Selera & Santai 19 Mar, 2021

Kalau di Rantau Abang, tengok penyu bertelur! Di Kampung Temir, kita tengok tuntung bertelur!

@fatimah itayah
Mula ceburi dunia kewartawanan sebagai wartawan akhbar. Masih banyak perlu dipelajari!

Share this

Kawasan pasir sungai di Kampung Temir, Hulu Terengganu menjadi lokasi pendaratan ibu tuntung untuk bertelur antara Februari hingga Mei saban tahun. 


Jika Rantau Abang, Dungun popular dengan penyu bertelur, satu-satunya daerah tiada pantai dan laut di negeri Terengganu iaitu Hulu Terengganu pula ada tuntung bertelur di Kampung Temir yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu.

Tuntung sungai atau nama saintifiknya, batagur baska mungkin kurang dikenali berbanding penyu atau kura-kura, namun haiwan eksotik yang dilindungi penuh di bawah Akta Hidupan Liar 2010 ini berperanan penting bagi menjaga ekosistem sungai.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan penyu:

https://kitareporters.com/search?search=penyu


Telur tuntung berbentuk bujur panjang seakan-akan telur itik. 


 Jika telur penyu berbentuk bulat seperti bola pingpong, telur tuntung pula agak bujur panjang seakan telur itik namun saiznya sedikit besar.

Sifat ibu tuntung pula terlalu sensitif kepada cahaya sehinggakan ia boleh masuk semula ke sungai tanpa bertelur jika cahaya terlalu terdedah, manakala kadar kedalaman lubang digalinya sebelum bertelur sekitar satu hingga dua meter.

Boleh hidup hingga mencecah umur 70 hingga 100 tahun, ketibaan bulan Februari hingga Mei saban tahun menjadikan kawasan pasir sungai di Kampung Temir jadi tumpuan komuniti untuk melihat sendiri tuntung bertelur.



Berdasarkan mitos orang tua dulu-dulu pula, apabila pokok dedap dipenuhi bunga berwarna merah ia menandakan ibu tuntung akan naik ke kawasan tersebut untuk bertelur, sekali gus menjadi saat dinantikan komuniti setempat meskipun perlu bersengkang mata hingga lewat pagi.

Malah, sebelum kawasan Pasir Temir diwartakan sebagai kawasan pendaratan tuntung sekitar tahun 1980-an, suatu ketika dahulu orang kampung turut mencari telur tuntung untuk dijual sebagai pendapatan tambahan.

Sebagai kawasan program pemuliharaan tuntung di bawah kawalan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, langkah konservasi bermula dari aspek pengutipan telur, pengeraman, penjagaan selepas penetasan, pelepasan, penguatkuasaan serta pengawalan.

Kawasan Pasir Temir juga adalah dilarang bagi segala aktiviti memancing, menjala atau sebarang kegiatan yang boleh menganggu habitat tuntut sepanjang tempoh pendaratan ibu tuntung untuk bertelur.


Ariffin melepaskan anak tuntung ke sungai sewaktu mengadakan lawatan ke Kampung Temir baru-baru ini. 


Sewaktu lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman ke Kampung Temir baru-baru ini beliau berkata lokasi pendaratan tuntung bertelur itu punyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan di Terengganu sebagaimana Rantau Abang, Dungun.

Menurutnya, kerajaan negeri berhasrat untuk mempromosikan Kampung Temir sebagai pusat pelancongan berasaskan komuniti yang akan melibatkan komuniti kampung sekitar agar menjadi tempat tumpuan pelancong untuk melihat proses bertelur dan pelepasan anak tuntung.




“Pada tahun 2019, Perhilitan telah merekodkan lebih 80 ekor tuntung betina naik ke kawasan Pasir Temir ini dan pada tahun ini sehingga 13 Februari (2021) lalu, sebanyak 50 ekor telah direkodkan.

“Purata kutipan telur pada tahun 2021 setakat ini sebanyak 500 biji. Telur-telur ini dipindahkan ke Pusat Konservasi Tuntung Bukit Paloh untuk proses pengeraman selama 85 hari sehingga proses penetasan tuntung.

“Melihat kepada angka itu, kawasan ini punyai potensi besar bagi landskap pelancongan Terengganu apatah lagi masih ramai masyarakat terutamanya generasi muda belum mengenali tuntung. Kerajaan negeri akan lihat keperluan atau program bersesuaian dapat dilaksanakan di sini,” katanya.

Tambah  beliau,  pelancong yang berminat dengan aktiviti konservasi tuntung atau ingin melihat tuntung bertelur perlu memaklumkan serta memohon dengan pihak Perhilitan terlebih dahulu. - KitaReporters


0
8
0
1
0
You will be interested