Jangan gelojoh makan takut nanti ada bahan atau kuah terpercik ke dalam mata, pedihnya sengsara. - Kredit foto: Pixels
Sesetengah petua kedengaran pelik dan sukar dipercayai logik akal. Namun jika petua itu `menjadi` dan sudah teruji betul, mengapa harus tidak mempedulikannya?
Penulis suka nak berkongsi mengenai satu petua yang menjadi amalan sudah sekian lama.
Berikut adalah satu kejadian sebenarnya yang baru saja berlaku di rumah. Selesai drama sejenak tadi, terus jadi ilham untuk berkongsi petua terbabit dengan pembaca dalam laman ini. Ceritanya begini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan petua-petua
Mata automatik terpejam rapat apabila terpercik sesuatu yang memedihkan atau menyakitkan. - Kredit Foto - wexnermedical.osu.edu
Tengah syiok berbual sambil mencubit makanan sewaktu makan tengah hari, kami sekeluarga yang sedang makan di meja tersentak apabila anak sulung, Irfanizzat (Izzat) tidak semena-mena mengaduh dengan mata terpejam.
Rupa-rupanya kuah rendang terpercik ke dalam matanya. Serentak itu dia berlari ke sinki untuk membasuh mata kiri yang terpercik kuah rendang.
Tak tahan pedih dan sakit, bising mulutnya mengaduh sambil saya melaung, "basuh ibu jari kaki yang di sebelah bertentangan (dengan mata), basuh ibu jari kaki tu!"
Berkali-kali saya mengulang arahan, dalam kekalutan itu saya nampak dia langsung tidak mengendahkannya. Kemudian Izzat mencapai mangkuk leper, isikan air dan merendam matanya.
Dari meja makan saya melihat sahaja gelagatnya, lantaklah kalau tak nak dengar saranan sambil berharap keadaannya pulih dengan usaha membasuh mata.
Nampak sedap dan enak, awas semasa makan jangan gelojoh sangat sampai kuah rendang atau biji cili terpercik ke dalam mata, boleh jadi sakit tidak terkata. Andai sesiapa berhadapan situasi kemalangan seperti itu, cepat-cepat basuh ibu jari kaki yang bertentangan kedudukan dengan mata. Petua untuk menghindari sakit apabila dalam mata terpercik sesuatu yang telah lama penulis amalkan. - Kredit Foto - Rashidah Ibrahim
Telah lima minit berlalu, anak saya yang juga bapa (kepada seorang anak), masih macam tu juga. Usaha membasuh mata dengan air `tak jalan`. Dia terus pejam rapat sambil menahan pedih/sakit mata.
Hangat betul hati, tak dengar apa yang kita suruh. Faham sangat dengan perangainya, tak pernah nak dengar apa yang kita suruh tambahan kalau benda yang dianggapnya merepek.
Cuak dengan keadaan itu, saya bangun menuju ke sink, Izzat masih merendam matanya sambil mulut riuh rendah mengaduh sakit.
"Dengar tak apa yang disuruh tadi?"
"Tak dengar, tak dengar... Orang kesakitan mana la nak dengar apa-apa," jawab Si Izzat, lalu saya membuka paip dan menadah air dengan tangan.
"Mata mana kena?"
"Mata kiri," jawab menantu saya (Hidayah), iaitu isteri Izzat.
Basuh ibu jari kaki sebelah bertentangan dengan mata yang sakit terkena percikan, untuk petua mengelak sakit. Kalau mata kiri yang pedih atau sakit kerana terpercik, basuh ibu jari kaki kanan. Jika mata kanan yang terkena percikan, basuh ibu jari kaki sebelah kiri. Dalam keadaan tergesa-gesa, boleh saja dibasuh keseluruhan kaki berkenaan dan pastikan air mengenai ibu kaki. - Kredit foto: Pixels
Saya terus lurutkan ibu jari kaki kanannya dengan air beberapa kali sehingga keseluruhan ibu jari kaki kanannya itu basah sedang Izzat masih membongkok di sinki membasuh matanya. Masih tidak dapat membuka matanya yang pedih.
Setelah beberapa kali ibu jari kakinya dilurutkan air sehingga basah, serentak itu juga matanya mulai boleh dibuka dan dia pun bangun tegak.
"Haa barulah okey, tadi terasa macam seketul rendang berada dalam mata. Sakit betul," keluhnya.
"Haa kan mata kiri tu dah okey selepas dibasuh ibu jari kaki kanan! Itu petuanya. Kalau apa apa terpercik di mata, cepat-cepat basuh ibu jari kaki yang sebelah bertentangan dengan mata yang pedih itu. Petua ini memang berkesan," saya menegaskan "Tu lah orang cakap tak nak dengar!"
Hidayah terpinga-pinga, "Macam tu ya Ma? Dayah tak pernah tahu petua begini," sampuk si isteri.
Gambar hiasan
Betul, penulis sudah amal banyak kali, walaupun mata terpercik cili yang sedang ditumbuk, ia berkesan kalau mengikut petua itu, sekejap je pedihnya hilang.
Berhubung petua ini, tiada penerangan kenapa ia berkesan. Terkadang ada petua yang apabila kita amalkan menjadi tetapi kita tidak tahu nak jelaskan bagaimana ia boleh berlaku begitu.
Pernah juga dengar dua anggota sama pada tubuh manusia, urat sarafnya letak bersilang antara yang di kiri dan kanan, mungkin itulah alasannya mata kiri kena percikan, ibu kaki kanan yang dibasuh untuk petua rawatan. Tak tahulah.
Apa-apa pun, cuba sajalah saja, bukannya susah dan tak payah keluar duit pun. Jika ia menjadi, jangan lupa bahawa ia juga dengan keizinan Allah SWT. - KitaReporters