Azraai kini bergelar usahawan daging pekasam. - Kredit foto: FB Mohd Azraai Khor.
Tidak ramai yang tahu selain memiliki kepakaran mencatur strategi di atas padang, jurulatih bola sepak, Mohd Azraai Khor Abdullah rupanya seorang yang turut memiliki kemahiran ‘bermain’ sudip dan senduk di dapur.
Kebolehan Azraai dalam bidang masakan memang jarang didedahkan namun bagi saudara mara dan sahabat handai yang pernah menikmati masakan hasil air tangannya, mereka sedia maklum dengan ‘bakat terpendam’ yang dimiliki jurulatih itu.
Jadi, tidak hairan apabila Azraai mula berjinak-jinak dengan perniagaan daging pekasam yang dihasilkannya sendiri, sambutan yang diterima sangat luar biasa sehinggakan orang London pun mengidamkannya!
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan masakan
Sejak tular melalui media sosial, pasaran daging pekasam Azraai mendapat sambutan luar biasa. - Kredit foto: FB Mohd Azraai Khor.
Menurut jurulatih yang pernah membawa pasukan bola sepak Kedah memenangi kejuaraan double treble itu, idea untuk membabitkan diri dalam perniagaan daging pekasam tercetus susulan rasa kecewa dengan daging pekasam yang pernah dibelinya.
“Kali pertama beli daging pekasam daripada seorang penjual, saya sangat berpuas hati dengan rasa dan kualitinya. Tapi, masuk kali ketiga, saya mula berasa kecewa kerana pengeluar pekasam itu gagal mengekalkan keenakannya malah kualiti dagingnya mula diabaikan.
“Justeru bagi memuaskan hati, saya membuat pekasam sendiri. Walau pun sudah lama tidak membuat pekasam tapi ilmu yang ditinggalkan oleh emak saya, Tan Kim Eng belum berkarat.
“Ini kerana semasa kecil, saya kerap membantu emak membuat pekasam untuk dimakan kami sekeluarga. Kebetulan rumah kami di Kampung Alor Semadom, Alor Setar, dekat dengan sawah, jadi sangat mudah untuk mendapat ikan sepat benua, puyu, lampam dan lain-lain untuk dijadikan pekasam.
“Sayalah yang membantu emak menyediakan bahan untuk membuat pekasam, dari menumbuk beras hingga menggaulnya dengan garam dan asam keping. Pendek kata proses membuat pekasam itu saya lakukan dari A ke Z,” cerita Azraai.
Daging pekasam resipi air tangan Azraai Khor, dijamin keenakannya. - Kredit foto: FB Mohd Azraai Khor.
Walau pun
sudah lama tidak membuat pekasam namun ternyata sentuhan Azraai masih ‘berbisa’.
Percubaan untuk kembali ke gelanggang pembuatan pekasam mendapat maklum balas positif
daripada isteri dan anak-anaknya.
“Isteri dan anak-anak memuji pekasam daging yang saya buat dan secara berseloroh berkata ia boleh dikormersialkan dan dijual.
“Kemudian, saya buat lagi dan beri pula kepada saudara mara serta sahabat handai dan maklum balas yang saya terima sangat positif sehingga ada yang mula menempahnya. Itulah permulaannya saya membabitkan diri dalam perniagaan daging pekasam,” ujarnya.
Azraai berkata sejak sebulan lalu, beliau mula serius menjalankan perniagaan daging pekasam ekoran permintaan sangat menggalakkan dari seluruh Malaysia malah seorang rakyat Malaysia yang tinggal di London turut membuat tempahan.
Selain mempromosi melalui akaun Facebooknya (www.facebook.com/mohd.khor), pekasam Azraai mula menjadi perbualan terutama dalam kalangan peminat bola sepak melalui cerita mulut ke mulut dan turut tular melalui media sosial.
“Kebanyakan mereka yang sudah membeli dan menikmatinya membuat ulasan yang sangat positif mengenai produk saya melalui media sosial masing-masing.
“Malah, seorang rakyat Malaysia di London membuat tempahan sebanyak 10 paket melalui rakannya yang kebetulan akan ke sana. Baru-baru ini dia menyatakan sudah menerima pesanan itu dan menyatakan rasa puas hatinya,” tambahnya.
Azraai bersama salah seorang pembeli daging pekasamnya.
Menurut Azraai, beliau memang tidak berkompromi soal kualiti kerana tidak mahu pelanggannya kecewa sebagaimana dilaluinya sebelum ini.
“Saya pastikan pekasam yang hendak saya buat dan jual sama kualiti dengan pekasam yang hendak saya makan sendiri. Oleh itu, saya amat titik beratkan soal kualiti sama ada daripada pemilihan daging hingga ke proses penyediaannya.
“Sekarang, saya memang tak menang tangan menerima tempahan yang kebanyakannya dilakukan secara dalam talian sedangkan buat masa ini saya hanya mampu menyiapkan antara 100 hingga 200 pek sahaja,” kata Azraai yang kini dibantu oleh isteri dan dua anaknya.
Melihat kepada potensi kepada perniagaan itu, beliau bercadang untuk mengembangkannya dengan membeli peralatan pemerosesan, menambah tenaga kerja dan melantik ejen.
“Sudah ramai yang berminat hendak menjadi ejen. Insya-Allah, bila sampai masanya, daging pekasam Azraai ini akan dipasarkan secara lebih meluas di seluruh negara,” katanya.
Dengan harga RM10 sepaket untuk berat 150 gram, ia adalah pembelian yang sangat berbaloi kerana keenakannya yang terjamin. - KitaReporters