Selera & Santai 22 May, 2025

Gila Hindustan| Mohabbatein jadi penyelamat! Amitabh pernah sengsara! Pemiutang tunggu depan pintu!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

,

 


BENARLAH hidup ini seperti pusingan roda, sekali di atas sekali di bawah. Ada masa bahagia, ada masa derita. Yang kaya tidak kaya selamanya, yang miskin tidak miskin selamanya jika berusaha mengeluarkan diri daripada kemiskinan.

Oleh itu andaian bahawa orang kaya yang hidup mewah tidak akan jatuh papa tidak semestinya benar. Keperitan ini pernah dialami oleh aktor terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan.  

Namanya hebat, harta banyak. Bayaran berlakon tinggi. Namun itu tidak menjamin Amitabh, 82, berada di atas selamanya. Dia mengalami pusingan roda hidup yang getir pada tahun 1999 apabila syarikat miliknya, Amitabh Bachchan Corporation Limited (ABCL) jatuh muflis.


Amitabh Bachchan melalui kehidupan getir dibebani hutang puluhan juta apabila syarikat miliknya muflis pada 1999.


Detik itu bermulalah mimpi ngeri Amitabh dan keluarga. Kejatuhan syarikat menyebabkan dia menanggung hutang 90 crore Rupees (RS) bersamaan RM46.3 juta. Hartanya habis, simpanan tiada. Bebanan hutang menjadikan hidupnya sekeluarga sengsara.

Tidak cukup dengan itu, Amitabh menghadapi 55 kes undang-undang, harta bendanya diancam dirampas. Dalam suasana getir itu tawaran berlakon pula tiada menyebabkan kedudukan kewangannya terus meruncing.

Lebih menakutkan, pemberi hutang (pemiutang) saban ketika berada di depan pintu rumah menuntut wang. Sungguh tidak diduga, bintang beberapa filem box-office seperti ‘Sholay’, ‘Naseeb’,Trishul’, ‘Deedar’, dan ‘Kala Patthar’, berhadapan dugaan sangat berat.

Itu semua bukan dugaan dalam filem tetapi realiti. Sukar dibayangkan bintang besar yang dipuja di dalam dan luar India, hilang sinarnya. Untuk perbelanjaan keluarga pun bermasalah, apa lagi membayar begitu banyak hutang. Ramai berandaian Amitabh akan berkubur.


Kesempitan hidup Amitabh tempias kepada isterinya, aktres Jaya Bhaduri, yang turut menerima penghinaan yang dilemparkan masyarakat kepada suaminya.


Menyorot tragedi yang menimpa dirinya, Amitab memberitahu, rumahnya nyaris dilelong oleh bank untuk membayar hutang. Kehadiran pemiutang di rumahnya setiap hari sangat memalukan, sangat mengaibkannya.

Apa yang berlaku membawa rentetan kesan yang menyedihkan buat Amitabh. Disebabkan tragedi yang menimpa, semua di sekeliling bagai runtuh menimpa dirinya. Orang ramai hilang kepercayaan, seperti tidak ingin melihat wajahnya.

Kerana persepsi ini, dia tidak dapat tawaran berlakon. Malah dia tidak lagi dilihat seperti pelakon. Filem lakonannya dianggap tiada nilai untuk ditonton walau pun pernah membintangi banyak filem box-office.

Lebih menyedihkan, Amitabh tidak lagi dihormati sebagai superstar Bollywood. Masyarakat memandang hina, bersikap kasar dan serta menunjukkan perlakuan mengaibkan kepada dirinya dan isterinya, pelakon Jaya Bhaduri. 

Bagi Amitabh, ramai dalam kalangan industri, ramai yang hendak ‘menanam’nya dan menghapuskan namanya sebagai superstar dalam dunia Bollywood. Masing-masing mahu mengukir tulisan pada batu nisannya.

Amitabh tidak menemui jalan keluar daripada masalah yang dihadapi. Namun, seperti putaran roda, apabila berada di bawah masih ada harapan untuk naik kembali. Masih ada cahaya di hujung terowong.


Pengarah dan produser filem, Yash Chopra (kanan) memberi talian hayat kepada Amitabh dengan menawarkannya berlakon filem 'Mohabbatein' tahun 2000.


Pengarah 'Mohabbatein', Aditya Chopra, bersama isteri, aktres Rani Mukerji.


Dalam kemelut kehidupan yang makin menghimpit, Amitabh memperoleh tali hayat. Pengarah dan juga produser filem, Yash Chopra, menawarkannya berlakon dalam filem ‘Mohabbatein’ (Kisah Cinta), keluaran tahun 2000. Filem ini diarahkan oleh Aditya Chopra, anak Yash Chopra. Aditya ialah suami aktres popular, Rani Mukerji.

Filem ini turut membariskan Shah Rukh Khan, Aishwarya Rai, Uday Chopra, Shamita Shetty, Kim Sharma dan Preeti Jhangiani. 

Kejayaan filem ini memberi peluang kedua kepada Amitabh dalam kariernya yang di ambang kemusnahan.


Filem 'Mohabbatein' membariskan bintang utama Amitabh Bachchan, Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai.


Suasana tegang antara Amitabh Bachchan dengan Shah Rukh Khan dalam satu adegan 'Mohabbatein'.


Filem ‘Mohabbatein’ jadi penyelamat, membawa keluar Amitabh dan keluarga daripada kesengsaraan. Derita berubah bahagia.

Namun apa yang dilalui tetap tersimpan sebagai kenangan pahit dalam hidup. Ia menjadi iktibar untuk sentiasa beringat agar pisang tidak berbuah dua kali. - KitaReporters

11
13
0
17
0
You will be interested