Selera & Santai 03 Jun, 2024

Penangan Melaka Bila Larut Malam! Lebih 4,000 pengunjung serbu Zoo Melaka! Harga tiket RM10 sahaja!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Orang ramai beratur seawal pukul 8.00 malam bagi membeli tiket sempena program Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ di Zoo Melaka pada 1 Jun 2024.


Siapa sangka Zoo Melaka yang dibuka dari pukul 9.40 malam hingga 2.00 pagi mampu menambat kira-kira 4,012 pengunjung sempena program Melaka Bila Larut Malam atau Melaka Nightlife, pada malam Sabtu, 1 Jun 2024 lalu.

Siapa yang tidak teruja berkunjung ke Zoo Melaka kerana harga tiket yang ditawarkan serendah RM10 seorang dan hanya ditawarkan sebulan sekali bermula bulan Jun 2024 ini. 

Cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 (TMM 2024) bukan sahaja di Zoo Melaka tetapi juga Melaka River Cruise, Muzium Penjara, empat muzium di bawah Perzim dan Menara Taming Sari. 

Situasi yang sama berlaku di Zoo Melaka sewaktu kerajaan negeri menawarkan kemasukan percuma ke destinasi pelancongan itu sempena cuti umum Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari 2024 lalu.


Rais Yasin (tiga dari kanan) menyantuni pengunjung yang beratur sejak pukul 8.00 malam sempena program Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ di Zoo Melaka.   


Maka, tidak hairanlah Zoo Melaka diserbu oleh pengunjung dan pelancong dari luar Melaka khususnya dari Terengganu, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan berpusu-pusu pada malam Sabtu 1 Jun 2024 lalu. 

Kaunter tiket dibuka lebih awal kira-kira pukul 8.00 malam bagi mengelak kesesakan luar biasa yang berlaku sewaktu masuk percuma ke Zoo Melaka pada 20 Februari 2024 lalu. 

Seawal pukul 6.30 petang orang ramai sudah mula tiba di Zoo Melaka biarpun kaunter tiket hanya dibuka pada pukul 8.00 malam dan pengunjung hanya dibenarkan masuk kira-kira pukul 10.00 malam hingga 2.00 pagi. 

Sejurus kaunter tiket dibuka pada pukul 8.00 malam sebanyak 500 tiket dibeli pengunjung tidak sampai setengah jam dan ketika pukul 9.30 malam tiket terjual mencecah 1,400 orang. 

Sebanyak 16 buah tram dan buggy disediakan kepada pengunjung untuk menaikinya sepanjang berada di zoo tersebut. 

Berikutan kehadiran pengunjung beratur panjang pihak Zoo Melaka terpaksa membuka pintu masuk tepat pukul 9.40 malam iaitu 20 minit lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan.



Rais Yasin (tengah) bersama Sapiah Haron (dua dari kiri) menyantuni pengunjung yang beratur panjang ke Zoo Melaka sempena program Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’.  


Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pintu masuk dibuka awal bagi mengelak daripada berlaku kesesakan teruk di dalam Zoo Melaka.

"Saya lihat kehadiran pengunjung semakin ramai dan mereka mula beratur sejak pukul 8.00 malam. Mereka ini datang dari Johor, Selangor dan rakyat negeri ini. 

"Selepas berbincang dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron kita ambil keputusan untuk membenarkan pengunjung masuk pada pukul 9.40 malam. 

"Kita tidak mahu pengunjung menunggu lama terutama mereka yang membawa anak-anak dan warga emas," ujarnya. 

Rais berkata, program Melaka Bila Larut Malam yang diilhamkan oleh Ab. Rauf Yusoh itu mendapat sambutan begitu baik bukan sahaja di Zoo Melaka tetapi juga di beberapa lokasi lain. 

Menurutnya, promosi membeli empat tiket dan percuma satu tiket antara tarikan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh pengunjung. 

"Saya rasa bersyukur dan berharap program sebulan sekali ini dapat memangkin lagi industri pelancongan di negeri ini serta mengamit lebih ramai pengunjung dan pelancong agar dapat mencapai sasaran 16 juta orang melawat Melaka," ujarnya lagi.  - KitaReporters


Rais Yasin (tiga dari kanan) tidak melepaskan peluang melihat gajah yang aktif pada waktu malam sempena program Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ di Zoo Melaka. 

12
14
0
10
0
You will be interested