Kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam dan rekreasi di Hutan Bandar Johor Bahru kini sedang giat dilaksanakan bagi memperkukuh peranannya sebagai nadi hijau bandar raya Johor Bahru.

Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan) bersalaman dengan salah seorang pengunjung di Hutan Bandar Johor Bahru ketika membuat tinjauan pada 24 Oktober 2025.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dengan keluasan melebihi 50 ekar, kawasan riadah popular itu menerima peruntukan berjumlah RM10.3 juta di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk kerja-kerja pembangunan dan pengindahan menyeluruh.
"Projek ini dibahagikan kepada tiga zon utama yang dirancang bagi memperkukuh fungsi rekreasi, tarikan pelancongan dan keselesaan pengunjung.
"Zon satu menumpukan kepada kerja-kerja pengindahan serta penambahbaikan utiliti termasuk pembinaan pintu gerbang baharu dan laluan semula jadi yang lebih mesra alam," katanya dalam satu kenyataan pada 24 Oktober 2025.

Menurutnya, zon 2 pula memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan rekreasi seperti tapak perkhemahan, taman rama-rama, serta boardwalk bagi menarik lebih ramai pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi di tengah bandar.
Sementara Zon tiga akan dibangunkan sebagai kawasan permainan dengan kemudahan kolam kanak-kanak dan aktiviti lasak seperti ‘flying fox’ yang dijangka menjadi tumpuan keluarga.
Selain katanya, projek utama turut melibatkan beberapa kerja tambahan dilaksanakan bagi mempertingkat infrastruktur sedia ada di kawasan sekitar.
Antaranya termasuk naik taraf Anjung Selera Hutan Bandar, sistem perparitan dan elektrikal, serta pembinaan laluan pejalan kaki baharu di sekitar Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail atau TMIYC) dan Jalan Yahya Awal.
Langkah komprehensif tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, bersih dan inklusif untuk semua golongan masyarakat.

TMIYC yang terletak dalam kawasan Hutan Bandar Johor Bahru terus menjadi tumpuan anak muda Johor dengan pelbagai aktiviti mingguan dan bulanan seperti JB Muzika, JB Fit, JB Glowalk, serta aktiviti ekstrem seperti Skateboard dan Climb 4 Fun.
Kemudahan tersebut menjadikan Hutan Bandar bukan sekadar tempat beriadah, tetapi juga pusat pembangunan belia yang aktif dan dinamik.
"Inisiatif ini turut menyokong usaha kerajaan negeri menjadikan Johor sebagai negeri belia berdaya maju dan bersemangat tinggi.
"Kerja menaik taraf itu juga sebahagian daripada persiapan menjelang Tahun Melawat Johor 2026, dengan sasaran menjadikan Hutan Bandar sebagai destinasi riadah keluarga dan pelancongan hijau utama negeri.
"Projek ini dijangka siap sepenuhnya sebelum 2026 dan bakal memperindah wajah bandar raya Johor Bahru ," katanya.

Terdapat juga pentas yang dieiakan bagi tujuan pengnjuran sebarang program mahu pun aktiviti seperti senamrobik dan Johor Xtif. - Kredit gambar-gmbar: Facebook Onn Hafiz Ghazi.
Langkah itu juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyeimbangkan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan rakyat.
Hutan Bandar Johor Bahru kekal menjadi simbol keseimbangan antara kemajuan dan keindahan semula jadi di tengah pesatnya pertumbuhan bandar raya Johor Bahru. - KitaReporters

Onn Hafiz (tengah) berbincang sesuatu dengan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Jafni Md Shkor (kiri) dan Datuk Bandar MPJB, Datuk Mohamad Hafiz Ahmad.