harga RM3 setiap pokok.
Bunga kantan akan kembang dalam tempoh lima hari selepas bertukar warna kepada merah jambu dan tidak sesuai untuk dijual.
Bunga kantan jika dibiarkan tidak dituai akan menjadi buah yang juga boleh digunakan sebagai bahan masakan bagi mengantikan asam keping atau asam jawa.
Menurutnya, tanaman bunga kantan mampu mengeluarkan hasil sepanjang tahun dan setiap rumpun selalunya boleh menghasilkan sehingga 10 hingga 15 kuntum bunga dalam satu-satu masa sementara setiap batang dewasa mampu mengeluarkan dua kuntum bunga.
“Bunga akan mula bertukar warna kepada warna merah jambu apabila berusia 4 hingga 7 hari dan ketika itu bunga kantan sudah boleh dituai dan jika dibiarkan dalam tempoh lima hari bunga tersebut akan kembang dan tidak sesuai lagi untuk dituai.
“Bunga kantan mampu bertahan segar sehingga seminggu selepas dituai selain tidak menjejaskan rasa serta aromanya walaupun disimpan berhari-hari lamanya,” katanya. - KitaRepoters
Rumpun pokok bunga kantan yang sudah matang dan mengeluarkan hasil.
Selain mengusahakan tanaman bunga kantan Sham juga membiakkan burung tekukur Jawa untuk dijual kepada peminat burung tekukur.