Selera & Santai 18 Aug, 2024

Moh kita di Glamping Jiwa Merdeka! Program perkhemahan julung kali sempena sambutan Hari Kemerdekaan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


JIKA bercakap mengenai aktiviti camping, itu sudah biasa malah kebanyakan kita sudah selalu melakukan perkhemahan seumpama itu sejak kecil sama ada di kawasan tepi pantai, air terjun atau hutan semula jadi.

Tapi sekarang ada istilah baru iaitu glamping, gabungan glamor dan camping. Ia adalah pilihan warga kota untuk healing atau bersantai pada hari percutian.

Glamping merupakan aktiviti yang semakin mendapat sambutan dan menjadi trend terkini dalam kalangan pencinta alam semula jadi, remaja termasuk ibu bapa di negara ini. 

Ia juga dikenali aktiviti percutian ala perkhemahan, diperkenal pada abad ke-16 apabila Earl of Atholl dari Scotland menyediakan pengalaman percutian mewah di Highlands untuk melawat Raja James V dan ibunya. 


Glamping Jiwa Merdeka memberi peluang pengunjung bersantai bersama keluarga dan mengambil bahagian dalam banyak aktiviti sebelum  menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya.


Apa beza glamping dengan camping? Jika camping, anda perlu melakukan semua persiapan seperti memasang khemah, memasang flysheet, dan membina unggun api. Tapi, semua kemudahan disediakan dalam glamping, anda hanya membawa badan sahaja.

Kebiasaannya, dalam khemah glamping, terdapat katil bersaiz queen yang lengkap dengan alas comforter, penghawa dingin yang akan menambahkan keselesaan anda, ruang duduk yang beralas permaidani cantik dan soket elektrik untuk memudahkan pengunjung menggunakan barangan elektronik seperti pengecas telefon, pengering rambut dan radio.

Macam duduk dalam hotel kan? Bilik mandi yang bersih dan selesa juga disediakan. Kemudahan lain ialah peralatan dapur, unggun api atau campfire, surau dan tandas. 

Faridz Amli Shaharudin


Justeru, bagi memberi kelainan dan keunikan kepada sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 tahun ini (2024), Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) akan menganjurkan Glamping Jiwa Merdeka pada 30 dan 31 Ogos 2024.  

Jurutera Perbadanan Putrajaya, Faridz Amli Shaharudin berkata, Glamping Jiwa Merdeka mahu membawa orang ramai yang datang sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2024 seawal jam 8 malam, untuk program yang julung diadakan tahun ini.

Beliau berkata, PPj tidak mahu orang ramai berpusu-pusu di tapak acara perbarisan di Dataran Putrajaya, jadi dengan adanya program glamping, PPj memberi peluang kepada orang ramai terutama pengunjung berehat, bersantai bersama keluarga dan mengikuti aktiviti yang diadakan di tapak perkhemahan. 

Glamping Jiwa Merdeka diadakan di Stadium Mini Taman Pancarona, Presint 18, Putrajaya.


"Program Glamping Jiwa Merdeka akan diadakan di Stadium Mini Taman Pancarona, Presint 18, Putrajaya dengan menyediakan 360 tapak perkhemahan dan 100 karavan dengan harga di antara RM20 dan RM25.

"Selain itu, ada juga tawaran istimewa bagi sesiapa yang mengambil pakej kombo termasuk makanan dengan harga RM50, manakala kombo karavan dengan makanan berharga RM55," katanya.

Beliau berkata, banyak pengisian dan aktiviti sepanjang dua hari itu, antaranya pertandingan mewarna Jiwa Merdeka untuk kanak-kanak, persembahan patriotik Jiwa Merdeka, tayangan filem kenegaraan, pertandingan hiasan khemah dengan Jalur Gemilang dan kiraan detik kemerdekaan pada malam 31 Ogos 2024.   

Glamping merupakan aktiviti yang semakin mendapat sambutan dan menjadi trend terkini warga kota.


"Glamping Jiwa Merdeka terbuka kepada orang ramai dan jika mahu mengambil bahagian, layari laman web Perbadanan Putrajaya, imbas kod QR, isi semua maklumat yang diperlukan dan ikut arahan pembayaran. Penyertaan perlu diisi sebelum 27 Ogos 2024.

"Sesiapa yang menyertai glamping ini layak mengambil bahagian dalam pertandingan hiasan khemah, peserta perlu ada di tapak glamping, maksudnya tidak boleh mendaftar kemudian menghilangkan diri atau tidur di tempat lain. Ada hadiah menarik menanti khemah paling cantik.

"Pertandingan bermula dari jam 4.30 petang pada 30 Ogos 2024 sehingga 31 Ogos jam 7 pagi dan selepas jam 7 pagi mereka perlu mengemas dan "check out" daripada tapak glamping kerana masa itu, orang ramai akan ke Dataran Putrajaya untuk menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaan pula," katanya. 

Glamping Jiwa Merdeka terbuka kepada orang ramai dan perlu mendaftar sebagai peserta sebelum 27 Ogos 2024.


Faridz Amli berkata, pemilihan hiasan khemah berdasarkan tema Hari Kemerdekaan 2024 iaitu Malaysia Madani Jiwa Merdeka. Dan, setiap khemah perlu dihias dengan Jalur Gemilang manakala elemen-elemen lain seperti kecantikan, kreativiti, estetika akan diambil kira dalam penjurian nanti.

"Pertandingan mewarna terbuka kepada ibu bapa yang membawa anak-anak. berusia 6-12 tahun. Kami akan menyediakan pensil warna dan kertas lukisan, jadi ibu bapa tidak perlu membawa apa2, daftar saja dan bersedia apabila arahan diberikan nanti. 

"Masa pertandingan selama sejam 30 minit dan kami menyediakan tiga hadiah untuk tempat pertama hingga ketiga selain tujuh hadiah saguhati.

"Manakala kuiz kenegaraan pula akan dikemukakan sambil peserta sibuk menghias khemah atau mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna. Hadiahnya ialah baucar "joy ride" untuk menunggang kuda di Taman Equestrian dan baucar untuk cruise Tasik Putrajaya," katanya. 

Pelbagai kemudahan disediakan dalam glamping, seolah-olah tinggal di hotel.  


Mengenai persiapan, katanya insya-Allah pada tarikh itu pihaknya bersedia menerima semua peserta untuk Glamping Jiwa Merdeka di Stadium Mini Taman Pancarona, Presint 18, Putrajaya. Kemudahan lain termasuk tandas, surau dan bekalan air turut disediakan.

"Jom ramai-ramai kita sertai Glamping Jiwa Merdeka jika mahu merasakan sendiri keseronokan berkhemah dalam suasana hari kemerdekaan selain dapat menyertai banyak aktiviti menarik kerana ia adalah program julung kali diadakan Perbadanan Putrajaya sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang kebetulan disambut di Dataran Putrajaya.

"Ini juga pilihan kepada orang ramai yang hadir untuk menyaksikan perbarisan terutama mereka yang datang dari luar Putrajaya, jadi tidak perlu tergesa-gesa, sebaliknya boleh tinggal di khemah dengan segala kemudahan termasuk makan minum, selepas itu boleh menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya pada pagi 31 Ogos 2024. - KitaReporters

19
11
0
14
0
You will be interested