Selera & Santai 08 Jul, 2020

Bubble Bee kian popular! Pengorbanan Shuib Sepahtu berbaloi!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

BILA melihat kedai minuman jenama Bubble Bee Malaysia semakin bertambah dari sehari ke sehari, pasti ramai yang kata, untunglah Shuib Sepahtu, murah rezeki. Tidak dinafikan, itu rezeki Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad yang memperkenalkan minuman boba berasaskan madu iaitu Bubble Bee Malaysia. : KitaReporters

Kini Shuib boleh berbangga dengan usahanya yang bermula daripada A - Z untuk membangunkan Bubble Bee Malaysia.


Sejak kedai pertama beroperasi di Menara U2, Shah Alam pada Disember 2019, kini Shuib sudah boleh senyum lebar kerana jenama minuman yang diperkenalkannya itu semakin digemari ramai.

Untuk tahun 2020 ini saja, sebanyak 28 rangkaian atau cawangan kedai Bubble Bee Malaysia akan mula beroperasi dari semasa ke semasa.

“Saya sangat menghargai dan teruja dengan sokongan orang ramai terhadap Bubble Bee Malaysia. Saya rasa sangat luar biasa. 

"Contohnya, di Menara U2 Shah Alam, setiap hari orang berbaris selepas adanya kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah, boleh dikatakan setiap outlet (cawangan), baik di Menara U2 Shah Alam, USJ Mydin, Setapak (milik Sharnaaz Ahmad), pelanggan berbaris setiap hari. 

"Insya-Allah, nanti saya akan cari idea macam mana nak hargai pelanggan,” katanya ketika ditemui di Sentul yang merupakan cawangan keempat Bubble Bee Malaysia, baru-baru ini.

Setiap kali cawangan baharu Bubble Bee Malaysia dibuka, Shuib akan hadir memberi sokongan.


Cawangan kelima kedai minuman tersebut adalah di Bangi yang dibuka secara rasmi, 6 Julai 2020 lalu. 

Katanya, sepanjang Julai, beberapa cawangan akan dibuka antaranya di The Strand, Kota Damansara, Senawang, Sungai Buloh, Putrajaya dan Ampang.

“Di Setapak, sambutan luar jangkaan. Saya anggap ini keajaiban Allah pada saya. Allah bagi rezeki yang sangat luar biasa. 

"Sebab saya tahu kemampuan dan kebolehan saya takat mana, tak adalah power sangat tapi Allah hantar kat saya orang hebat. Mereka yang boleh bantu saya untuk tingkatkan lagi jualan dan pemasaran. 

"Selain itu dengan bantuan media dan orang ramai yang hari-hari datang ke Bubble Bee. Ada orang yang sudah berpuluh-puluh kali beli, masih datang lagi, syukur,” katanya tersenyum.

Sharnaaz Ahmad, antara rakan artis terawal yang yakin dengan keupayaan Shuib dan membuka kedai di Setapak.


Selain itu, Shuib juga dalam perancangan untuk mengajak rakan-rakan artis seperti Achey, Fad, Ajak Shiro, Shahiezy Sam, Sharif Zero, Zizan Razak dan Nabil Ahmad, yang sudah bersetuju untuk membuka cawangan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Sebenarnya banyak tawaran yang datang kepada saya, semua itu di luar jangkaan. Ada yang minta buka di premis pawagam, pusat membeli belah, stesen minyak, yang nak buat kiosk bergerak dan kiosk kecil pun ada.

“Saya hargai idea-idea itu, cuma pelaksanaan itu saya tak boleh buat semua dalam satu masa. 

"Buat masa sekarang saya tak nak terlalu tergopoh-gapah dalam membuat keputusan atau pelaksanaan sesuatu. Sekarang ini fokus saya adalah kedai biasa yang macam ni,” katanya.

