Selera & Santai 31 Aug, 2023

Menu kegemaran anak-anak diterjemahkan jadi sumber rezeki! Berkat muafakat Nur Izzani, Saiful Azwan!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

Gerai milik Nur Izzani Zolhani di Medan Selera Batu 2, Jalan Langgar-Alor Setar, Kedah 


Kata orang isteri pembawa rezeki, suami pula penyumbang bahagianya keluarga. Sepakat pula membawa berkat. Itulah indahnya muafakat dalam rumah tangga. 

Demikian yang menjadi resepi buat pasangan suami isteri Nur Izzani Zolhani, 49, dan Saiful Azwan Ahmad, 49, dalam mencari rezeki untuk kehidupan keluarga. 

"Kami membuat keputusan berniaga makanan setelah memikirkan peluang yang ada. Tambahan  pula saya minat memasak," kata Nur Izzani


Nur Izzani sibuk menyediakan hidangan untuk pelanggan.


Memulakan perniagaan pada 16 Ogos 2023 lalu Nur Izzani menyifatkan ia sebagai peluang yang tidak boleh dipandang ringan dan patut diberi perhatian serius. 

Resepi yang dijual asalnya masakan kegemaran anak-anaknya. Lalu dia terfikir kenapa tidak dikomersialkan sahaja. 

"Sudah rezeki kami sekeluarga, secara kebetulan suami dapat pula tapak berniaga di Medan Selera Batu 2, Jalan Langgar- Alor Setar, semangat saya semakin berkobar-kobar 

"Saya berharap perniagaan ini dapat bertahan dan maju seperti orang lain dan bersedia melalui cabaran dan ujian yang bakal datang," ujar ibu kepada 4 anak ini. 



Memilih menjual hidangan set, Izzani berkata permintaan terhadap hidangan makan tengah hari seperti ini sangat tinggi sekarang di Alor Setar.

Tambahan pula tidak ramai orang buat berbanding nasi campur yang berlambak. 

"Suami saya yang akan mencuba dulu apa yang saya masak. Bila dia kata okey dan sedap saya merasa lega untuk dinikmati pelanggan" Jelas Nur Izzani lagi. 

Dibantu oleh Saiful Azwan, gerai mereka menyediakan set nasi panas ikan bawal (RM12), ikan keli (RM8) dan ayam goreng (RM10) yang disajikan dengan sambal belacan, cili api kicap, salad dan timun. 

Berniaga dari  pukul 10 pagi hingga 3 petang sudah ramai yang mencuba termasuk yang memesan untuk dibawa balik. 

Ditanya kenapa memilih makanan set untuk jualan, kata Izzani set hidangan makan memberi keuntungan harian. 

"Secara tidak langsung setiap hari ada duit dalam tangan untuk dipusing sebagai modal," tambahnya dengan rasa syukur. 



Antara set lauk yang disediakan untuk pelanggan


Sementara itu  suaminya Saiful Azwan menjadi tulang belakang kepada perniagaan ini. 

"Saya membantu di belakang tabir. Goreng ikan dan ayam. Beli barang dan melayan pelanggan.  Selebihnya isteri yang banyak berkorban untuk gerai kami ini," katanya. 

Sebagai ketua keluarga Saiful Azwan berharap perniagaan ini akan maju dan hidangan mereka diterima oleh pelanggan yang semakin bertambah. 

Izzani yang sebelum ini berniaga kain pakaian wanita, minuman dan buah-buahan akan terus berbuat demikian jika ada masa. 

"Insya-Allah jualan barang-barang lain juga akan diteruskan jika ada permintaan. Bagaimanapun fokus saya sekarang adalah kepada perniagaan ini (makanan)," katanya lagi. - KitaReporters


Suami Saiful Azwan menjadi kekuatan Nur Izzani untuk berniaga. 

25
24
0
24
0
You will be interested