Selera & Santai 19 Jan, 2023

Terbaiklah Tuanku! Tunku Azizah terus beri inspirasi! Beri tunjuk ajar buat kuih raya kepada banduan!

@zamzurina ahmad
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan berpengalaman selama 11 tahun dengan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Pulau Pinang, Kedah dan Pahang. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Putra Malaysia.

Share this


"Tanggungjawab saya memberi mereka harapan". Demikian titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong tatkala selesai mencemar duli mengajar seramai 33  banduan wanita di Penjara Bentong, Pahang, pada 6 Januari 2023.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mendapat jolokan "Permata Hati Rakyat" itu tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar kepada banduan-banduan di negara ini terutama di Penjara Penor di Kuantan, Pahang dan Penjara Bentong.

Maka, tiada hairanlah apabila baginda diberi pengiktirafan dengan dilantik sebagai Penaung Diraja Seni dan Kraf Penjara Malaysia yang bagaikan satu penganugerahan terbesar buat agensi kerajaan itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan baginda Tunku Azizah

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat memberi tunjuk ajar dan berkongsi resepi kuih raya istana kepada 33 banduan wanita di Penjara Bentong, Pahang pada 6 Januari 2023 sebagai usaha 'memberi harapan' kepada mereka untuk meneruskan hidup apabila dibebaskan kelak.


Kesungguhan Tunku Azizah dalam memberi 'kehidupan' kepada penghuni di sebalik tirai besi itu tidak pernah ternoktah malah berterusan bagai sinar gemerlapan yang mampu menerangi setiap sisi kehidupan mereka walau di mana mereka berada.

Baginda bukan sahaja sentiasa memberikan idea-idea yang bernas untuk pembangunan insan tetapi sanggup mengetepikan protokol dengan duduk bersama-sama dan mengajar mereka sehingga pandai.

Sebagai contoh, jika banduan lelaki mereka akan menguasai teknik menenun dengan menghasilkan kain Tenun Pahang Diraja manakala banduan perempuan pula diberi pendedahan dengan ilmu masakan.



Sebelum ini pada Oktober 2018, Tunku Azizah berangkat ke Penjara Bentong memberi tunjuk ajar kuih raya resepi istana yang tidak pernah dikongsi kepada sesiapapun sebelum ini. Baginda berkongsi enam jenis resepi iaitu biskut milo, biskut melting moment, biskut cornflakes, biskut kastard, biskut kelapa dan biskut badam.

Terkini, pada 6 Januari 2023 baru-baru ini Tunku Azizah sekali lagi beradu di Penjara Bentong dengan duduk bersama-sama penghuni Bengkel Pastri dan lima orang petugas di situ mengajar mereka enam lagi resepi kuih raya istana.

Resepi eksklusif itu hanya dihidangkan khas di ruang santapan istana setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tunku Azizah sendiri berasa begitu teruja apabila banduan-banduan wanita berkenaan cukup berminat dan tidak kekok untuk belajar.

Biskut terbaharu yang diajarkan untuk jualan pada Aidilfitri kali ini ialah biskut coklat crinkles, biskut scot shortbread, biskut semperit, biskut arab, biskut kacang dan biskut anzac's.

Paling mengujakan para banduan di situ apabila Tunku Azizah turut berkenan membuat kek coklat marble kepada mereka sebagai minum petang.



Enam jenis biskut raya eksklusif dari istana untuk jualan di Penjara Bentong, Pahang bagi Aidilfitri kali ini.

"Sepetang (6 Januari 2023) saya bersama mereka (banduan wanita) di Penjara Bentong, saya mengajar mereka membuat enam jenis biskut untuk jualan hari raya, dulu saya sudah ajar enam jenis, dan hari ini enam lagi menjadikan semuanya 12 jenis biskut. 

"Saya juga sempat mengajar mereka buat marble cake, saya masak untuk mereka minum teh, tanggungjawab saya memberi mereka harapan. Tidak sia-sia saya mengajar mereka buat kek marble.. hari ini mereka buat untuk saya kek dan kirim kepada saya. sama rasa dan sedap," titah baginda.

Tunku Azizah sekali lagi berjanji kepada penghuni tembok besi itu untuk datang semula seperti rutin baginda sebelum ini dan hasrat untuk berkongsi resepi kek pula.

"Alhamdulilah saya akan datang semula ke penjara ini dan akan ajar pula enam resepi kek.. antaranya adalah kek durian yang sentiasa menjadi juadah di istana," titah Tunku Azizah selepas melancarkan pes asam pedas dan rendang betawi pada 7 Januari 2023 di Penjara Bentong, Pahang.

Pes masakan itu juga merupakan antara resepi yang dimuatkan dalam buku masakan Tunku Azizah sendiri yang diberi nama Air Tangan Tengku Puan Pahang.  

Untuk rekod, Tunku Azizah kini merupakan Tengku Ampuan Pahang kelima dalam Kesultanan Pahang era moden selepas dimashyurkan pada 22 Januari 2019.  



Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhammad berkata, pihaknya merafak sembah setinggi-tinggi junjung kasih atas limpah perkenan baginda di atas komitmen berterusan Tunku Azizah bersama Jabatan Penjara yang bukan sahaja memartabatkan seni dan kraf warisan negara malah pembangunan semula diri penghuni penjara iaitu banduan.

``Adalah menjadi satu anugerah dan kebanggaan kepada Jabatan Penjara di atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai Penaung Diraja Seni dan Kraf Jabatan Penjara... patik mewakili seluruh warga kerja menjunjung kurnia di atas kesudian dan kebersamaan Seri Paduka Baginda yang sering menjana idea termasuk memberi latihan kepada banduan-banduan agar mereka dapat dikembalikan kepada masyarakat dengan ilmu dan berkemahiran," katanya. - KitaReporters



Sebahagian daripada 33 banduan wanita di Penjara Bentong, Pahang yang cukup teruja apabila berpeluang belajar membuat kuih raya bersama Raja Permaisuri Agong.

12
15
0
17
0
You will be interested