
“BANGUN sahur!” Suara emak menerjah lubang telinga sambil menggoyang badan penulis. Mata antara pejam dan terbuka. Bukan tidak dengar panggilan emak, cuma sengaja buat-buat tidak dengar. Itu panggilan bersahur pertama emak.
Sejuk pagi
yang menggigit tubuh, mata masih mengantuk menyebabkan penulis liat untuk
bangun. Dalam suasana desa yang nyaman dan hening, memang enak tidur di awal pagi.
Apabila
terasa air membasahi muka, bermakna itu panggilan kali kedua emak untuk bangun.
Setelah panggilan pertama tidak dipedulikan, tidak lama lepas itu emak datang membuat
panggilan kedua sambil memercikkan air ke muka.
Panggilan kedua ini juga adalah amaran agar segera bangun bersahur. Jangan sampai panggilan ketiga kerana emak akan datang dengan seludang kering. Pedih tangan atau kaki kalau kena sebat dengan seludang kelapa.

Rumah asal penulis di Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, tempat jatuh dan bermain serta menyimpan banyak kenangan, termasuk kenangan bersahur pada bulan Ramadan.
Rumah penulis yang berdinding papan, beratap daun nipah dan bertiang batang nibung di kampung Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak, dikelilingi pokok kelapa. Oleh itu seludang banyak dikumpul di rumah kerana ia merupakan bahan bakar di dapur, selain tempurung dan pelepah kelapa atau kayu.
Masak
memasak cara kampung. Peralatan memasak elektrik jangan mimpi. Tiada bekalan
elektrik di kampung. Bekalan air paip pun tiada. Dapur minyak tanah, apatah
lagi dapur gas, benda asing untuk kami. Dapur tungku diguna dengan bahan bakar yang
ada di sekeliling.
Setiap kali
menjelang Ramadan, kenangan bersahur lebih enam dekad lalu semasa masih
bersekolah rendah sekitar tahun 60-an, kembali segar dalam ingatan. Bagi
penulis, bangun awal pagi untuk bersahur paling mencabar, bukan menahan lapar
dahaga atau rambang mata memilih juadah di bazar Ramadan.
Lagi pun kuih serta nasi dan lauk berbuka dan bersahur emak masak sendiri. Ada juga orang berjual tetapi jauh dari rumah penulis di pedalaman. Yang menjual pun hanya beberapa meja sahaja, tidak sampai tahap bazar Ramadan.
Bagi penulis masakan emak lagi sedap. Penulis juga kerap jadi posmen emak menghantar juadah berbuka ke rumah jiran. Baliknya tangan tidak kosong. Ada sahaja bekalan diberi sebagai balasan daripada jiran.

Emak tercinta, Sumiah Omar.
Waktu bersahur,
selalunya penulis yang terakhir dikejut oleh emak setelah selesai masak bersama
kakak. Mungkin sebab anak bongsu! Yang lain sudah sedia menunggu untuk makan. Ada
tanda-tanda tidak puas hati pada wajah mereka kerana terpaksa menunggu!
Makanan sahur
mudah sahaja. Ada lebihan berbuka yang emak panasan. Tetapi emak akan pastikan nasi
panas, selain satu dua masakan panas. Telur goreng dan ikan masin pun cukup
membuka selera pada awal pagi.
Minuman pula teh O ‘Ceylon’. Inilah minuman kami sekeluarga kerana murah. Teh tersebut dalam
bungkusan, diimport dari Ceylon (Sri Lanka), dibeli di kedai Ah Keng. Kadang-kadang
dalam bungkusan teh itu ranting daun pun ada sekali!
Prinsip
emak bangun awal, sekitar 4.30 pagi. Jam loceng buruk jadi panduan. Kami tidak
ada radio kerana ia barang mewah. Kalau ingin dengar, tumpang di rumah jiran.
Walaupun kampung kami jauh di pedalaman, siaran Radio Malaysia dan Singapura
sangat jelas.
Bagi emak, biar bersahur awal daripada tergelincir waktu. Ayam jantan dalam reban pun macam pandai memberitahu untuk bangun. Menjelang sahur ia akan berkokok.

Surau tempat penulis ikut bapa bersolat fardu dan tarawih. Ia masih wujud tetapi kurang berseri berbanding dahulu.
Selepas bersahur, ada sedikit masa untuk penulis sambung tidur sebelum digerakkan oleh emak untuk solat subuh dan bersiap ke sekolah. Waktu ayah bergerak pergi bekerja di kebun kelapa, penulis pula bergerak menuju sekolah berjalan kaki.
Jarak rumah dengan sekolah lebih tiga kilometer satu hala. Balik sekolah kebangsaan ke sekolah agama pula. Memang penat. Menjelang waktu berbuka badan terasa lembik.
Namun kadang-kadang penulis ikut bapa ke surau untuk solat tarawih. Tetapi kerap kalinya orang bersolat, penulis tidur. Hanya tersedar apabila juadah moreh dihidangkan. Makan pun sambil terhangguk-hangguk kepala kerana mengantuk.

Suasana di kampung tercinta kini sudah berubah. Jalan bertar menggantikan jalan tanah. Bekalan elektrik, air paip dan telefon juga ada, sesuatu yang tidak pernah dimimpikan sebelum ini.
Pokok kelapa masih ada tetapi banyak digantikan dengan sawit.
Yang tinggal hanya kenangan abadi di lubuk hati, tetap kekal dalam memori. - KitaReporters

Arwah emak bermain dengan cucu kepada Shahril Aizat dan Nabila Iryani yang kini sudah berkeluarga.

Arwah bapa bersama anak sulung penulis penulis, Shahril Aizat yang kini sudah mempunyai empat orang anak.