Selera & Santai 16 Sep, 2025

Syabas FELDA Chuping! Manfaatkan Geran SejaTi Madani! Majukan projek pelancongan ATV Adventure Park!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) FELDA Chuping muncul sebagai perintis apabila berjaya membangunkan projek ATV Adventure Park melalui sokongan Geran SejaTi Madani bernilai RM100,000 yang diumumkan oleh Perdana Menteri.


Pengunjung mencuba laluan mencabar di ATV Adventure Park FELDA Chuping yang dibangunkan melalui sokongan Geran SejaTi Madani.

Peserta bergambar kenangan sebelum memulakan tunggangan di ATV Adventure Park FELDA Chuping, tarikan baharu pelancongan lasak di Perlis.

Inisiatif tersebut bukan sahaja memperkenal tarikan baharu pelancongan lasak di Perlis, malah memperkukuh jati diri masyarakat FELDA dengan menjana peluang pekerjaan serta menyumbang semula kepada komuniti.

Pengurus ATV Adventure Park, Izan Asmawi Habidan, 44, yang juga Pengerusi JPKKP FELDA Chuping berkata, sebanyak 12 unit ATV disediakan untuk pengunjung dengan laluan mencabar sejauh 10 hingga 13 kilometer.

“Sebanyak 30 peratus hasil sewaan ATV akan disalurkan kembali kepada penduduk kampung, antaranya bantuan pek makanan, pembelian kerusi roda dan pemasangan lampu solar. 

"Projek ini membuktikan bahawa JPKKP bukan sekadar menganjurkan aktiviti, tetapi menjadi agen pembangunan ekonomi dan sosial setempat,” katanya.


Izan Asmawi Habidan. 



Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) adalah inisiatif kerajaan untuk merancakkan aktiviti ekonomi komuniti dan meningkatkan pendapatan melalui pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.  

ATV Adventure Park beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 6 petang dengan pakej promosi RM30 bagi tunggangan single (harga biasa RM40) serta tambahan RM10 bagi tunggangan double. Penyewa lima unit ke atas pula layak menikmati harga istimewa.


Suasana ceria peserta ketika menjelajah laluan mencabar di ATV Adventure Park FELDA Chuping, sekali gus memeriahkan pelancongan berasaskan komuniti di Perlis.
Peserta ATV Adventure Park FELDA Chuping meneroka laluan hutan hijau yang mencabar, menawarkan pengalaman pelancongan lasak penuh mendebarkan.

Menurut Izan Asmawi, usaha ini seiring dengan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2025 yang menekankan pelancongan berasaskan komuniti sebagai pemangkin ekonomi negeri.

Tempahan dan pertanyaan untuk ATV Adventure Park ini boleh dibuat melalui Pawi (017-428 9717), Wan (017-309 0569) atau Eyzu (017-579 3715). - KitaReporters


Pengunjung merakam kenangan gembira selepas mencuba tunggangan ATV.

ATV Adventure Park FELDA Chuping menjadi pilihan pengunjung menikmati pemandangan indah sambil merasai pengalaman tunggangan lasak yang mencabar.
13
13
0
15
0
You will be interested