Selera & Santai 08 Mar, 2026

Video| Geli! Ulat, cacing dalam juadah berbuka! Tahap kebersihan peniaga bazar Ramadan dipersoal!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đź“§: [email protected]

Share this

Kemeriahan bazar Ramadan setiap tahun memang tidak dapat dinafikan. 

Pelbagai jenis makanan dan minuman dijual bagi memudahkan orang ramai membeli juadah berbuka puasa, dari kuih tradisional sehinggalah hidangan popular seperti laksa, mi, nasi dan aneka lauk-pauk.



Namun dalam kesibukan peniaga menyediakan makanan untuk pelanggan, aspek kebersihan kadangkala menjadi perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila timbul kejadian yang boleh menjejaskan selera orang ramai.

Dua perkongsian pengguna media sosial mencetuskan perbincangan hangat selepas mereka mendakwa menemui ulat hidup dalam makanan yang dibeli di bazar Ramadan.



Perkongsian pertama dimuat naik oleh seorang pengguna dikenali sebagai @urfvrnaa._ yang meluahkan rasa terkejut apabila mendakwa menemui ulat hidup di dalam semangkuk laksa yang dibelinya. 

“Nasib baik aku nampak. Eee, apalah ya Allah lah! Sebab inilah aku takut beli makanan kat bazar,” tulisnya dalam kapsyen hantaran tersebut sambil memaparkan rakaman sesuatu yang menyerupai ulat sedang bergerak di dalam kuah laksa.

Perkongsian itu segera menarik perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya berasa geli melihat keadaan tersebut.

Ada yang berpendapat ia mungkin berpunca daripada bahan sayuran yang tidak dibersihkan dengan sempurna sebelum digunakan dalam penyediaan makanan. 

“Takkan dia masak kuah laksa tu boleh hidup lagi. Bersih elok je ulat tu. Mungkin nak makan benda tu terjatuh dalam mangkuk awak kot,” tulisnya. 




Seorang lagi netizen pula berpendapat ia mungkin sejenis ulat daun yang biasanya terdapat pada sayur-sayuran.

“Ni ulat daun ni. Ikutkan bersih je. Tapi macam mana dia boleh survive tuangan panas kuah laksa tu? Sayur asing ke? Gerai bawah pokok ke?” soalnya.

Menurutnya, jika benar ia ulat daun, kemungkinan besar ia datang daripada sayur yang digunakan dalam hidangan tersebut.

Netizen lain turut berkongsi pengalaman hampir sama ketika memasak di rumah. 

“Ulat ni memang kegemaran ia di daun limau purut, basil. Pernah je masak, siap tumis, letak dalam pinggan tapi dia masih hidup,” ceritanya.



Walaupun ada yang cuba memberi penjelasan dari sudut logik, sebahagian netizen tetap meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tahap kebersihan segelintir peniaga makanan di bazar Ramadan.

“Gelinya! Teruk betul peniaga bazar Ramadan sekarang. Asal boleh je jual. Penyediaan makanan gagal,” tulisnya.



Tidak lama kemudian, seorang lagi pengguna media sosial dikenali sebagai @andy_amidah turut berkongsi pengalaman hampir sama selepas mendakwa menemui sesuatu yang dipercayai cacing dalam makanan yang dibelinya di bazar Ramadan.

Menurutnya, kejadian itu membuatkan dia benar-benar serik untuk membeli makanan di bazar.

“Memang kali terakhirlah membeli di bazar. Ini bukan ulat, cacing terus, hidup pula tu,” tulisnya.

Malah dalam satu komen balas kepada netizen lain, wanita tersebut mengakui kejadian itu membuatkan dirinya trauma setiap kali teringatkan perkara tersebut.

“Serius trauma nak makan, terbayang cacing tu bergerak,” katanya. 

Menjawab pertanyaan netizen mengenai lokasi kejadian, dia memaklumkan bahawa makanan tersebut dibeli di Bazar Ramadan Lahad Datu, Sabah. 

“Bazar Lahad Datu. Mungkin sayur tak basuh bersih,” jelasnya.



Walaupun punca sebenar kejadian tersebut tidak dapat dipastikan, insiden seperti ini mengingatkan semua pihak tentang kepentingan menjaga kebersihan dalam penyediaan makanan, terutama ketika musim bazar Ramadan yang menyaksikan ramai peniaga bermusim berniaga.

Bagi peniaga makanan, memastikan bahan mentah dibasuh dengan bersih serta makanan disediakan dalam keadaan selamat adalah tanggungjawab penting bagi menjaga kepercayaan pelanggan.

Pada masa sama, orang ramai juga disarankan supaya lebih berhati-hati ketika membeli makanan, termasuk memeriksa hidangan sebelum dimakan serta memilih gerai yang jelas menitikberatkan aspek kebersihan.

Jika terdapat sebarang keraguan terhadap makanan yang dibeli, pengguna juga boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan atau jabatan kesihatan bagi memastikan keselamatan makanan di bazar Ramadan sentiasa terjamin. - KitaReporters




11
9
0
9
0
You will be interested