
Kepah yang berjaya ditangkap.
Selain terkenal dengan keindahan alam semula jadi, Pahang juga terkenal kerana kepelbagaian makanannya. Sebut sahaja patin masak tempoyak, sambal hitam, puding diraja, gulai asam rong dan macam-macam lagi pasti ramai tahu ia juadah berasal dari Pahang.
Sungai Pahang merupakan sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang tersimpan beribu-ribu spesis ikan air tawar. Sudah pastilah paling terkenal ialah ikan patin dan etak.
Selain itu, pantai-pantai di sepanjang pesisir daerah Kuantan dan Pekan juga terkenal dengan kehidupan laut yang memberi sumber rezeki kepada orang ramai.

Waktu sesuai untuk menangkap kepah ialah pada waktu pagi dan petang, ketika air laut surut.
Setiap bulan
April hingga Mei, musim hidupan laut yang dikenali sebagai kepah kembali lagi
di pantai-pantai sekitar Kuantan! Ketika ini, dapat dilihat ketika air surut,
pantai akan dipenuhi orang ramai yang berpesta mengutip kepah. Rezeki yang
datang bergolek di depan mata tidak disia-siakan.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh seorang warga Kuantan, Nur Suria Abdullah, 32.
Menurutnya, dia bersama ahli keluarga segera ke Pasar Nelayan Balok yang terletak di Pantai Balok untuk mencari kepah setelah diberitahu oleh jiran.

Nur Suria Abdullah bergegas ke Pantai Balok untuk mencari kepah selepas diberitahu oleh jirannya.
“Setelah
mendapat tahu musim kepah telah tiba, saya bersama lima orang ahli keluarga
cepat-cepat ke sana. Ini peluang terbaik untuk kami merasai sendiri keseronokan
mencari kepah,” jelasnya.
Tambah Nur Suria lagi, waktu terbaik untuk menangkap kepah ialah pada waktu pagi dan petang iaitu ketika air laut surut. Elakkan pergi pada hari minggu kerana ramai orang.

Hanya menggunakan tangan, kepah berjaya ditangkap dengan mudah.
“Jam sembilan pagi kami telah bergegas ke sana. Jangan datang pada waktu tengah hari kerana air laut sedang pasang. Waktu paling sesuai adalah pagi dan petang.
"Oleh kerana kepah berada dalam pasir, ia senang dicari ketika air surut. Kami hanya menggunakan tangan sahaja. Ada sesetengah orang, mereka menggunakan penutup kipas untuk mengambil kepah dalam jumlah yang banyak.
“Kami hanya membawa baldi dan beg plastik sahaja. Punyalah seronok, hingga kami tidak sedar sudah tiga jam masa berlalu.
"Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan satu baldi penuh dan satu beg plastik kepah segar. Setelah air laut mulai pasang, kami mula berkemas untuk pulang,” ceritanya kegembiraan.

Kepah bersembunyi di bawah pasir.
Harga kepah di
pasaran berbeza mengikut tempat. Kalau anda beli secara langsung di pasar
berdekatan laut, harganya mungkin murah sedikit. Namun, kalau sudah namanya
makanan laut, kebanyakan harganya mahal.
Kepah boleh dibuat pelbagai jenis hidangan seperti masak lemak, tomyam, sambal, rebus, butter milk dan lain-lain lagi. - KitaReporters

Kepah butter milk sangat enak dimakan.