Tidak terbilang beberapa kali Kak Fas berkunjung ke bandar yang bergelar ‘Serambi Mekah’ iaitu Banda Aceh, salah sebuah provinsi terletak di penghujung Pulau Sumatera, Indonesia.
Baik sebelum dilanda tragedi tsunami atau selepasnya, Kak Fas sudah mengenali Aceh sebagai sebuah kota Islam tertua di rantau Nusantara dan Asia Tenggara,
Pemergian pertama berlaku pada tahun awal 90-an ketika suami mempunyai urusan perniagaan di sana dan seterusnya beberapa kali Aceh menjadi lokasi persinggahan sementara selesai urusan niaga.
Dan ketika Aceh dilanda tsunami, segala urusan di Aceh sudah lama selesai dan Kak Fas tidak lagi berkunjung ke sana.
Namun, takdir sekali lagi membawa Kak Fas ke Aceh apabila bermenantukan pula orang Aceh waima anak lelaki kedua bertemu ‘jodoh’ nya ketika melanjutkan pelajaran Masters dan PhDnya di Texas, Amerika Syarikat.
Berikutan itu, Aceh boleh dikatakan destinasi keluarga berhimpun apabila ada keramaian di mana seingat Kak Fas terakhir berada di bumi Aceh selepas majlis akad nikah anak di Masjid Raya Baiturrahman pada tahun 2010 (6 tahun selepas insiden tsunami) adalah pada tahun 2017 ketika majlis Aqiqah cucu lelaki pada bulan Syawal.
Bersama sebahagian daripada keluarga di hadapan Masjid Raya Baitullrahman yang terselamat dari bencana tsunami.
Selepas itu apabila wabak COVID-19 menyerang dunia, tempoh itulah juga Kak Fas tidak menjejakkan kaki ke Aceh sehinggalah pada sambutan Hari Raya 2023 tahun ini apabila giliran menantu berhari raya bersama keluarganya di sana, jadi Kak Fas turut serta raya di perantauan buat kali kedua.
Sebaik menjejakkan kaki di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Kak Fas mendapati tiada banyak perubahannya dulu dan sekarang.
Walaupun pernah menjadi ‘padang jarak padang terkukur’ disebabkan impak tsunami namun Aceh cepat membangun seperti asalnya dengan pembangunan baharu tetapi nampak lama.
Memandangkan pemergian kali ini ada antara menantu lain yang ikut serta belum pernah berkunjung ke Aceh, tentulah mahu melihat apakah produk pelancongan yang menjadikan Aceh sentiasa dibanjiri pelancong serata dunia semata-mata mahu melihat sendiri kesan tsunami terhadap bumi yang dihuni oleh majoritinya mengamalkan ajaran Islam.
Ada banyak objek pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong antaranya seperti Masjid Raya Baiturrahman dan beberapa masjid lain yang terselamat daripada bencana tsunami; Museum Kapal Apung PLTD dan Kapal Di Atas Rumah Lampulo selain Museum Tsunami Aceh dan sebagainya.
Di antaranya bagi Kak Fas yang unik dan di luar kotak pemikiran boleh berlaku tentulah Kapal Apung Lampulo yang terletak di Kampung Gampong Lampulo, Kuta Alam.
Apa yang uniknya?
Di situ anda dapat melihat kapal kayu berukuran 25.5 meter panjang dan lebar 5.5 meter seberat 25 ton milik Teungku Zulfikar itu tersadai di atas bumbung sebuah rumah dua tingkat.
Dan paling menakjubkan, kapal ini berjaya menyelamatkan kira-kira 59 nyawa daripada terkorban dek ombak tsunami setinggi pokok kelapa yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 itu.
Kapal tersangkut pada rumah ini menyelamatkan 59 nyawa daripada terkorban tsunami.
Sejujurnya, ini antara objek pelancongan yang Kak Fas rasa tidak harus dilepaskan daripada pandangan pelancong yang melawat Aceh dan ini juga tempat yang Kak Fas tidak pernah terlepas melawat walaupun dah beberapa kali pergi.
Kelainannya kali ini Kak Fas berpeluang bertemu dengan dua wanita yang menjadi mangsa tsunami 19 tahun lalu.
