.
KEPENATAN berdepan tuntutan tugasan harian di rumah dan di pejabat membuatkan ramai individu mudah tertekan atau menjadi stres. Namun tidak ramai antara kita mempunyai ‘kebolehan’ untuk mengesan perkara ini pada peringkat awal.
Namun, secara umumnya, kita boleh merasai perubahan pada diri sendiri apatah lagi apabila emosi cepat berubah. Kita menjadi sensitif dan cepat marah walaupun disebabkan perkara kecil dan remeh.
Kepala mungkin rasa sakit dan bahu pula terasa tegang. Tekanan yang tidak dikawal dan diuruskan dengan baik boleh menjejaskan kesihatan secara keseluruhan.
Jadi, inilah sebabnya kita perlu belajar cara untuk menguruskan tekanan dengan melakukan pelbagai aktiviti santai. Antara cara terbaik mengurangkan tekanan ialah mengamalkan gaya hidup sihat dan menjadikan senaman sebagai rutin sepanjang hayat.

Perasmian Putrajaya Active Park 2025 Siri 2 oleh Normalia Samsul Bahrin.
Menyedari hakikat itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Putrajaya Active Park 2025 untuk mempromosikan gaya hidup sihat di taman-taman awam pusat pentadbiran negara itu, dengan menyediakan ruang bagi pengunjung bersenam, meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan healing (penyembuhan) sambil menikmati alam sekitar.
Pegawai Pertanian, Bahagian Rekreasi dan Operasi Taman, Jabatan Landskap dan Taman PPj, Noorfarhanan Mohamed Rosli, berkata program itu memberi peluang peserta untuk mencipta kenangan manis dan menenangkan fikiran dalam suasana yang santai.
Putrajaya Active Park adalah destinasi terbaik untuk kekal aktif, sihat, dan menikmati kehidupan dengan penuh keceriaan.
Beliau berkata, Putrajaya Active Park 2025 siri 3 akan diadakan pada 24 Mei 2025 di Taman Wetland, Putrajaya (bersebelahan Adventure Park) bermula jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi.
Siri pertama yang diadakan di Taman Botani pada 25 Januari 2025 telah berjaya mengumpulkan lebih 100 peserta.

Noorfarhanan Mohamed Rosli.
"Siri kedua pada Februari 2025 lalu diadakan di Anjung Floria dan dirasmikan Pengerusi Puspanita PPj, Datin Normalia Samsul Bahrin.
"Program gaya hidup sihat ini diadakan minggu keempat setiap bulan di taman-taman awam yang terpilih dan antara aktiviti keluar peluh itu ialah zumba dan senaman pound," katanya ketika sesi temu bual di Radio KPKT bagi segmen "Hello PBT".
Katanya, matlamat program itu ialah menyemai budaya atau gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat terutama warga Putrajaya supaya lebih peka mengenai kesihatan awam dan pentingnya bersenam dan beriadah selain penjagaan fizikal dan mental untuk kebaikan jangka panjang.

Senaman pound antara aktiviti yang disediakan dalam program Putrajaya Active Park 2025.
"Program ini juga mahu memperkenal keindahan taman-taman di Putrajaya dan memberi peluang peserta menikmati persekitaran yang hijau dan nyaman.
"Malah, melalui promosi ini, mereka lebih menghargai alam sekitar dan tidak melakukan pencemaran atau perbuatan yang boleh menggugat keindahan alam semula jadi ini.
"Mungkin agak janggal tapi ia adalah benar kerana ada penduduk yang menetap di Putrajaya pun tidak tahu atau tidak pernah sampai ke taman-taman yang ada di sini seperti Taman Botani, Wetland dan Saujana Hijau. Jadi, melalui program ini, mereka boleh menggunakan kemudahan disediakan secara percuma," katanya.