Biarpun perniagaan yang diusahakan semakin maju tapi ada juga komen yang mengatakan selalunya bisnes artis tidak berkekalan, sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Tidak terkejut dengan komen tersebut, sebaliknya Shuib menganggap kata-kata itu sebagai satu cabaran kerana beliau pernah lihat ramai rakan artis yang tutup kedai sebelum ini.

Sibuk mengendali perniagaan, tidak halang Shuib meneruskan minatnya sebagai penyiar radio di Hot FM.


“Bila ada yang memandang remeh pada artis yang berniaga, bagi saya itu satu cabaran. Di situlah akan menguji kredibiliti saya sebagai board director (Ahli Lembaga Pengarah) dan pengasas Bubble Bee. 

“Dah tentu saya ada perancangan dan kami sudah bincang apa yang perlu dilakukan dalam tempoh dua tahun akan datang. Saya percaya marketing (pemasaran) adalah yang paling penting dalam bisnes.

“Sebenarnya kami dah ada susunan untuk menu-menu yang hanya dikeluarkan pada waktu tertentu saja. Sebab kami tak nak tertumpu pada menu yang sedia ada saja,” katanya.

Menurut Shuib, mengikut perancangan, dua bulan sekali akan ada menu baharu, untuk elak rasa bosan dalam kalangan pelanggan jika disajikan menu yang sama saja.

 “Pasukan R&D (penyelidikan & pembangunan) telah buat kerja mereka dengan baik. Saya telah rasa beberapa menu dan tak sabar nak kongsi menu itu dengan orang ramai.

“Sekarang ini kami ada 12 menu saja, ada lebih kurang empat yang killer. 

"Saya bersyukur sangat, 12 menu pun dah padat. Allah bagi rezeki yang luar jangkaan, saya bersyukur sangat.

“Insya-Allah, saya bukanlah pandai sangat dalam marketing tapi saya ada pergi belajar untuk buat pemasaran. 

"Saya akan gunakan ilmu itu untuk bisnes Bubble Bee. Persiapan dan rakan kerja sangat penting,” katanya penuh semangat.

Sesiapa pun boleh berjaya seperti Shuib, sekiranya sanggup berkorban.


Melihat kejayaan yang diraih oleh Shuib, ramai yang mahu menjadi sepertinya. 

Kata suami kepada Siti Sarah itu, siapa saja boleh berjaya jika sanggup melalui kehidupan sepertinya.

“Bila orang nampak saya, ramai yang kata bestnya jadi Shuib. Kalau boleh hadap macam mana saya hadap setiap hari, mereka mungkin boleh jadi macam saya.

“Kereta adalah tempat saya tidur. Saya keluar rumah 4.30 pagi, jadi penyampai radio pagi. Pukul 10 pagi keluar daripada konti, pukul 12 tengah hari ada mesyuarat. 

"Dalam perjalanan pergi mesyuarat, saya akan tidur dalam kereta.

“Lepas meeting saya akan pergi tengok outlet dan buat kerja-kerja lain atau shoting. Saya akan balik rumah waktu malam. 

"Bila balik rumah, saya akan luangkan masa dengan anak pula. Saya akan tidur empat jam saja. Jarang saya dapat tidur enam atau lapan jam. Keretalah tempat saya tidur,” cerita Shuib tentang rutin hariannya.

Shuib beruntung kerana Siti Sarah sentiasa menyokongnya.


Katanya, setiap kejayaan memerlukan pengorbanan yang besar. Ada ketikanya, orang tak faham apa yang dilaluinya dan mereka hanya pandai bercakap saja.

“Kita yang lalui semua itu dan kadang-kadang orang cakap sebab nak jatuhkan kita saja. 

"Bila kita fikir balik, kalau asyik nak dengar cakap orang saja, nak berjalan pun tak boleh. Habis semua benda tak kena saja sebab manusia ini ada pelbagai perangai.

“Saya percaya tak semua orang suka kita, waima Nabi Muhamad yang semulia itu pun ada orang tak suka, lagi pula saya yang kadang-kadang salah cakap,” katanya terus terang. - KitaReporters

186
32
18
17
25
You will be interested