Mereka duduk berjualan buku-buku yang meriwayatkan kisah tsunama termasuk pengalaman ngeri yang dilalui sendiri bersama beberapa penduduk di kawasan Lampulo, hasil terbitan dan kerjasama penerbitnya, Yusuf Al-Qardhawy Al-Asyi
“Saya terselamat setelah berpaut pada pokok kelapa,” ujar Nilawati Ilyas membuka bualan menceritakan detik cemas dilalui semasa dilanda tsunami, ketika Kak Fas membelek-belek buku jualannya berjudul ‘Misteri dan Keajaiban Kapal di Atas rumah Lampulo Banda Aceh’, hasil tulisan suaminya, Syaifun Muhammad Yusri.
Nilawati Ilyas dan suaminya, Syaifun Muhammad Yusri menulis pengalaman mereka dalam buku 'Misteri dan Keajaiban Kapal Di Atas Rumah Lampulo Banda Aceh.
Menurutnya, sebelum terselamat, beberapa kali beliau digulung di dalam air namun berjaya berpaut pada dahan pohon kelapa sepanjang 12 meter.
'Takdir menemukan 3 daripada 4 anaknya yang turut berpaut pada pokok kelapa namun anak ke-3nya digulung ombak di mana sehingga kini jasadnya tidak ditemui manakala suaminya, Syaifun juga ‘berpantang maut sebelum ajal’. Beliau terselamat selepas tersangkut pada himpunan sampah.
Mereka bersyukur ditemukan kembali walaupun kehilangan seorang putera daripada 3 lelaki dan seorang perempuan.
Mengenang kembali kisah 19 tahun lampau, Nila memberitahu, sehari sebelum tsunami beliau melihat berbagai jenis burung berkicau kuat di belakang rumahnya seolah-olah mahu memberitahu akan berlaku bencana besar keesokannya.
“Isyarat burung berkicau seperti itu pernah terjadi beberapa bulan yang lalu ketika rumah kami terbakar,” kenang Nila sambil berkata, gelombang air laut cukup kencang seperti ular tedung dan bunyinya seperti ledakan bom ketika menghentam rumah-rumah sekeliling.
'Wak Kolak' turut mencoretkan pengalaman ngerinya dalam sebuah buku "Nestapa Tsunami Aceh'.
Selain pengalaman yang dilalui Nila, rakannya, ibu Bundiyah Sahan atau lebih dikenali orang kampung sebagai 'Wak Kolak' (kerana menjual bubur) tidak ketinggalan menceritakan pengalamannya terselamat di atas bot yang kini menjadi produk pelancongan setelah terdampar dan tersangkut di atas bumbung rumah dua tingkat milik pasangan Misbah dan Abbasiyah.
Terdamparnya kapal kayu sepanjang 25 meter, selebar 5.5 meter dan seberat 20 ton tu daripada tempat ‘docking’ kira-kira 500 meter jauhnya berjaya menyelamatkan 59 nyawa daripada menjadi korban tsunami.
Dapat dibayangkan bagaimana bersyukurnya 59 orang tersebut yang berjaya melompat ke atas kapal dan berteduh di dalamnya sehingga tsunami reda.
Khabarnya, 7 hari sebelum tsunami, ada seorang pak cik tua atau yang mereka gelar ‘kakek’ berjubah putih berkunjung ke rumah perkampungan berkenaan meminta sedekah.
Anehnya, kakek itu hanya mahu 500 rupiah (kira-kira RM1.50) sahaja walau pun ada yang memberi lebih sehingga 5,000 rupiah tetapi dia menolaknya, membuatkan si pemberi kehairanan kenapa duit bernilai lebih besar ditolak tetapi hanya mahukan 500 rupiah sahaja.
Memang aneh fikir mereka memandangkan kutipan wang yang mahu dikutip kata kakek itu mahu dikumpul untuk membina sebuah masjid.
Antara gambar-gambar yang dipamerkan untuk tatapan pelancong.
Cukupkah?
Mereka keliru apa sebenarnya tujuan kakek berjubah putih itu sebenarnya?
Dan bila ditanya, jawab kakek dengan penuh yakin, “Insya-Allah dengan pertolongan Allah akan selesai masjid itu”.
Lebih aneh lagi sebelum beredar meminta sedekah ke rumah jiran lainnya kakek sempat berpesan “tolong jaga diri baik-baik kita akan terjadi musibah yang luar biasa dahsyat."
Khabarnya, kakek tersebut sempat meminta sedekah daripada dua penghuni rumah berdekatan walaupun seorang daripadanya tidak sempat memberi 500 rupiah dek kerana masih mencari duit kecil di dalam rumah.
