Daun sarang kerengga yang sudah bewarna kuning menandakan telur yang telah menetas dan terdapat anak kerengga yang sesuai dijadikan umpan untuk memancing.
RAMAI sudah mula keluar dari rumah dan memikirkan destinasi percutian untuk dituju. Ketika Pulau Langkawi kian dikerumuni, para kaki pancing pula berfikir lubuk mana yang dijejaki dan umpan apa yang hendak digunakan.
Kehadiran kerengga yang gemar membuat sarang di pokok-pokok berhampiran kediaman mungkin dilihat sebagai penganggu kepada manusia dan tidak kurang juga ada yang berasa takut dengan gigitan serangga tersebut apatah lagi sifatnya yang agresif terutama ketika sarangnya diganggu.
Tetapi sebaliknya bagi kaki pancing, sarang kerengga sering dicari untuk mendapatkan anaknya untuk dijadikan umpan memancing walaupun proses mendapatkannya tidaklah semudah yang disangka selain terdedah dengan pelbagai risiko.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kaki pancing
Mohd Fazil Abdullah menunjukkan sarang kerengga yang ditemuinya.
Bagi Mohd Fazil Abdullah, 49, gigitan kerengga tidak menghalangnya untuk mengambil anak kerengga yang disifatkannya sebagai antara umpan terbaik yang pernah digunakannya bagi menjinakkan beberapa spesis ikan sungai seperti lais, baung dan lampam.
Menurutnya selain anak kerengga, telur kerengga juga sering digunakan oleh kebanyakan kaki pancing untuk menjinakkan spesis ikan puyu dan seluang. Tetapi telur tersebut mestilah terlebih dahulu dicelur menggunakan air panas bagi mengelakkannya terburai sewaktu dicucuk ke mata pancing.
“Selain digemari kebanyakan spesis ikan sungai, keistimewaan anak kerengga sebagai umpan pancing berbanding umpan hidup lain seperti cengkerik atau anak udang, anak kerengga boleh hidup lebih lama sehingga lebih dua minggu sekiranya disimpan dengan baik.
“Anak kerengga juga lebih tahan lama terendam di dalam air dan tidak mudah tercabut dari mata pancing berbanding umpan lain,” katanya yang sudah menggunakan anak kerengga sebagai umpan pancing sejak lebih sepuluh tahun lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan kaki pancing.
Mohd.Fazil mencantas ranting tempat sarang kerengga bergantung untuk mendapatkan sarang sebelum memasukkannya ke dalam karung plastik beras.
Mengimbau kembali sewaktu mula-mula mencari anak kerengga dulu, dia agak sukar membezakan sarang kerengga yang mempunyai anak dan sering tersalah mengambil sarang kerengga yang hanya dipenuhi telur sahaja.
Menurut
Fadil, kerengga gemar membuat sarang di pokok
leban dan angkasia jika di kawasan belukar, sementara pokok rambutan dan
mempelam pula menjadi pilihan di kawasan berhampiran kediaman dan pokok kelapa
sawit pula sekiranya di kawasan kebun.
Namun katanya, pengalaman mengajarnya bagaimana cara untuk mengenal pasti sarang matang yang mempunyai anak kerengga yang sesuai untuk dijadikan umpan.
Menurutnya, jika daun yang menjadi bahan asas sarang tersebut sudah mulai kering dan bertukar kepada warna keperangan dan kerengga yang bersifat aktif mempertahankan sarangnya daripada diganggu, itu bermakna terdapat anak kerengga yang sesuai dijadikan umpan di dalam sarang tersebut.
Kerengga akan keluar dari sarang dan menyerang sekiranya sarangnya diganggu.
Waktu paling sesuai mengambil anak kerengga yang selalunya terdapat di kawasan belukar adalah pada waktu petang kerana pada waktu pagi selalunya kerengga agak agresif dan aktif menyerang sekira sarangnya diganggu.
“Sebenarnya kita hanya perlukan bekas kosong plastik karung beras, parang, sabit dan galah sebagai peralatan asas untuk mendapatkan sarang kerengga yang selalunya berada di bahagian hujung dahan pokok dan kerja tersebut harus dilakukan dengan hati-hati untuk mengelakkan kecelakaan terutama sekiranya perlu memanjat pokok yang tinggi.
“Selepas menemui sarang kerengga, selalunya saya akan memotong ranting tempat sarang tersebut bergantung dan bertindak memasukkan sarang tersebut ke dalam beg plastik beras yang dibawa sebaik sarang tersebut jatuh ke bumi,” katanya.
Selepas itu, karung tersebut perlu diikat bagi menggelakkan kerengga dan anaknya keluar melarikan diri, kemudian plastik tersebut perlu di goncang dengan kuat beberapa kali bertujuan memecahkan sarang tersebut.
Anak kerengga selalunya bersaiz dua atau tiga kali lebih besar berbanding kerengga dewasa dan berwarna hijau serta berkepak.
