Seorang lelaki ditahan oleh penguat kuasa JHEAIPP kerana disyaki sedang merokok pada bulan Ramadan di Sungai Pinang, Georgetown, Pulau Pinang. - Skrin tangkap layar melalui aplikasi TikTok milik @amirulainul4788
Setiap tahun wujud golongan tidak berpuasa atau geng ‘plastik hitam’ berkeliaran di premis-premis kedai makan atau restoran di mana-mana sahaja di negara ini.
Di Pulau
Pinang, restoran nasi kandar sering menjadi tumpuan buat mereka yang tidak
berpuasa untuk mendapatkan juadah makan tengah hari dengan pelbagai alasan seperti
masalah kesihatan, tidak bersahur, kerja berat dan sebagainya.
Kumpulan kaki ‘ponteng puasa’ sengaja tidak mahu berpuasa bukan disebabkan keuzuran syarie tetapi melayan nafsu buruk mereka dan langsung tidak menghormati orang lain yang berpuasa.
Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada 5 April 2023, berjaya memberkas 30 lelaki yang tidak berpuasa dalam satu operasi bersepadu dengan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lebih 140 kawasan panas atau ‘hotspot’ sekitar Georgetown dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
“Saya sihat tapi tak larat nak puasa sebab kerja berat.” Demikian alasan yang diberi oleh salah seorang lelaki berusia 40 tahun yang diberkas oleh penguat kuat JHEAIPP ketika sedang menghisap rokok di sebuah astaka yang tidak beroperasi.
Lelaki itu berkata dia terpaksa melepaskan ‘gian’ untuk merokok walaupun mengetahui ketika ini adalah bulan Ramadan.
Selain lelaki tersebut, rakannya turut dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama dengan memberi alasan dirinya tidak mampu berpuasa ekoran penyakit diabetes yang dialaminya.
Penguat kuasa JHEAIPP mengeluarkan notis kepada seorang lelaki yang disyaki menghisap rokok pada bulan Ramadan di Georgetown, Pulau Pinang. - Skrin tangkap layar melalui aplikasi TikTok milik @amirulainul4788.
Menurut Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP, Anwar Ismail berkata, operasi hari ini bukan hanya tertumpu di kawasan hotspot sahaja tetapi lebih menjurus kepada premis makanan yang menjual makanan kepada orang yang tidak berpuasa.
“Insya-Allah kita akan laksanakan kesemua operasi di ‘hotspot’ yang telah kita kenal pasti memang menjadi tumpuan orang yang tidak berpuasa. Lebih kurang 140 hotspot berada di bawah pemantauan dan menjadi pemerhatian kita,” ujar beliau ketika bersama menyertai operasi tersebut.
Anwar turut mengingatkan umat Islam di Pulau Pinang yang didapati sengaja makan atau minum atau merokok di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syar’ie pada sepanjang bulan Ramadan; jika sabit kesalahan di bawah undang-undang seksyen 15 Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-dua sekali.
Manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, mereka yang tidak berpuasa (sengaja) boleh dihukum dengan denda RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. - KitaReporters
Puntung rokok dijumpai bersama salah seorang yang ditahan tidak berpuasa di astaka yang tidak beroperasi di Georgetown, Pulau Pinang. - Skrin tangkap layar melalui aplikasi TikTok milik @amirulainul4788.
Sumber:
Berita.rtm.gov.my
https://www.facebook.com/100069641786052/videos/143475858447803