Tetapi selepas menemui duit yang dicari, si pemberi menuju ke arah kakek yang dilihat masih berada pada jarak 50 meter tetapi dalam sekelip mata kakek berkenaan menghilang. Kelibatnya tidak kelihatan lagi di mana-mana.
"Sebelum kejadian itu juga, saya kerap bermimpi berada di atas perahu apabila Lampulo dibanjiri air keruh," kenang Wak Kolak.Natijahnya, pada hari kejadian, ditakdirkan kedua-dua rumah dikunjungi kakek tua berkenaan terselamat termasuk penghuninya apabila mereka berjaya memanjat ke atas bot yang terdampar di atas bumbung.
Antara lukisan gambaran ombak tsunami yang mengorbankan lebih 200,000 penduduk Aceh yang boleh dilihat dalam pameran di Muzium Tsunami. - Foto via Googlemaps/Ad0a0m Smithy.
"Kami sangka bot yang dinaiki sedang berlayar, Apa yang kami lakukan hanyalah banyak berzikir, membaca ayat al-Quran dan laungan azan oleh Ustaz Mujiburrizal mampu menghalang ombak tsunami yang datang berkali-kali ke arah bot kami tetapi kemudiannya pecah arah," tambah Wak Kolak sambil memaklumkan kejadian aneh sebelumnya juga menemukannya dengan seorang wanita tua berusia 80-an yang ingin membeli buburnya tetapi hanya mempunyai wang 500 rupiah.Kasihan melihat nenek itu menyebabkan Wak Kolak memberikan sahaja buburnya secara percuma dan kembalikan 500 rupiah kepadanya.
"Waktu itu selepas makan nenak yang kelihatan cantik dan bersih sempat berkata,"mudah-mudahan anda selamat ya' tetapi sebaik sahaja saya beralih pandangan untuk meletakkan bekas bubur nenek tadi ke tempat basuh, sekelip mata pula saya mendapati nenek itu hilang entah ke mana. Saya rasa nenek itu malaikat menyerupai manusia seperti kakek yang hilang, kemungkinan beliau adalah Nabi Khaidir yang menjelma untuk memberitahu akan berlakunya musibah besar," katanya lagi.
Memang leka mendengar kisah Nila mahu pun 'Wak Kolak' sehingga tidak sedar waktu berjalan pantas dan hanya bunyi hon daripada kenderaan yang menunggu memaksa Kak Fas memohon diri untuk ke destinasi lain.
Memang menakjubkan mendengar kisah yang diceritakan!
Itu baharu seorang dua belum lagi mendengar pengalaman lain terutama tentang seorang anak muda bernama Rustam, pekerja bot yang 'tidur mati' dan tidak sedar botnya dihempas tsunami dan hanya terjaga selepas 15 minit kejadian apabila tersedar sudah ada ramai orang dalam botnya sehingga bila terjaga dia kehairanan dan bertanya 'Ada apa ramai-ramai di kapal ini?"
Apa pun yang nyata tsunawi yang melanda mempunyai hikmah tersendiri di sebaliknya.
Apabila ke Aceh wajib terlebih dahulu melawat ke Museum Tsunami Aceh sebelum ke destinasi pelancongan supaya faham cerita di sebaliknya. Rekaan muzium seperti 'ombak' sebagai simbolik tsunami. - Foto kredit: TheAsianParent
Aceh kini membangun pesat dan dengan wujudnya beberapa produk pelancongan lain seperti Museum Tsunami Aceh dan Museum Kapal Apung PLTD, iaitu sebuah kapal generator elektrik seberat 2.6 tan yang dihanyutkan sejauh tiga kilometer ke daratan mahu pun beberapa masjid yang terselamat, Aceh perlu dikunjungi setidak-tidaknya sekali seumur hidup agar impak disebalik tragedi tsunami boleh dijadikan pengajaran dan iktibar untuk menikmati kehidupan yang dikurniakan Allah SWT ini waima dalam apa keadaan susah dan senang sekali pun.
Dalam pada itu keindahan pantai Aceh terus menjadi lokasi riadah pelancongan tempatan dan luar negara.
Yang pasti, kita hidup di muka bumi ini hanya sementara dan khiamat itu benar! Tsunami hanya khiamat kecil!
Al-Fatihah buat mangsa korban tsunami! - KitaReporters