Untuk seketika plastik tersebut dibiarkan dalam keadaan terikat sehingga semua kerengga dan anaknya keluar dari sarang yang telah terburai akibat digoncang dengan kuat sebelum boleh dibuka bagi membolehkan proses memungut anak kerengga dilakukan.
Katanya, pencari anak kerengga tidak mungkin dapat mengelakkan diri daripada digigit oleh kerengga sebaik ikatan beg plastik dibuka kerana pada waktu tersebut kerengga begitu agresif menyerang untuk mempertahankan anaknya.
Proses mengasingkan anak kerengga perlu dilakukan dengan secepat yang boleh sekiranya tidak mahu teruk digigit kerengga dan tidak sukar untuk membezakan anak kerengga dengan ibunya kerana anak kerengga mempunyai saiz sehingga tiga hingga lima kali lebih besar serta berkepak dan berwarna hijau berbanding ibunya yang berwarna perang.
Mohd. Fazil Abdullah
Setiap sarang selalunya Fazil boleh mengumpul sehingga dua ratus ekor anak kerangga yang boleh digunakan untuk dua atau tiga kali aktiviti memancing dan umpan selebihnya boleh disimpan dalam bekas yang dibubuh dengan campuran daun kering dan segar dan mampu bertahan lebih dua minggu tanpa perlu diberi sebarang makanan.
Menurutnya, selain menjadi umpan kegemaran ikan dia gemar menggunakan anak kerengga kerana boleh didapati dengan mudah dan percuma berbanding umpan hidup lain seperti cengkerik, anak udang mahu pun anak ikan yang agak mahal di pasaran ketika ini.
“Sebenarnya tidak ramai yang mengetahui kelebihan menggunakan umpan anak kerengga untuk memancing, kalau ada pun yang saya ketahui hanya segelintir sahaja yang menggunakan telur kerengga sebagai umpan memancing, tetapi telur kerengga tidak sesuai untuk memancing di arus deras.
“Tetapi bagi kebanyakan rakan saya yang sudah mencuba menggunakan anak kerengga selalunya akan terus melupakan umpan lain seperti cacing dan umpan tapa mahu pun umpan hidup lain untuk menjinakkan ikan termasuk yang bersaiz besar,” katanya.
Kebanyakan kaki pancing yang ditemui mengakui gemar menggunakan anak kerengga sebagai umpan menjinakkan ikan kerana mudah didapati serta tidak memerlukan modal selain mampu membawa balik hasil tangkapan lumayan setiap kali pergi memancing.
Abdul Jamil Ahmad Fadli.
Abdul Jamil Ahmad Fadli, 61, berkata, dia lebih suka menggunakan anak kerengga sebagai umpan ketika memancing berbanding umpan lain yang terpaksa dibeli dan harga yang agak tinggi di pasaran lebih-lebih lagi umpan bagi hidup yang tidak boleh disimpan lama.
"Pada mulanya saya sendiri kurang yakin dengan umpan ini kerana selalu menggunakan umpan tapa serta cacing gelang ketika pergi memancing baung, tetapi selepas menggunakan anak kerengga saya dapati umpan ini setanding dengan umpan lain.
"Lebih istimewa, umpan anak kerengga tidak mengotorkan tangan berbanding cacing dan umpan tapa yang selalunya meninggalkan bau kurang enak pada tangan dan pakaian sekiranya tidak berhati-hati ketika menggunakannya," katanya.
Nazad Dollah.
Sementara itu rakannya, Nazad Dollah, 62, turut bersetuju dengan pandangan rakannya itu dan sering mencari anak kerengga bersama-sama ketika musim memancing terutama ketika musim hujan.
Katanya, anak kerengga lebih sesuai digunakan ketika memancing di sungai dan tidak begitu sesuai untuk memancing di kolam memancing atau tasik kerana spesis ikan di kolam pancing dan tasik tidak sama dengan spesis yang terdapat di sungai.
Menurutnya lagi, jika menggunakan anak kerengga sebagai umpan, mata pancing bersaiz besar tidak begitu sesuai digunakan dan hanya sesuai untuk mata pancing bersaiz kecil dan sederhana memandangkan saiz anak kerengga adalah kecil.
"Selalunya saya dapat ikan bersisik ketika menggunakan umpan ini dan ikan tidak bersisik pula yang pernah saya dapat ketika menggunakan anak kerengga sebagai umpan adalah baung dan lais.
"Jika musim memancing tiba iaitu ketika musim tengkujuh saya akan mencari anak kerengga setiap ada kelapangan untuk disimpan kerana ada waktunya agak sukar untuk mendapatkan anak kerengga jika pada luar musim kerengga bertelur," katanya. - KitaReporters
Mohd. Fazil memunggut anak kerengga selepas memecahkan sarangnya untuk dibuat umpan memancing di sungai.