Selera & Santai 30 May, 2020

Nak makan kuih bakar durian PKP? Hubungi Hasanah, Ana Saji!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: ainalmarhaton63@gmail.com

Share this

MENGELUH dan melepaskan amarah kerana terpaksa tutup perniagaan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 bukanlah satu keputusan yang bijak. Pada mereka, tutup kedai ibarat tertutuplah pintu rezeki. Hanya yang bijak tahu untuk menyusun strategi. : KitaReporters

Hasanah Shariff menyiapkan kuih bakar durian di bengkelnya di Indera Sempurna, Kuantan, Pahang.


Bermula 18 Mac 2020 rakyat dikejutkan dengan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan kemunculan wabak 'pembunuh' COVID-19 di dunia termasuk Malaysia.

Keputusan itu sekali gus 'mematikan' semua sektor seperti perkhidmatan, pembinaan, pekilangan dan pemakanan serta beberapa sektor lain yang tidak kurang pentingnya kepada rakyat negara.

Bagi yang bergaji tetap mungkin tidak terlalu menjejaskan periuk nasi mereka tetapi bagaimana dengan nasib mereka yang bergantung sepenuhnya dengan duit hasil pendapatan harian mereka seperti peniaga makanan. Tidak kiralah pemilik restoran, kedai makan, warung atau gerai tepi jalan pastinya 'menangis tanpa suara' apabila terpaksa menutup sumber rezeki mereka itu. 

Ada kerja adalah gajinya ye. Tak berjualan duit pun tak masuk poket. Tapi...hidup perlu diteruskan. 

Begitu situasi yang perlu dihadapi kebanyakan peniaga termasuk peniaga makanan ketika bermulanya PKP walaupun hari ini sudah memasuki fasa PKP Bersyarat (PKPB). 

Razeki perlu dicari!! 


Kuih bakar durian keluaran Ana Saji Resources


Sediakan payung sebelum hujan!! 

Itu langkah bijak diambil seorang usahawan produk makanan sejuk beku yang mengambil peluang manfaatkan dana yang disediakan kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Hasanah Shariff, 49, berkata dia berazam untuk meningkatkan lagi jualan produk sejuk bekunya selepas perniagaannya merosot lebih 60 peratus pada peringkat awal penularan pandemik COVID-19 di Malaysia.

"Sebagai peniaga makanan, kami adalah antara golongan yang terjejas kerana terpaksa hentikan operasi untuk satu tempoh yang agak panjang.

"Akur dengan perintah kerajaan tetapi sebagai peniaga makanan sejuk beku, saya sudah buat persiapan menyediakan stok dalam kuantiti yang besar. 

"Alhamdulillah, saya berjaya mengharunginya walau sedikit getir," katanya. 

Bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

Hasanah Shariff 



Dengan kemahiran yang ada pada dirinya selain dana yang diperoleh, Hasanah telah berjaya melakukan inovasi kuih bakar dengan menambah durian ke dalam resipi kuih tradisional itu.

Malah beliau tidak menyangka boleh menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan apabila produk sejuk beku keluaran syarikatnya terus mendapat sambutan menggalakkan kalangan pelanggan baharu dan lama.

Hasanah yang juga Pengarah Ana Saji Resources, berkata, kuih bakar durian begitu digemari kerana rasanya yang sedap serta aroma yang memikat selera apabila dibakar, mudah dan hanya memerlukan sedikit masa ketika penyediaan.

"Saya juga tidak menyangka tempahan meningkat sejak sebelum PKP lagi dan dengan adanya dana yang diterima ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pengeluaran produk makanan sejuk beku lain selain kuih bakar durian.

"Walaupun pengeluaran terpaksa dihentikan sementara ketika PKP diumumkan Mac lalu, ianya tidak terlalu membebankan kerana saya memastikan stok sentiasa ada walaupun sedikit berkurangan daripada biasa," katanya ketika ditemui di premisnya yang terletak di Indera Sempurna, Kuantan, Pahang.

Selain kuih bakar durian sejuk beku, Ana Saji turut memasarkan lebih daripada 10 jenis makanan sejuk beku lain seperti martabak, opor daging dan ayam, karipap, kuih semosa sepusar daging dan ayam, serta semosa cendawan.

Inovasi makanan tradisional sejuk beku keluaran Ana Saji Resources mendapat sambutan menggalakkan

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, cabaran dalam perniagaan terutama sikap cemburu dalam kalangan masyarakat sekeliling tidak pernah mematahkan semangatnya untuk bangkit mencipta kejayaan selepas 25 tahun menjual kuih.

"Perasaan dengki dan cemburu serta iri hati dalam dunia perniagaan itu sudah menjadi perkara biasa tetapi kita tidak perlu tunduk kepada semua halangan, sebaliknya anggap itu sebagai cabaran dalam dunia perniagaan," katanya.

Kini perniagaan yang dahulunya hanya menggunakan tenaga manual telahpun berkembang dengan menggunakan teknologi moden.


Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini berhijrah ke Pahang selepas mengikuti suaminya bertugas sebagai tentera di Kuantan sejak 25 tahun lalu.

"Pada mulanya memasak sekadar sebagai hobi dan hanya suami yang mencuba tetapi apabila kuih 'menjadi' dan 'nampak cantik' saya berkongsi rezeki dengan jiran. 

"Saya juga mula menjual di warung sebelum beralih ke pasar tani dan pasar malam.

"Dari situ saya lihat kuih tradisional ini mendapat sambutan dan perniagaan semakin berkembang dan kini mampu menggaji 12 pekerja. 

"Saya juga menerima tempahan katering dan mula bekalkan kuih muih ke kantin sekolah sehingga ada ketikanya tidak menang tangan menyiapkan tempahan," katanya.

Menyedari potensi pasaran, Hasanah membuat pinjaman menerusi pelbagai skim yang ditawarkan agensi kerajaan untuk memperbesarkan perniagaannya.

Ia termasuk membeli bangunan kedai, peralatan memasak serta mengikuti kursus berkaitan bidang perniagaan termasuk kaedah menyediakan masakan secara moden.

Hasil komitmennya yang tidak berbelah bahagi dan cekal dengan cabaran yang dilalui, perniagaannya berjaya menembusi pasaran dalam dan luar negara bahkan produk Ana Saji kini berada di pasar-pasar raya seluruh negara termasuk Singapura dan China.

Kuih bakar durian


Semangat Hasanah tidak pernah luntur demi memastikan produk makanan sejuk bekunya itu terus berkembang sehingga ke pasaran global. 

Semoga lebih ramai usahanita mencontohi Hasanah yang terus cekal mengabdikan diri dalam dunia perniagaan. : KitaReporters

Kredit foto: FB https://www.facebook.com/frozenfoodanasaji/

2
0
0
0
0
You will be interested