Daging kisar (minced beef) digunakan untuk membuat pelbagai jenis masakan. Dalam masakan Melayu, ia turut digunakan dalam masakan dan kuih-muih seperti karipap, cara berlauk, martabak dan bergedel.
Pelbagai jenama daging kisar ada di pasaran. Pilih sahaja mana satu yang anda rasa paling sedap. Paling penting, sudah pastinya pilih yang halal.
Namun, ada sesetengah orang keliru adakah daging kisar perlu dibasuh terlebih dahulu atau tidak.
Ada yang kata tidak perlu dan juga sebaliknya. Namun sekiranya anda pernah mengikuti kursus pengendalian atau pengurusan makanan, ia sebenarnya tidak boleh dibasuh kerana dikhuatiri terjadi pencemaran silang.
Lagipun, ketika proses membuat daging kisar, ia telah dibasuh dan dicuci terlebih dahulu sebelum dikisar.
Ada juga yang kata daging kisar mengandungi darah dan wajib dicuci sebelum digunakan kerana Islam melarang umatnya memakan darah.
Namun tahukah anda, cecair berwarna merah seperti darah itu bukannya darah tetapi dipanggil mioglobin (myoglobin). Ia adalah protein dalam otot haiwan bertulang belakang dan fungsinya membawa oksigen dalam sel otot.
Mioglobin memberi warna merah pada daging dan ia berperanan mencipta rasa dan aroma khas daging.
Cecair merah seakan darah sebenarnya adalah protein. - Kredit Foto: Google Image
Jadi, kalau anda
basuh daging kisar, secara tidak langsung ia akan menghilangkan rasa ‘manis’
daging tersebut. Kekeliruan inilah menjadi punca seorang wanita yang juga
peniaga kecilan bergedel daging menerima teguran daripada sesetengah netizen.
Dalam video yang dikongsi dalam akaun TikTok miliknya, Nurul Ajwa atau mesra disapa Wawa, berkongsi cara pembuatan bergedel daging.
Tindakannya membasuh daging kisar mengundang teguran daripada netizen. Malah, video tersebut menerima sebanyak 1.9 juta tontonan.
“Itu bukan darah tapi myoglobin (google je). Bahaya kalau cuci daging ni sebab boleh sebabkan pencemaran silang. Sebenarnya daging tu dah bersih kat kilang masa dipek (bungkus),” tegur salah seorang netizen.
Selain itu ada juga netizen menjelaskan daging kisar tersebut sudah melalui proses nyahkuman sebelum dipasarkan.
“Selalunya daging komersial ni sudah lalui proses pasteurisasi untuk membunuh kuman supaya produk tersebut tahan lama untuk dipasarkan. Apabila daging dibasuh balik dengan air boleh berlaku pencemaran silang,” jelasnya.
Namun ada netizen yang menyokong tindakan Wawa membasuh daging kisar tersebut kerana menurutnya dia pernah dimasukkan ke hospital kerana jatuh sakit selepas memakan daging kisar.
Sungguhpun begitu, kenyataannya disangkal oleh netizen lain kerana percaya ia bukan disebabkan perkara itu tetapi daging tersebut tidak dimasak sempurna.
“Daging cencang tu memang kena basuh. Aku pernah masuk hospital sebab kuman dalam darah disebabkan benda tu,” ceritanya.
Apa yang bagusnya mengenai Wawa, dia tidak mudah melatah dengan teguran tersebut sebaliknya menganggap ia sebagai ilmu baharu.
Dalam video seterusnya, dia berterima kasih kerana ada netizen sudi berkongsi ilmu cara betul pengendalian daging kisar. - KitaReporters