.
Watch on TikTok
Rasanya hanya di Malaysia sahaja Hari Raya Aidilfitri disambut selama sebulan iaitu sepanjang bulan Syawal. Bak kata orang, puasa sebulan rayapun kena sebulan. Hal ini telah menjadi budaya, tradisi dan kelaziman di Malaysia.
Walaupun sambutan perayaan selama sebulan ini termasuk dalam perkara bidaah, namun ia bukanlah dalam kategori bidaah tercela. Jadi, jangan anda pandai-pandai menjatuhkan hukum haram.

Sumber rujukan: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Maka, sepanjang bulan Syawal anda dapat melihat gerai-gerai terutama di tepi jalan masih galak menjual juadah raya seperti lemang dan rendang. Kalau di Kuala Lumpur, lokasi terkenal menjual lemang ialah di sepanjang lebuh raya MMR2 di Hulu Kelang, Selangor.
Bercerita mengenai lemang, pasti terbayang kelazatan juadah raya tersebut. Apatah lagi kalau dimakan bersama rendang.
Juadah ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan warga kota selepas cuti raya kerana ada satu lagi budaya orang Malaysia sepanjang Syawal iaitu menganjurkan rumah terbuka.

Lemang merupakan makanan tradisi Hari Raya di Malaysia dan Indonesia.-Kredit Foto: Google Image.
Namun, ada satu masalah sering berlaku kerana makanan tradisi yang dimasak di dalam buluh ini agak sukar dikeluarkan daripada ‘sarangnya’ terutama buat mereka yang tidak biasa.
Lemang ada dua jenis iaitu yang menggunakan daun pisang dan terbaharu, daun lerek.
Begitupun, secara peribadi penulis lebih menggemari lemang daun pisang kerana ia lebih beraroma berbanding daun lerek.
Cuma, daun lerek kelebihannya ia mudah dikeluarkan daripada buluh. Manakala lemang daun pisang memerlukan sedikit tenaga dan perkakas untuk mengeluarkannya daripada buluh.
Justeru, perkongsian seorang wanita cara mudah mengeluarkan isi lemang daun pisang daripada buluh sangat membantu orang ramai.
Dia berkongsi cara atau tip itu dalam media sosial. Seperti dijangka ia mendapat perhatian ramai sehingga video yang dikongsi itu meraih jumlah tontonan sebanyak 124.2 ribu tontonan.

Lemang daun pisang lebih sukar dibuka berbanding daun lerek.
Dalam video tersebut, kelihatan dia sedang memegang sebatang lemang. Hanya menggunakan anak lesung, dia mengetuk-ngetuk batang buluh dan akhirnya isi lemang dapat dikeluarkan dengan mudah.
Perkongsiannya itu mengundang pelbagai komen daripada netizen. Secara keseluruhan, boleh dikatakan tip yang dikongsi itu mendapat reaksi positif daripada netizen. Ramai yang ingin mencuba cara tersebut.

“Mantap! Terima
kasih perkongsiannya,” tulis salah seorang netizen.
Ada juga yang sudah mencuba dan berkongsi penagalaman.

“Cuba juga buat begitu.
Kalau daun pisang elok lilitannya, apabila ketuk senang je keluar tapi kalau
balutan daun pisang tu tak elok pasti melekat. Akhirnya kena kopak juga,”
kongsi netizen tersebut.
Jadi, selepas ini tidak perlu lagi kerah tenaga untuk keluarkan isi lemang. Hanya guna anak lesung, ketuk-ketuk dan selesai.
Tapi kalau penulis, lebih gemar beli yang sudah siap dipotong. Senang nak makan! - KitaReporters

Hanya menggunakan anak lesung untuk mengeluarkan lemang daripada buluh.