Sebahagian peserta yang mengambil bahagian memulakan acara
PENGANJURAN Kapas-Marang Swimathon (KMS) 2024 yang bermula dari Pulau Kapas sehingga ke Pantai Kelulut, Marang, Terengganu berjaya menarik penyertaan 400 individu tempatan termasuk peserta antarabangsa dari 17 negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, antara negara yang terlibat termasuklah Thailand, Singapura, Filipina, Itali, United Kingdom, Australia, Poland, Hungary, Perancis, Afrika Selatan, India, Taiwan, Indonesia, Jerman, Hong Kong dan Belanda (Netherlands).
Katanya, dianggarkan seramai 1,500 penyokong kepada perenang antarabangsa dalam kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga yang turut datang bersama perenang.
Petugas keselamatan memantau peserta ketika berada di tengah laut
“Pendekatan itu
pastinya mampu mempopularkan Terengganu khususnya Marang sebagai salah satu
destinasi pelancongan yang selamat bagi aktiviti dan penganjuran acara renang
jarak jauh atau renangton.
“Pada masa sama ia merancakkan industrti pelancongan berimpak tinggi bagi membantu sumber pendapatan dan ekonomi penduduk setempat, pengiat pelancongan seperti perhotelan, pengusaha bot, homestay dan calet,“ katanya lagi.
Kemeriahan acara
KMS 2024 merupakan acara 100 Utama Dunia (World Top 100) di bawah World Open Water Swimming Association Certified Event (Acara Disahkan Persatuan Renang Air Terbuka Sedunia) yang dianjurkan oleh AMMJB Swimmer Enterprise dan Kelab Renang AMMJB dengan kerjasama Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).
Acara ini merupakan salah satu acara dalam Kalendar Acara (COE) Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2024.
Hadir sama pada program itu, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman, dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Azhari Mohammad. - KitaReporters