Noorfarhanan (tengah) dan Noor Zulaini Dzulkefle ketika sesi temubual bersama Radio KPKT.
Sementara itu, Pegawai Tadbir, Bahagian Rekreasi dan Operasi Taman, Jabatan Landskap dan Taman PPj, Noor Zulaini Dzulkefle berkata, Putrajaya Active Park mahu membina hubungan lebih akrab secara dua hala dengan mereka yang gemar melakukan aktiviti luar supaya wujud jaringan kerjasama dan bertukar idea untuk kebaikan bersama.
Pihaknya menghargai maklum balas yang diterima daripada dua siri sebelum ini dan ini membolehkan PPj melakukan penambahbaikan untuk memastikan kemudahan yang disediakan di taman-taman Putrajaya lebih baik.
"Alhamdulillah, komuniti banyak memberi maklum balas positif daripada dua siri sebelum ini dan berdasarkan program di Anjung Floria pada Februari 2025, tempahan untuk aktiviti di sana penuh setiap minggu.
"Melalui Putrajaya Active Park, PPj mewujudkan pakej khas bertujuan memudahkan komuniti melakukan aktiviti senaman secara berkala pada masa depan selain memberi peluang lebih ramai kumpulan mengambil bahagian, sekaligus menyokong gaya hidup sihat," katanya.

Ada juga jualan pakaian dan barangan keperluan lain sempena Putrajaya Active Park 2025.
Beliau berkata, Putrajaya Active Park 2025 mempunyai tarikan tersendiri kerana dari 10 siri, ia diadakan di lokasi berbeza selain aktiviti fizikal dan senaman pun tidak sama. Justeru, peserta perlu mengikuti semua siri, jika tertinggal, ia mungkin satu kerugian kerana tiada kesinambungan.
"Melalui kepelbagaian ini, ia boleh menarik lebih ramai peserta. Malah, program ini terbuka kepada komuniti Putrajaya termasuk kanak-kanak kerana ia merangkumi senaman mudah hingga peringkat tinggi.
"Daripada terperap di depan TV atau bergayut dengan telefon bimbit, hadirlah di program ini kerana ia dapat mengubah kehidupan menjadi lebih baik.
"Sasaran kami adalah remaja berusia 10 hingga 19 tahun dan berharap mereka dapat mengambil bahagian untuk setiap siri, sekurang-kurangnya rutin harian yang sibuk dengan gajet dapat dikurangkan dan mereka menghayati gaya hidup sihat melalui aktiviti mengeluarkan peluh.
"Kami juga menyasarkan golongan belia kerana kebanyakan mereka menuntut di pusat pengajian tinggi dan bekerja, sering terjebak dengan stres. Melalui program ini, kami berharap mereka dapat menangani tekanan melalui bersenam selain membina hubungan sosial yang baik kerana ia dijalankan secara berkumpulan," kata Noor Zulaini lagi.

Persembahan band jemputan bagi memeriahkan program Putrajaya Active Park 2025.
Dalam perkembangan yang sama, Noor Zulaini berharap, peserta yang hadir pada program itu dapat memakai pakaian yang sesuai, elak berkemeja atau jean ketat selain berkasut sukan kerana senaman zumba dan pound memerlukan pergerakan yang banyak.
"Elak mengambil makanan berat sebelum hadir ke sini, takut 10 minit bersenam sudah muntah. Bawalah bekalan air minum secukupnya serta mengambil rehat atau tidur secukupnya untuk mengelak sebarang masalah nanti.
"Untuk siri ketiga di Taman Wetland ini, kami menyediakan hadiah cabutan bertuah. Begitu juga untuk siri keenam dan sembilan selain siri ke-10, kami ada hadiah istimewa menanti anda.
"Memang ada sedikit bayaran minimum dan mereka yang berminat boleh berdaftar melalui laman web, www.ppj.gov.my atau lain-lain media sosial seperti TikTok, Facebook dan IG," katanya. - KitaReporters

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian Siri 2 Putrajaya Active Park 2025 di Anjung Floria.