Destinasi berharga buat pelancong. Selalu dengar namanya disebut semasa di sekolah rendah. Di sekolah menengah belajar tentang sejarah kewujudannya. Bersambung bila ke universiti dan bekerja.

Mercu tanda sebelum masuk ke kawasan jejak Globe Penghujung Selatan Tanah Besar Asia.

Menghampiri Titik Paling Selatan Tanah Besar Asia.
Ilmu dan sejarah tempat unik ini terus dihadam. Terletak di negeri Johor Darul Takzim, nama Tanjung Piai berasal dari dua perkataan.
Tanjung bermaksud hujung tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Dan Piai adalah nama sejenis tumbuhan paku piai (Acrostichum aureum) yang tumbuh banyak di kawasan tersebut, bersama-sama dengan pokok bakau.
Tanjung Piai terletak di bahagian paling selatan Semenanjung Tanah Melayu dan merupakan titik paling selatan bagi tanah Benua Asia.
Lokasinya yang istimewa ini menjadikannya tarikan utama pelancong dari serata dunia. Kawasan ini masih kekal dengan alam semula jadi yang kaya, termasuk hutan paya bakau dan dataran berselut.

Kaya dengan hutan bakau dan kawasan berselut.

Laluan yang kukuh cantik dengan pemandangan alam sekitar yang damai dan tenang.
Taman Negara Tanjung Piai telah diwartakan bagi melindungi khazanah alam semula jadi yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna di kawasan paya bakau.
Istimewanya Tanjung Piai kerana terdapat sebuah mercu tanda telah dibina pada tahun 2001 untuk mengabadikan kedudukan Tanjung Piai sebagai Tanah Paling Selatan Benua Asia.
Mercu tanda ini berbentuk konkrit mesra alam yang diukir dengan dua pelepah paku piai, mengimbau sejarah wujudnya nama kawasan ini.
Kedudukannya yang istimewa menjadikan mercu tanda ini sebagai destinasi pelancongan yang mula mendapat tempat kepada para peminat khazanah alam dan sejarah dunia.


Hati hati dengan tetamu yang tak diundang.
Disediakan dengan kemudahan yang sedia ada dan sedang ditambah baik, Titik Paling Bawah Benua Asia ini patut dikunjungi mereka yang sukakan adventure (pengembaraan).
Mana tidaknya laluan hampir 1000 meter bakal menguji ketahanan mental dan fizikal untuk sampai ke Globe Titik Terbawah Benua Asia itu.
Jangan risau laluannya selamat serta kukuh dan anda akan terpegun dengan hutan bakau di kiri kanannya. Namun bagi warga emas dan mereka yang ada masalah saraf dan sakit lutut perlu berfikir banyak kali untuk mencuba.
Sepanjang laluan jangan terkejut jika tiba- tiba muncul tetamu yang tak diundang” (monyet dan kera) yang banyak menunggu untuk menyambut kedatangan anda.
Berhati-hati juga takut diserang jika ada membawa beg plastik dan sebagainya. Namun jika tidak diusik anda akan selamat.

Selamat Datang ke Penghujung Selatan Tanah Besar Asia di Tanjung Piai, Johor


Sampai ke destinasi... Globe Penghujung Selatan Tanah Besar Asia.
Cuti sekolah masa paling sesuai membawa anak anak ke lokasi unik ini. Dedahkan generasi muda dengan sejarah dan aset berharga yang ada di negara kita.
Oh ya, sepanjang jalan ada banyak gerai jualan makanan. Antara yang wajib disinggahi kedai Kopi Tenggek yang menyediakan pelbagai menu menarik selain sajian istimewanya kopi tenggek.
Terletak lebih kurang 73 kilometer dari Johor Bahru untuk sampai ke tanjung Piai ini mengambil masa 47 minit. Sementara dari Gelang Patah mengambil masa lebih kurang 25 minit sejauh 51.8 km.
Anda boleh menggunakan bas, teksi, atau kereta untuk melihat sejarah dunia ini.
Harga tiket juga mampu beli. Dewasa RM5, kanak-kanak dan warga emas RM3. Dibuka dari 9 pagi sehingga 6 petang.
Jika bercadang bercuti ke Johor masukkan Tanjung Piai sebagai salah satu destinasi pilihan anda. - KitaReporters

Boleh singgah minum kopi tenggek yang popular di Tanjung Piai.
