KATA peribahasa ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’. Namun merantau memberi peluang menimba pengalaman berharga, bukan sahaja mengenali cara hidup dan budaya negara lain, tetapi menimba ilmu untuk dimanfaatkan apabila kembali ke tanah air.

Daerah Ramanathapuram di bahagian selatan negeri Tamil Nadu, India.
Bagi warga India, Syed Ibrahim, 37, pengalaman bekerja lebih 10 tahun di Malaysia digunakan untuk mendalami ilmu masakan negara ini, terutama makanan kegemaran ramai seperti tomyam, nasi lemak dan sate.
Setelah 10
tahun merantau di Malaysia, Syed Ibrahim pulang ke kampung halaman di
Ramanathapuram, negeri Tamil Nadu pada tahun lalu (2024). Ibarat tak sungguh seluang
melaut, akhirnya balik ke tepi juga.
Namun pulangnya tidak hanya tangan kosong. Dia membawa bekal ilmu masakan Malaysia yang dipelajari.
Justeru apabila sampai ke tanah air bersama rakannya, Mohamed Sikkandar Kani, hasrat utama Syed Ibrahim ialah membuka restoran masakan Malaysia. Sikkandar jadi rakan kongsi. Dia juga menggaji beberapa orang pekerja selaku pelayan restoran.

Syed Ibrahim di hadapan restoran 'Tomyam Malaysia' miliknya di Ramanathapuram, Tamil Nadu, India. Restoran dibangunkan apabila kembali ke kampung halaman pada 2024 setelah 10 tahun berkelana ke Malaysia mencari rezeki dan belajar masakan Malaysia. Operasi restoran bermula Julai 2025.
Pengalaman kerja dan minat terhadap masakan Malaysia digunakan sepenuhnya ke arah merealisasikan kelahiran restoran berkenaan. Hasilnya lahirlah restoran ‘Tomyam Malaysia’ yang mula beroperasi pada 1 Julai 2025 lalu.
Pemilihan
nama ‘Tomyam Malaysia’ adalah kombinasi tanda kasih Syed Ibrahim kepada kepada bumi
Malaysia di mana dia pernah berkelana mencari rezeki, juga mengabadikan nama
masakan popular Malaysia.
Sekalipun
baharu dibuka, dan menu masakan tradisional Malaysia asing bagi masyarakat
india, Syed Ibrahim kagum dan teruja kerana restorannya mendapat sambutan
hangat daripada penduduk setempat.
Restoran
berkonsep jalanan itu mengekalkan 100 peratus rasa asli masakan Malaysia. Untuk
itu bahan atau perencah masakan diimport dari negara ini. Secara tidak langung
ini mengekalkan hubungan Syed Ibrahim dengan Malaysia.
Masyarakat India yang asing dengan menu Malaysia tidak kekok menikmati makanan Malaysia di restoran tersebut. Menu paling mereka gemari ialah nasi lemak, tomyam, sate dan nasi goreng. Mereka juga suka ayam goreng berempah.

Sate sangat digemari pengunjung restoran 'Tomyam Malaysia' milik Syed Ibrahim sehingga ada kala terpaksa menolak tempahan kerana tidak mampu menyediakan kuantiti diperlukan.
Restoran ‘Tomyam Malaysia’ bukan sahaja popular dan jadi tumpuan penduduk setempat tetapi juga masyarakat luar. Ia bermakna kewujudan restoran makanan Malaysia itu sudah tersebar ke tempat lain.
Sate menu
paling diminati sehingga jualan boleh mencapai 2,000 cucuk sehari. Ada
pelanggan yang membeli sehingga ratusan cucuk. Jika permintaan terlalu tinggi,
adakala terpaksa ditolak kerana tidak mampu memenuhi permintan.
Walau pun restoran jalanan, Syed Ibrahim sentiasa mengutamakan aspek kebersihan dan kesihatan pelanggan. Dia memastikan persekitaran sentiasa bersih demi keselesaan pengunjung.
Tugas ini memang berat memandangkan jalan-jalan di India kebersihannya kurang terjaga.

Restoran 'Tomyam Malaysia' sentiasa dipenuhi pelanggan untuk menikmati keenakan makanan seperti tomyam, sate dan nasi goreng.
Sewaktu Syed Ibrahim sampai ke Malaysia, dia bekerja sebagai pencuci pinggan di Johor Bahru. Itulah kerja pertamanya. Selepas itu dia jadi tukang masak di Pulau Pinang.
Ketika jadi
tukang masak dia belajar dengan penuh minat cara menyediakan pelbagai
jenis masakan Malaysia seperti nasi lemak, sate dan tomyam yang merupakan menu
popular semua lapisan kaum dan umur masyarakat Malaysia.
Apa yang dipelajari menjadi ‘senjata’ bermanfaat untuk digunakan bagi mewujudkan restoran berteras menu popular Malaysia di tanah air sendiri.
Bagi Syed Ibrahim, ilmu memasak yang diperoleh di Malaysia sangat berharga dan tidak harus disia-siakan.
Restoran ‘Tomyam
Malaysia’ wujud kerana cinta Syed Ibrahim kepada makanan Malaysia, lalu
membawa ke India. Usahanya membuahkan hasil membanggakan kerana masyarakat
India nyata sukakan masakan tradisional Malaysia.
Syed Ibrahim bagai duta yang mengeratkan hubungan Malaysia-India melalui makanan.
Dengan kejayaan dicapai, dan perniagannya semakin maju kelak, tidak mustahil dia akan membuka beberapa cawangan ‘Tomyam Malaysia’ di tempat lain di India. Atau mungkin ada pengusaha lain yang akan mengikut jejaknya.

Enaknya tomyam ketam! Kini tomyam jadi makanan kegemaran masyarakat di Tamil Nadu.
Seperti juga ramai rakyat Malaysia yang minat filem-filem Tamil yang berpusat di Chenai, Tamil Nadu, kini rakyat negara itu mengkagumi masakan Malaysia.
Jika ramai peminat filem Malaysia kenal M.G. Rachandran (MGR), Jayalalitha, Rajinikanth, Allu Arjun, Prabhas, Kajal Aggarwal, Kamal Hassan, Shruti Hassan dan lain-lain, kini rakyat Tamil Nadi kenal tomyam, nasi lemak dan sate.
Jika berpeluang ke Ramanathapuram, bolehlah menjengah restoran ‘Tomyam Malaysia’ milik Syed Ibrahim.
Ramanathapuram ialah sebuah daerah di bahagian selatan negeri
Tamil Nadu. Ia juga merupakan antara daerah tertua dalam negeri Tamil Nadu. - KitaReporters