Mujur tak sempat makan! Kalau tidak, mungkin tragedi!
Begitulah pengalaman ngeri seorang wanita apabila cendawan liar yang disangka sedap rupanya beracun dan hampir menjadi santapan keluarganya.
Cendawan memang antara sayuran yang enak. Tambah pula, banyak pilihan dijual di pasaran, dari cendawan butang hingga shiitake. Semua selamat dimakan.
Namun, jangan terpedaya dengan rupa cendawan liar yang kononnya ‘lebih asli’ kerana tidak semuanya selamat. Malah, ada yang beracun sehingga boleh membawa maut.

Kisah yang tular ini dikongsi sendiri oleh seorang wanita dalam TikTok pada Ogos 2025 lalu.
Dia menceritakan bagaimana dia menemani anak lelakinya memetik cendawan liar di tepi jalan. Teruja dengan hasil ‘tuaian’, dia memuat naik video bertanyakan kepada netizen:
“Cendawan ni boleh dimasak ke? Risau pula nak masak. Tak tahu masak apa yang sedap.”
Namun, sejurus video itu dimuat naik, ruang komen dibanjiri nasihat dan amaran.
Rata-rata netizen sepakat bahawa cendawan tersebut beracun kerana mempunyai ‘cincin’ pada batangnya, tanda klasik cendawan berbahaya.

“Beracun sebab ada cincin kat batang dia,” tegas seorang netizen. “Tak boleh makan. Kalau ada cincin tu, memang bahaya,” tambah yang lain.

Bukan itu sahaja, ada juga netizen mengingatkan tanda lain, jika tiada serangga langsung pada cendawan liar, itu mungkin petunjuk ia beracun.
“Kalau nak tahu selamat atau tidak, tengok ada semut ke tidak. Kalau tiada langsung tu,selalunya beracun. Senang beli je daripada nyawa melayang,” tulis seorang netizen.

Wanita itu akhirnya memuat naik video kedua sebagai tanda syukur kerana sempat ‘berhenti’.
“Syukurlah tak masak lagi, simpan dalam peti ais. Sekarang nak buang. Terima kasih semua yang bagi tahu. Tengok cantik macam boleh makan, rupa-rupanya tak boleh.”

Ramai netizen yang lega namun dalam masa sama menegur tindakannya.
“Macam mana boleh ambil cendawan tu sedangkan sis tak pasti selamat atau tidak? Nasib baik belum dimasak.”
Kisah ini menjadi pengajaran besar kepada orang ramai, jangan terpedaya dengan rupa cendawan liar.
Jika ilmu tak cukup, jangan sesekali cuba-cuba. Lebih baik keluarkan sedikit duit untuk membeli cendawan yang sah dan selamat, daripada mempertaruhkan nyawa. - KitaReporters
